Foto oleh: Kak FAS.


Apa yang tidak dilakukannya selain menjadi seorang usahawan selebriti sukses serba boleh.

Tahun lalu (2022) pemilik nama penuh, Nur Fazura Sharifuddin, 39,  bertindak sebagai penganjur konsert mega Faztival Fazura 2022 yang sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) dengan penciptaan dua rekod baharu peringkat kebangsaan iaitu 'The Largest 'Tudung Fazura' Gathering in an Event, dan 'The Largest Tudung Bawal in Malaysia’.

Pendek kata berlakon sudah, bernyanyi sudah dan menjadi penganjur konsert pun sudah. 

Kini, membuka lembaran baharu tahun 2023, isteri kepada pelakon Abdul Fattah Mohd Amin, 32, bergelar pula seorang penerbit dengan penubuhan Fazura Pictures Sdn Bhd.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Fazura



“Alhamdullillah, Faz dan Fattah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat mengorak langkah baharu bermula tahun ini (2023) melalui penubuhan syarikat produksi kami sendiri. Kami ingin menjadikan syarikat ini sebagai pelantar untuk kami meneruskan minat dalam berkarya dan memberikan hasil yang baik untuk dikongsikan bersama para peminat. 

"Karya-karya Fazura Pictures Sdn. Bhd. akan membawa hasil “signature” kami berdua sebagai anak seni,” ujar Fazura yang lebih mesra disapa Faz ketika ditemui pada majlis pelancaran butik keduanya, Fazura bersama Fattah di Sunway Putra Mall pada Jumaat, 10 Mac 2023 lalu.




Terdahulu, butik pertama Fazura telah dibuka di The Curve Damansara pada tahun lalu (2022) dan akan disusuli dengan pembukaan dua lagi butik Fazura masing-masing di Ipoh Parade, Ipoh, Perak dan di Aman Central, Alor Setar, Kedah. 

Setiap butik Fazura menawarkan rangkaian pelbagai produk di bawah jenama Fazura terutama Tudung Fazura yang popular. 

Sebagai langkah permulaan, Fazura Pictures menghasilkan dua karya sulungnya iaitu filem pendek berjudul  ‘Adinda’  lakonan bersama Wanna Ali dan “Kakak Kita Ke Jakarta’ iaitu sebuah kempen video untuk koleksi tudung terbaharunya, arahan Bahri Umararif (gambar bawah, kiri).



Sebenarnya, menjadi satu kelaziman unik pada setiap pelancaran rasmi sesuatu koleksi Tudung Fazura diiringi dengan kempen video yang menarik perhatian dan membawa mesej tertentu. 

Keunikan pendekatan berkenaan adalah sinonim dengan Tudung Fazura dan menjadi fenomena yang sentiasa dikaitkan dengan jenama tudung terkenal ini. 

Setiap koleksi mempunyai nama khas dan setiap tudung dalam koleksi juga diberikan nama istimewanya, sesuai dengan corak dan rekaan yang ditawarkan kepada para peminat.




“Adinda adalah untuk Tudung Fazura White Label manakala “Kakak Kita Ke Jakarta’ mempromosikan Tudung Fazura PInk Label,” ujar Faz sambil memaklumkan pemggambaran untuk kedua-dua kempen video itu telah di dibuat di Cameron Highlands, Pahang dengan kerjasama Boh Plantations Sdn. Bhd. (Boh) serta di Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia. 

Baru-baru ini, pengambaran untuk koleksi “Halaman Kasih” Tudung Fazura telah diadakan di Bali, Indonesia pula. 


Salah satu babak bersama Wanna Ali dalam filem pendek, 'Adinda' terbitan Fazura Pictures Sdn Bhd. Foto kredit: @wannali_


“Alhamdullillah, kami bersyukur kerana banyak program dan kerjasama unik telah disusun untuk para peminat sempena kempen Hari Raya 2023. Kami teruja untuk berkongsi detik-detik  istimewa bersama para peminat dan rakan-rakan,” tambah Faz selesai Tayangan Perdana yang turut dihadiri Hendra P. Iskandar, Menteri Kaunselor (Hal Ehwal Ekonomi) di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia (gambar bawah, dua dari kanan).



Untuk rekod, “Merdeka”, “Sinar”, “Kenangan Kita”, “Kakak Kita” dan “Kakak Kita Kembali” adalah antara video kempen koleksi Tudung Fazura yang telah mendapat sambutan popular dan masih boleh ditonton sehingga ke hari ini.

