.


SHAUL Hameed Al-Barilan dan Aslam Ahmad Suhaimi (tiga dan empat dari kiri, baris belakang) bersama-sama pegawai MTA dan murid-murid SJKT Ladang Kinrara, Puchong bergambar kenangan selepas demonstrasi teqbol. - Kredit foto: MTA


PERSATUAN Teqbol Malaysia (MTA) mengorak langkah bijak dan berwawasan ke arah membangunkan sukan ini pada peringkat akar umbi apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara, Puchong, Selangor pada 10 Januari 2025 lalu.

Sukan yang mirip gabungan bola sepak, sepak takraw, pingpong dan badminton ini diperkenal kepada kira-kira 200 murid sekolah rendah berkenaan oleh MTA menerusi demonstrasi permainannya oleh dua pemain kebangsaan, Shaul Hameed Al-Barilan dan Aslam Ahmad Suhaimi.

Kedua-dua pemain ini juga baru sahaja beraksi dalam Kejohanan Teqbol Dunia 2024 di Kota Ho Chi Minh, Vietnam yang berakhir pada 8 Disember 2024 lalu.


K.J. Siva (kiri) dan Vimala Verappan menandatangani MOU kerjasama MTA dan SJKT Ladang Kinrara sebelum demonstrasi teqbol. - Kredit foto: MTA 


Ini merupakan program pembangunan teqbol oleh MTA di sekolah yang kedua selepas di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Jalan Empat Bangi, Selangor pada 2020.

MOU ini ditandatangani antara Presiden MTA yang juga pengasas teqbol di Malaysia, K.J. Siva dan Guru Besar SJKT Ladang Kinrara, Vimala Verappan sambil disaksikan oleh  Pengerusi Majlis Guru Besar SJKT Daerah Petaling Perdana, Govintha Samy Subramani  dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Pannir Selvam.

Turut hadir menyaksikannya ialah Naib Presiden MTA, Joshua Edgar Mariyee Joseph dan Pengurus Projek persatuan, Dalip Singh. 

“Dengan berwawasankan pembangunan jangka panjang, MoU ini juga menjadi sebahagian strategi kami dalam memupuk satu kumpulan pemain muda yang mantap bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Selain menjadi aktiviti kokurikulum sekolah tersebut, ini juga berperanan sebagai sebuah pusat untuk para remaja tempatan menimba pengalaman dan berlatih teqbol pada setiap minggu,” lapor laman sosial Facebook MTA.


SHAUL Hameed Al-Barilan dan Aslam Ahmad Suhaimi (berjersi biru merah) menunjukkan cara mengumpan dan menyerang teqbol kepada dua murid SJKT Ladang Kinrara. 


Bagi menjamin kelestarian pembangunan teqbol akar umbi ini, MTA juga bersedia membawa masuk jurulatih-jurulatih dan pengadil-pengadil untuk melatih guru-guru sekolah supaya mereka dapat mencurahkan pengetahuan dan kemahiran teknikalnya kepada golongan pelajar.

Program akar umbi dan bakat muda teqbol menjadi semakin penting sepanjang 2025 dalam persediaan MTA menghadapi Sukan Belia Asia Ketiga di Bahrain dari 22 hingga 31 Oktober 2025 dan Sukan SEA Ke-33 di Thailand tanggal 9 hingga 20 Disember 2025.

Projek pembangunan teqbol di SJKT Ladang Kinrara ini juga merupakan pengenalan bagi sekolah-sekolah Tamil, tambah MTA dalam laman itu.

“Malah kami sangat teruja untuk menerima jemputan mana-mana pihak lain untuk menjalinkan kerjasama.

“Kami juga berhasrat membawa teqbol ke lebih banyak sekolah dan komuniti, sekali gus membina masa depan yang lebih cerah untuk sukan di Malaysia,” lapor MTA.


JOSHUA Edgar Mariyee Joseph (dua dari kanan) dan Vimala Verappan (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama-sama Pannir Selvam selepas MoU MTA dan SJKT Ladang Kinrara. - Kredit foto: MTA


DEMONSTRASI teqbol oleh dua pemain kebangsaan ini menarik perhatian murid-murid SJKT Ladang Kinrara. - Kredit foto: MTA


Teqbol boleh dikatakan masih begitu baharu di Malaysia biarpun telah bertapak pada 2018.

Hungary menjadi negara pengasasnya sejak 2012 dan ditadbir urus oleh Persekutuan Teqbol Antarabangsa (Fiteq) yang berpangkalan di Budapest.

Thailand dianggap kuasa utama terkini sukan ini dengan menguasai empat daripada lima kategori Kejohanan Dunia di Kota Ho Chi Minh.

Sekalipun teqbol hanya sukan demonstrasi (pertunjukan) Sukan SEA Kemboja 2023, Shaul atau digelar Ash dan Siti Asnidah Zamri tetap mengukir sejarah tersendiri dengan mengalungi Malaysia, dua pingat gangsa acara perseorangan lelaki dan wanita di Dewan Persekutuan Belia, Phnom Penh. - KitaReporters


SHAUL Hameed Al-Barilan (tengah) dan Aslam Ahmad Suhaimi (kiri) berpengalaman beraksi pada Kejohanan Teqbol Dunia di Kota Ho Chi Minh pada Disember 2024. 


SHAUL Hameed Al-Barilan (kiri) dan Aslam Ahmad Suhaimi saling mengawal dan mengumpan bola dalam demonstrasi teqbol kepada murid-murid SJKT Ladang Kinrara, Puchong.  

12
13
0
13
0

Copy Link: