.


Membawa watak antagonis (jahat) bukan mudah baik untuk pelakon lelaki mahupun wanita. Sebahagian penonton yang terkesan dengan watak antagonis yang dibawa itu akan terbawa-bawa pula kemarahan mereka terhadap pelakonnya.

Ia sudah berlaku ketika era filem Melayu pada tahun 50-an dan 60-an. Pelakon seperti Salleh Kamil dan Mak Dara sering menjadi cacian masyarakat lantaran watak antagonis yang dibawa.

Kita pernah mendengar cerita ada pelakon yang dimaki dan diludah oleh individu yang marah melihat lakonan mereka dalam filem atau drama. 

Kini kebencian sebahagian orang ramai yang menonton drama bersiri TV kini dirasai duo pemegang gelaran hero Malaya iaitu Datuk Rosyam Nor, 58, dan Datuk Adi Putera, 44.

Kedua-duanya menjadi mangsa kebencian gara-gara memberi lakonan berkesan bagi watak Iman dan Nasir.


Rosyam menerima tawaran rakan baiknya Erma Fatima untuk membawa watak Iman dalam drama 30 episod ‘Keluargaku’ kerana melihat watak ‘meloyakan’ itu mencabar walaupun tahu risiko dihentam oleh penonton yang tidak selesa dan yang marah.

Iman adalah lelaki yang ingin berhijrah tetapi tidak sepenuh hati. Sebagai golongan kaya, Iman ingin bersedekah tetapi mengharapkan publisiti atas kerja amalnya. 

Selain itu, Iman dapat meninggalkan amalan mabuknya tetapi tidak dapat menghilangkan ketagihannya dalam seks dalam proses hijrahnya sehingga sanggup menoda anak sendiri dan mengimpikan untuk ‘meratah’ ustazah yang mengajar dirinya dan isterinya, Cempaka (Umie Aida) ilmu agama.

Kegersangan Iman semakin menjadi apabila si isteri Cempaka sudah hilang nafsu dan memberi tumpuan dalam mendalami ilmu agama.



Setelah berjaya membawa watak gengster dalam sejumlah filem dan drama, Rosyam ingin mencabar kemampuan lakonannya sebagai lelaki hipokrit agama dengan masih mengamalkan perbuatan terkutuk di sebalik dakwaan sudah berhijrah.

Oleh kerana lakonan berkesannya sehingga ada individu yang mendesak masyarakat memboikot rangkaian pasar raya ST Rosyam Martnya.

Rosyam sendiri 'malu' melihat lakonannya, jadi tidak pernah menonton drama tersebut dari episod pertama dan melarang keluarganya menonton drama berkenaan.


Kebencian terhadap Rosyam berjangkit pula kepada Adi Putra yang menjadi salah satu bintang utama drama bersiri 15 episod ‘Sekam di Dada’ terbitan Saphire Screen.

Kebetulan kedua-dua drama disiar tidak jauh jaraknya. Dan kini ditayang secara berterusan di TV3 antara jam 9 hingga 11 malam melalui slot ‘Lestari’ (Jumaat, Sabtu, Ahad) dan ‘Samarinda’ (Isnin hingga Jumaat).


Dalam ‘Sekam di Dada’ Adi Putra berkesan membawa watak Nasir iaitu lelaki baran dan nakal ketika muda dan sikap pemarah yang melampau menyebabkan dia bukan sahaja dibenci oleh isteri, Orkid (Amyra Rosli) malah anak-anaknya setelah tahu tembelang kemungkarannya selama ini.  

Dia terpaksa bergerak dengan kerusi roda setelah cuba memukul Orkid. Dengan keegoannya Nasir enggan melepaskan isterinya menyebabkan Orkid terpaksa menuntut fasakh.

Sayangnya kedua-dua drama sensasi ini ditayang ketika ramai sedang menunai solat tarawih. Namun ia tetap boleh ditonton pada bila-bila masa melalui RTM Klik dan Tonton TV3. - KitaReporters

17
14
0
15
0

Copy Link: