Video| Anggota asal Kumpulan Saujana disatukan semula! Untuk Konsert Saujana 25 Tahun! 5 Mac 2023!
Published byKumpulan Saujana...(dari kiri): Dr Faizul Hizal Ghazali, Wan Najran Wan Noh, Mohammad Suffian Amrin, Dr Khairul Idzwan (Idzu) Baharin, Azalinor Abdul Rahman, Mohd Hakimi Harun dan Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz.
Bila sebut kumpulan Saujana, teringat pula peribahasa ‘saujana mata memandang’ yang lazimnya dikaitkan dengan maksud kepuasan menikmati pemandangan indah.
Tidak salah diumpamakan ia menepati maksud di sebalik nama kumpulan nasyid Saujana itu sendiri, yang terkenal dengan lagu-lagu ketuhanan, membuai rasa lega di hati sekali gus menjadi halwa telinga yang indah didengar dan sejuk dipandang mata.
Sama ada irama nasyid yang mempunyai elemen pop, R&B mahu pun tradisional, lagu-lagu Saujana seperti 'Keluarga Bahagia', 'Suci Sekeping Hati,' 'Sepohon Kayu', 'Sendiri', 'Usia Antara Masa', 'Bulan Bintang', 'Rahmat Kasihmu' serta 'Lakaran Minda' mendapat tempat di hati peminat muzik arus perdana.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu dan kumpulan nasyid
Kumpulan Saujana bersama artis-artis undangan yang terlibat antaranya Ustaz Nazrey (lima dari kanan).
Untuk rekod, anggota Saujana yang ditubuhkan pada 16 April 1997, berasal dari sebuah kumpulan nasyid sekolah, All For Ummah dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dianggotai Azalinor Abdul Rahman, Mohammad Suffian Amrin, Hakimi Harun, Idzwan aka Khairul Idzu dan Faizul Hizaf.
Ditambah oleh Wan Najran Wan Noh dan Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz melengkapkan Saujana menjadi kumpulan tujuh anggota kesemuanya.
Namun, selepas 10 tahun bersama, empat anggota mereka iaitu, Dr Khairul Idzwan (Idzu) Baharin, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali dan Wan Najran Wan Noh terpaksa meninggalkan kumpulan ini atas tuntutan kerjaya profesional masing-masing.
Namun, tiga yang lain iaitu Mohammad Suffian, Azalinor dan Ahmad Zuhaidi meneruskan perjuangan Saujana serta turut menubuhkan sebuah lagi kumpulan, diberi nama 'Awla' yang merupakan gabungan anggota kumpulan Saujana dengan NowSeeheart.
Sebagai artis rakaman, Saujana telah melalui perjalanan kerjaya muzik yang agak panjang apabila berjaya menghasilkan tujuh album studio.
Album-album studio yang dihasilkan mereka itu meliputi Saujana (1997), Saujana II (1999) Kembara Cinta (2000), Rahsia (2002), Lima Bintang (2004), Jalan Sehala (2005), Nota Cinta (2010) dan Aku Cinta Allah (2013).
Sempena Konsert 25 tahun, Saujana merakamkan semula lagu 'Sepohon Kayu'.
Tetapi, Itu cerita lama, kisah terbaharu selepas 25 tahun penubuhan Saujana, mereka digabungkan semula dalam sebuah konsert sulung, ‘Konsert Saujana 25 Tahun’ yang akan diadakan di Zepp KL pada 5 Mac 2023 ini, jam 8.30 malam.
Dibawakan Scriptology Sdn Bhd serta Mac Training Centre Sdn Bhd selaku produksi rasmi, konsert yang menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada My Creative Ventures serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
“Apabila melihat ramai kawan-kawan dalam arena muzik nasyid membuat konsert melalui dana DKD, kami juga rasa terpanggil untuk buat. Lebih-lebih lagi Saujana tidak pernah buat konsert selama ini sedangkan kumpulan nasyid lain ada yang sudah buat lebih dari sekali konsert. Alhamdulillah, inilah masanya untuk kami gabungkan semula ahli-ahli lama untuk menghargai 25 tahun penglibatan Saujana,” ujar Zuhaidi selaku pengarah projek Konsert Saujana 25 Tahun ketika ditemui pada sidang media Konsert Saujana 25 tanun di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bergambar kenangan bersama artis undangan, penaja dan yang terlibat pada majlis sidang media Konsert Saujana 25 tahun baru-baru ini,
Menurutnya, tercetusnya idea mewujudkan konsert tersebut datangnya daripada dirinya serta beberapa anggota Saujana iaitu Suffian dan Azalinor, termasuk Samirah Hambali yang mewakili Mac Training Centre.
Bahkan, Saujana sendiri yang akan menerajuinya di bawah syarikat Sciptology Sdn Bhd milik Zuhaidi dan Azalinor.
“Atas perbincangan bersama, kami cuba cetuskan sebuah konsep yang sedikit berbeza iaitu menggabungkan lagu-lagu ketuhanan Saujana dengan irama tradisional. Ia sesuatu yang segar dan unik sebab ia bukan sahaja boleh menarik minat penggemar muzik nasyid sahaja tetapi juga penggemat muzik Melayu,” sambung Zuhaidi sambil bersyukur mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Samirah Hambali yang terbukti mempunyai pengalaman luas menerbitkan konsert dan acara besar.
Bekas vokalis kumpulan Raihan, Ustaz Nazrey Johari turut diundang di mana beliau akan menyampaikan dua buah lagu ciptaan sendiri dan sebuah lagi bersama kumpulan Saujana.
Selain menggabungkan semula kesemua anggota Saujana, ‘Konsert Saujana 25 Tahun’ akan menampilkan beberapa artis undangan seperti Ustaz Nazrey Johani, Kumpulan Awla (gabungan Saujana dan NowSeeheart), Andika serta Ustaz Nabil.
Lebih menarik, konsep pereembahan konsert bertunjang kepada gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolaborasi Saujana dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pimpinan Yazid Zakaria.
“Ia sesuatu yang segar dan unik sebab ia bukan sahaja boleh menarik minat penggemar muzik nasyid sahaja tetapi juga penggemat muzik Melayu. Malah, dapat bekerjasama dengan OTM adalah satu penghormatan yang besar. Dan, kita juga turut berbesar hati apabila apabila berjaya mengundang Ustaz Nazrey untuk terlibat bersama artis-artis undangan lain,” tambah Zuhaidi yang turut dibantu Suffian sebagai Pengarah Kreatif dan Azalinor sebagai Pengarah Audio/Teknikal.
Sehubungan itu, bagi peminat tegar Saujana yang rindukan mereka kembali bersatu sebelum menyambut kehadiran bulan Ramadan selepas itu, bolehlah membuat tempahan tiket melaluui www,ticket2u.com.my pada pilihan harga empat zon yang ditetapkan iaitu RM265 (Upper Deck- Platinum dan Ground Platinum), RM213 (Upper Deck-Gold dan Ground Gold), RM161 (Upper Deck- Silver dan Ground Silver) serta RM109 (Ground Bronze). - KitaReporters