Pada tahun ini juga jenama Fazura telah menjalinkan kerjasama dengan CelcomDigi dan juga AEON Co. (M) Bhd. membolehkan para peminat mendapatkan barangan jenama Fazura dengan promosi hebat. 

Fazura dan Fattah juga dijangka menjelajah ke lokasi tempatan terpilih di sepanjang bulan Ramadan ini termasuk di KLCC, Ipoh Parade, Aman Central dan di beberapa AEON Mall. 

Selain itu, para peminat akan terus dapat membeli Tudung Fazura (White Label) secara eksklusif dari Besties Fazura.



Sudah pasti kejayaan yang dikecapi kini merupakan satu Impak Maksimum sepanjang kerjanya bermula sebagai pengacara rancangan televisyen RTM, Teens World yang disiarkan dalam TV2 sebelum terjun ke bidang lakonan melalui filem sulungnya ‘Bicara Hati’ arahan Dato Rosnani Jamil,  pada usia 21 tahun sehingga memperoleh gelaran ‘Pelakon Harapan Wanita’ pada Festival Filem Malaysia ke-17 pada 2004.



Dan sudah pun bergelar “Pelakon Wanita Terbaik’ FFM27 melalui filem ‘Manisnya Cinta Di Cappadoccia’ (2014), malah mempunyai seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 2, hasil pekahwinannya dengan Fattah Amin pada pada 27 November 2017, apa lagi agaknya yang mahu diterokai Fazura bagi mencapai impak maksima yang akan menyinarkan lagi kehidupannya. 

Mungkin menambah cahaya mata lagi kut ya Faz?   


Keluarga bahagia... Foto kredit: @fattahaminz.


Apa pun tahniah, Fazura antara artis yang boleh dijadikan contoh perkahwinan antara selebriti yang berjaya mencapai sukses berkat kesabaran dan usahanya untuk terus melebarkan sayapnya pada bidang perniagaan. 

Jelas bahawa beliau telah membukti kata-katanya sebagaimana tercatat dalam wikipedianya kala meninggalkan bidang rekaan fesyen di sebuah Kolej Rekaan Fesyen, “Inilah di mana saya akan bermula. Lakukan salah satu perkara lakonan dan kemudian melupakannya. Sekurang-kurangnya, saya telah melakukannya.” 


Throwback...Fazura semasa zaman remajanya.


Mengenali Fazura, beliau seorang artis yang sentiasa merendah diri, menghormati  dan tidak mudah lupa orang serta memiliki hati yag  jujur sehingga sampai sekarang masih ingat lagi komen Faz mengenai artikel yang ditulis penulis mengenainya dalam  Majalah Wanita ketika beliau berada di kemuncak kariernya. 

Kata Faz, 'Faz suka baca tulisan kak, lain daripada lain yang pernah Faz baca.'

Dan walaupun jarang bertemu kecuali semasa majlis tertentu, Faz tetap kenal, tegur dan peluk bertanya khabar. Itulah 'impak maksima' bagi penulis yang juga dipanggil Kak Fas oleh rakan-rakan, daripada seorang selebriti bernama Fazura

Bukan niat nak rasa bangga dengan pujian Faz dan beberapa individu lagi  tetapi  itulah satu penghargaan yang akan dikenang selamanya dan dijadikan semangat dan pendorong untuk terus tingkatkan kemahiran menulis sebagai seorang wartawan. 

Dan sepanjang lebih kurang 28 tahun berkhidmat dengan Utusan Melayu (M) Bhd, impak maksima paling dirasai ketika menjadi wartawan pertama dari Majalah Wanita yang memenangi Anugerah Kewartawanan Majalah kategori Bahasa Malaysia bagi artikel 'Puteri Gunung Ledang' anjuran Institut Akhbar Malaysia pada awal tahun 90-an manakala buku penulisan pertama diterbitkan oleh FINAS dengan judul "Di Sebalik Tabir Filem 'Impak Maksima' arahan Ahmad Idham yang kini menjadi pula judul kolum coretan penulis dalam KitaReporters atas cadangan pengarangnya, Gamal Nasir Mohd Ali

Kembali pada Fazura, dengar khabarnya, kedua suami isteri ini bakal berlakon sama dalam sebuah filem epik sejarah? Biarlah rahsia dahulu ya! Tahniah Faz! - KitaReporters


9
11
0
12
0

Copy Link: