Rashid Sidek menggerakkan program realiti TV 'Rashid Mencari Juara' untuk melahirkan pemain badminton bertaraf dunia.


KETIKA tiada yang terfikir untuk melahirkan bakat sukan berkelibar dan mengharumkan negara pada peringkat antarabangsa, bekas pemain badminton perseorangan negara, Datuk Rashid Sidek, bangkit menyahut cabaran tersebut.

Pencarian bakat ini dijalankan melalui program realiti ‘Rashid Mencari Juara’ (RMJ) yang bertujuan mencungkil pemain badminton berbakat untuk digilap sehingga jadi juara.

Sudah banyak program realiti berbentuk hiburan, sama ada lawak atau nyanyian disajikan kepada penonton. Namun belum ada program realiti sukan untuk melahirkan bakat dalam bidang spesifik, badminton khususnya. Kerana itu Rashid turun gelanggang menjadi pelopor.   


Aksi Rashid selaku pemain perseorangan negara dalam pertandingan akhir menentang Indonesia di Stadium Negara, Kuala Lumpur tahun 1992.


Rashid nama yang hebat dalam sukan badminton. Beliau ialah bekas pemain perseorangan negara, serta pernah menjadi jurulatih perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau cemerlang di persada badminton tempatan dan antarabangsa bersama abang-abangnya - Misbun yang juga pemain perseorangan dan pernah menjadi jurulatih perseorangan BAM, serta Razif dan Jalani, gandingan beregu yang digeruni pada era kegemilangannya.

Anak-anak Mohd Sidek Abdullah Kamar dari Banting, Selangor ini adalah jaguh badminton yang lahir hasil bimbingan dan jerih payah bapa mereka. Tempat latihan hanya gelanggang di halaman rumah. Seorang lagi yang juga dilahirkan oleh keluarga Sidek ialah Rahman.

Adik beradik tersebut berjaya mengharumkan nama negara di persada badminton dunia. Razif, Jalani dan Rashid adalah anggota skuad Piala Thomas yang berjaya menjulang piala tersebut pada perlawanan akhir di Stadium Negara tahun 1992 menewaskan Indonesia. 

Untuk rekod, Rashid memenangi gelaran Terbuka Malaysia tiga tahun berturut-turut, pada  1990, 1991 dan 1992. 

Pada final Piala Thomas 1992, beliau mengalahkan Ardi Wiranata untuk memberikan Malaysia mata pertama. Malaysia menang Piala Thomas menewaskan Indonesia 3-2.

Rashid juga menang pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996, mengalahkan Joko Supriantari dari Indonesia pada suku akhir, seterusnya menewaskan juara dunia 1995, Heryanto Arbi untuk memperoleh gangsa.

Pada tahun sama, Rashid mara ke final Kejohanan Seluruh England (All-England) tetapi tewas kepada Paul-Erik Hoyer Larsen dari Denmark.


Rashid menjulang Piala Thomas yang dimenangi oleh Malaysia pada perlawanan akhir di Stadium Negara Kuala Lumpur tahun 1992 menewaskan Indonesia 3-2. Di kanan, Soo Beng Kiang, pasangan beregu Cheah Soon Kit yang meraih mata kemenangan Malaysia.


Menurut penerbit RMJ, Mohd Najib Jaafar, program bakal bersiaran dalam 13 siri menerusi saluran Sukan HD Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai Ogos 2025. Penggambaran bermula pada peringkat uji bakat, dengan menampilkan Rashid sebagai pengetua dan penasihat.

Selain Rashid, peserta juga mendapat bimbingan daripada jurulatih Zakry Latif, Ameer Amri Zainuddin dan Arif Latif. 

Melalui program ini, peserta terpilih akan diasuh sehingga menjadi pemain terkenal pada peringkat antarabangsa seperti Rashid.

Misi program berkenan tidak hanya mencungkil dan menggilap bakat, tetapi mencari pemain yang benar-benar berdedikasi dan komited serta mampu mempertingkat reputasi Malaysia dalam badminton.

Proses pencarian bakat dijalankan melalui peringkat Zon Utara, merangkumi Perlis, Pulau Pinang dan Kedah. Zon Timur merangkumi Kelantan, Trengganu dan Pahang, sementara Zon Tengah meliputi Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Pemilihan dilakukan dengan kerjasama persatuan badminton negeri, tertumpu kepada bakat muda dalam lingkungan umur 16 hingga 17 tahun yang mempunyai asas bermain badminton serta memenuhi kriteria ditetapkan oleh panel pemilih.


Sebahagian peserta yang menyertai pemilihan 'Rashid Mencari Juara' Zon Timur di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. Rashid di baris belakang, tiga dari kanan.


Sambutan untuk uji bakat begitu menggalakkan. Tetapi daripada jumlah yang menyertai, hanya 12 orang sahaja akan dipilih ke peringkat akhir untuk menjalani kem latihan sebulan  di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. 

Seterusnya peserta akan ditapis lagi sehingga tinggal empat orang yang akan dipilih menjalani latihan peribadi bersama Rashid di Kelab Rashid Sidek. Di sini mereka akan dibimbing dan diasuh untuk menjadi pemain badminton bertaraf dunia.

Usaha menerbitkan program realiti RMJ mencerminkan komitmen peribadi Rashid mempertingkat mutu badminton negara serta melahirkan bakat baharu yang mampu mewakili negara pada peringkat global.

Kerana itu usaha Rashid mencungkil bakat melalui program realiti sebagai kaedah baharu mencari pemain berbakat, wajar dipuji dan disokong. 

Menjadi harapan kita agar program ini berjaya mencapai matlamat. - KitaReporters


Sidek Abdullah Kamar (kiri) bermesra dengan anak-anaknya yeng mencipta kejayaan menjadi pemain terkenal dalam dan luar negara. Dari kanan Jalani, Rashid, Misbun dan Razif. 


Jika Sidek Abdullah Kamar secara berseorangan berjaya mendidik dan melatih anak-anak hingga menjadi juara di dalam dan luar negara tanpa bantuan atau kemudahan latihan ketika itu, Rashid juga mampu melakukannya.

Beliau kini memikul tanggung jawab melahirkan juara seperti yang dilakukan oleh bapanya. Perjuangan dan pengorbanan arwah bapanya akan menjadi pembakar semangat kepada Rashid untuk berjuang sehingga berjaya.

Rashid yang telah melalui ranjau dan liku perjalanan sebelum menjadi juara dunia, mampu menerapkan semangat dedekasi dan kejayaan kepada pemain yang menyertai RMJ.

Tugas beliau menjadi jurulatih perseorangan pasukan badminton negara sebelum ini merupakan aset berharga untuk mencapai impiannya melahirkan juara. Yang terpilh menyertai RMJ mesti berkongsi semangat dan komitmen Rashid jika ingin mengukir nama. - KitaReporters


Wajah adik beradik wira badminton negara. Dari kiri Rashid, Misbun, Rahman, Jalani dan Razif Sidek.

 

 

13
7
0
11
0

Copy Link: