Rahim Abdullah tiada lagi! Sayap kanan tim Olimpik Munich '72! Mantan jurulatih pasukan negara '91!
Published byABD. Rahim Abdullah dan Othman Abdullah (dua dari kanan dan kanan) mengejar bola daripada direbut oleh pemain Jerman Barat dalam saingan Kumpulan A Sukan Olimpik Munich di Stadium Olimpik, Munich tanggal 27 Ogos 1972.
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman sosialnya, menghulurkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Abd. Rahim Abdullah. - Kredit foto: FAM
“PEMAIN-PEMAIN Jerman Barat tengok kami begitu kecil, ketawa. Mereka tinggi-tinggi, 6 kaki (lebih 1.80 meter). Kerana geram dan enggan dimalukan lawan, kami jadi bersemangat tinggi di Stadium Olimpik, Munich itu.
“Malam
perlawanan itu, kami tak dapat tidur sebab kali pertama main Sukan Olimpik. Separuh
masa perlawanan yang dilangsungkan selepas majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik
(27 Ogos 1972) itu, skornya tetap 0-0.”
Abd.
Rahim Abdullah mengimbas balik perlawanan bersejarah ini dalam program secara
langsung Facebook "La Bola Malaya The Professional" tanggal 17 September 2019
yang dipengacarakan penulis di sebuah pusat senaman dan kecergasan di Jalan
Ampang, Kuala Lumpur.
Sayap
kanan skuad negara ini sempat menikmati 61 minit perlawanan Kumpulan A yang
berkesudahan tuan rumah menang 3-0 di depan 60,000 hadirin sebelum digantikan
Looi Loon Teik gara-gara kad kuning yang dilayangkan kepadanya.
Malaysia kendalian Jalil Che Din kemudian menewaskan Amerika Syarikat 3-0 pada 29 Ogos 1972 di Stadium ESV, Ingolstadt dengan jaringan Shaharudin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusoff namun tumpas 6-0 kepada Maghribi tanggal 31 Ogos 1972 di situ.
ABD. Rahim Abdullah turut mewariskan bakat bola sepak kepada anak bongsu lelakinya yang pernah mewakili PDRM.
Rahim
telah menyahut panggilan Ilahi kira-kira pukul 4 pagi 25 Mac 2025 di Institut
Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur yang menurut sumber terdekat, akibat serangan
jantung.
Difahamkan,
dia mulanya sudah mempunyai janji temu untuk menjalani pembedahan pada 25 Mac 2025
namun terkena serangan jantung sebelah malam, 24 Mac 2025 lalu dikejarkan ke
IJN di mana pemeriksaan doktor mendapati organ itu tersumbat.
Mantan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Supritendan ini menghembuskan nafas akhirnya dalam usia 77 tahun. Beliau dilahirkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 12 September 1947.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor tidak jauh dari kediamannya di Seksyen 8 selepas solat zuhur.
ABD. Rahim Abdullah ketika diwawancara penulis dalam program "La Bola Malaya: The Professional" pada 2019.
Rahim dalam program itu turut mengimbas kenapa kad kuning dikenakan kepadanya oleh pengadil Brazil, Armando Marques dalam Olimpik Munich: “Setiap kali saya dapat bola, ada sahaja pemain Jerman Barat yang menerjah keras kaki saya.
“Saya
geram jadi apabila sambil jatuh itu, saya menyiku lawan, pengadil nampak terus
beri kad kuning,” ceritanya kepada penulis.
Dalam
bola sepak tegas Rahim lagi: “Kamu tidak boleh jadi penakut dan terlalu hormati
lawan. Kalau begitu dan hati kecil, habislah. Kena ada sikap angkuh baru boleh
hadapi sesiapa sahaja pasukan gergasi macam Jerman Barat.”
Sebelum
menjejak Munich, Rahim & Co. kendalian warga Scotland, Dave McLaren mengharungi
kempen Kelayakan Olimpik 1971 Kumpulan 1 Asia di Seoul, Korea Selatan tanpa
kalah dan tanpa bolos dengan menewaskan Jepun 3-0, tuan rumah 1-0, Taiwan 3-0
dan Filipina 5-0.
Dia turut membantu Malaysia meraih pingat gangsa Sukan SEAP Singapura 1973 selain pernah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad negara bagi perlawanan persahabatan menentang England yang menang 4-2 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 12 Jun 1991.
Namun Rahim pernah menyatakan kekesalan dan kekecewaan ketika dia yang dibantu tonggak tim Sukan Olimpik Moscow 1980, Bakri Ibni mengendalikan pasukan negara, diaibkan lawan kerdil ketika itu, Filipina 1-0 lantas gagal ke separuh akhir Sukan SEA Manila 1991.
AKSI Abd. Rahim Abdullah (kanan) menyaingi pemain Korea Selatan dalam Kelayakan Piala Dunia 1973 di Seoul.
Selainnya, anggota Tim Munich 1972 yang turut pernah menyandang ‘kerusi panas’ pasukan kebangsaan itu ialah M. Chandran (mendiang Datuk) dan Mohamad Bakar (Datuk), manakala Koo Luam Khen pernah mengemudi Kepulauan Mariana Utara.
Koleksi kejayaan lainnya termasuk menjuarai Pestabola Merdeka 1973 di Stadium Merdeka selepas menewaskan Kuwait 3-1 dengan sepakan sudutnya, menjadi penyumbang gol tandukan ‘Supermokh’ Mokhtar Dahari (Allahyarham Datuk).
Rahim yang beroleh kap sulung antarabangsa pada Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan 1971 selain pernah menjaringkan satu gol dalam Kelayakan Piala Dunia 1973 Kumpulan A2 di Seoul untuk Malaysia menewaskan Thailand 2-0.
Dia juga pernah membantu Perak menjulang Piala Malaysia 1970 setelah menewaskan Kelantan 2-0, menyertai Selangor atas tugas kepolisan yang turut menjuarainya pada 1971, 1972 dan 1973.
Selepas kejayaan dalam perlawanan akhir dengan mengalahkan Perak 3-1 dan 3-0 serta Terengganu 2-1 itu, Rahim menggantung but kerana kecederaan serius belakang pada usia 27 tahun.
“Sedih kehilangan seorang rakan sepasukan dan saya ucapkan, semoga beliau tenang di sana,” kata Wong Kam Fook, penjaga gol utama di Munich yang mampu mempertahan gawang Malaysia sehingga 56 minit sebelum tertewas dengan jaringan Ronald Worm. - KitaReporters
ABD. Rahim Abdullah (barisan depan, tengah) dengan skuad kebangsaan Sukan Olimpik Munich 1972 di samping M. Chandran, Shaharudin Abdullah (barisan tengah, kiri dan dua dari kiri), Wong Kam Fook, Salleh Ibrahim (barisan belakang, tiga dari kanan dan kanan) dan Wan Zawawi Wan Yusoff serta Mohamad Bakar (barisan depan, kiri dan dua dari kanan).