Gagasan Tim Media! Memviralkan sukan sepak takraw ke tahap baharu! Pemangkin Piala Dunia Singapura!
Published byTIM Media dengan sokongan jenama kasut sepak takraw Pallas Rejam, melaungkan sorakan 'Berjaya!' sebelum perlawanan persahabatan menentang Singapura di UIAM, Gombak pada 16 Mei 2024 lalu. - Kredit foto: PETER LIM
TIM Media merupakan satu gagasan berani, proaktif dan berwawasan sekumpulan pengamal media di Lembah Klang sebaik sahaja mereka menjalani ‘Reunion Raya 11 Syawal’ dengan sesi latihan pada 20 April 2024 di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.
Dipimpin oleh wartawan, Abdul Hafiz Ahmad, Tim Media dihidupkan semula setelah kali akhir aktif pada 2015 sebagai Kelab Sepak Takraw Media Massa (Keris) dengan mencapai agenda terdekatnya, mengharungi siri perlawanan persahabatan dengan pasukan institusi pengajian tinggi (IPT).
TIM Media mencapai empat kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dengan Pilihan UiTM di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam pada 4 Mei 2024 lalu. - Kredit foto: UiTM
Jika laporan terdahulu hanya berkisar siapa menang siapa kalah atau ulasan klise pascaperlawanan oleh para pemain dan jurulatihnya, kali ini tahap baharu aspirasi Tim Media ialah menyelami juga hal-hal teknikal dan taktikal terperinci sukan warisan dan ciptaan bangsa Melayu ini.
Turut menarik dan bertuahnya ialah apabila legenda perejam pemenang skuad juara Piala Raja Thailand 1988, Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991, Sha’ari Hashim sudi menyahut tawaran Tim Media untuk menjadi jurulatih jemputan dan sambilan sekalipun menetap di Taiping, Perak sekarang.
APIT kanan Singapura (jersi hitam jalur merah) melepaskan rejaman gunting sambil diadang dengan kemas oleh pemain Tim Media dan rakan sepasukan dari luar gelanggang perlawanan persahabatan di UIAM, Gombak pada 16 Mei 2024 lalu. - Kredit foto: PETER LIM
Juga bertujuan mengeratkan ukhuwah dan persahabatan sesama pengamal media, pasukan berkenaan telah membaharui satu lagi sejarah – menjadi rakan sepelatih skuad Singapura menjelang Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2024 lalu.
Tim Media yang hanya bertaraf amatur bahkan berjaya mencapai tiga keputusan seri perlawanan regu berpasukan dengan pasukan kendalian legenda perejam republik 80-an, Salleh Nanang itu di Kompleks Sukan Wanita Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak, Selangor.
‘Saham’ Tim Media inilah turut mendorong kemaraan Singapura ke suku akhir acara antara regu Piala Dunia Istaf termasuk dengan mengejutkan Korea Selatan yang pada ranking dunia lebih baik, 10-15, 15-11, 15-12 sambil bergelar naib juara Kumpulan C, tiga hari kemudian.
Ketika bergelar Keris yang ditubuhkan pada 1 April 2009, mereka juga pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Singapura bersempena Siri Super Istaf 2012 di Pusat Kecemerlangan Sepak Takraw Perses di Bedok, Singapura.
Malah tanggal 1, 4 dan 10 Mei 2024, Tim Media telah menunjukkan kemajuan membina dengan siri persahabatan menentang Pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam dan UIAM di Gombak yang diperkasa sebahagian besar pemain Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) 2024.
KAPTEN Tim Media, Khairul Azra Ghazali (depan, enam dari kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Pilihan UPM sebelum perlawanan persahabatan di Akademi Sukan UPM, Serdang pada 1 Mei 2024 lalu. Sha'ari Hashim (bertopi, kanan). - Kredit foto: KIAR
Siri jelajah persahabatan ini walau bagaimanapun direhatkan sepanjang Jun 2024 memandangkan ramai pemain Tim Media terikat dengan komitmen tugas hakiki masing-masing atau ibarat perlu ‘recaj bateri’ selain menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha sebelum mereka kembali memasuki gelanggang dengan agenda terbaharu.
Tim Media turut mengalu-alukan mana-mana kelab, sekolah, IPT, syarikat swasta, persatuan sukan atau badan sukarela serta jabatan kerajaan mengadakan perlawanan persahabatan dengannya dengan menghubungi talian 019-2121778 atau e-mel, haziqhamsyarie@yahoo.com.
Kepada para pengamal media di Lembah Klang mahupun seluruh negara yang berminat dan berbakat mahupun berpengalaman sepak takraw untuk menyertai Tim Media, mereka juga boleh berhubung dengan Hafiz menerusi dua cara tersebut. - KitaReporters
PASUKAN Singapura (jersi hitam berjalur merah), UIAM Mustangs (bercorak kuning) dan Tim Media bergambar kenangan sebelum perlawanan persahabatan tiga penjuru di Kompleks Sukan Wanita UIAM, Gombak. - Kredit foto: PETER LIM
TIM MEDIA :
Pengurus:
Abdul Hafiz Ahmad
Jurulatih jemputan: Sha’ari Hashim
Pemain: Mohd. Shuib Ab. Latip, Khairul Faizee Mahmod, Pian Hafiz Piramele, Mohamed Syamsul Adlien Md. Nazri (tekong), Khairul Azra Ghazali, Taufik Al Hakim Ahmad Kosnan, Nazizul Najhan Saarani, Azmi Mansor, Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali (apit kanan/perejam), Mohd. Azrol Abdul Majid, Khairul Idlan Abd. Razak, Noorshafik Othman, Noormanshah A. Rahman, Mohd. Izzuddin Kamaruddin, Alisaifuddin Kamis, Ahmad Faez Ahmad Hilmi, Razmin Hafiz Khalid (apit kiri/pengumpan).
TIM Media yang diurus oleh Abdul Hafiz Ahmad di samping Sha'ari Hashim (empat dan tiga dari kiri) menerima penghormatan besar dengan sumbangan jersi dan peralatan sepak takraw tajaan AHK International dan Marathon yang disampaikan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 18 Mei 2024 lalu. - Kredit foto: GYG