Liga Super 2022: JDT berpesta jaringan benam KL City, 5-0! Menang bergaya buat Hector Bidoglio!
Published byKredit foto-foto: FB JDT
JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta jaringan di halaman sendiri apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 5-0 dalam saingan Liga Super 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada malam tadi (1 Ogos 2022).
Bermain di halaman sendiri ternyata memberi kelebihan buat JDT apabila melancarkan serangan awal ke kubu KL City membuatkan pertahanan KL City sering melakukan kesilapan mudah, sementara KL City pula seperti hilang arah dalam perlawanan ini apabila permainan mereka seakan-akan tidak menjadi dalam perlawanan tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liga Super
Kredit foto-foto: FB JDT
Kali ini kesilapan daripada pemain KL City membawa padah apabila penalti diberikan kepada JDT setelah Fernando Forestieri dijatuhkan dalam kotak penalti biarpun ia sedikit kontroversi pada awalnya kerana pengadil perlawanan memberi sepakan percuma namun keputusan ditukar semula kepada sepakan penalti.
Bergson da Silva mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk meletakan JDT di hadapan seawal minit ke-6.
Beberapa minit kemudian, Fernando Forestieri hampir mencetak nama selaku penjaring namun percubaan beliau sedikit tersasar.
Pada minit ke-18, KL City mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma Paulo Josue namun Farizal Marlias berjaya menidakkan sepakan itu.
KL City cuba menyusun kembali permainan namun hantaran terakhir ketika menyerang sering kali mudah dipatahkan oleh pemain barisan JDT.
Dalam pada itu, JDT yang seperti dapat menghidu kelemahan dan menggunakan larian Arif Aiman Mohd Hanapi sebaik mungkin dan ternyata percaturan itu menjadi apabila gerakan Arif yang lincah membuatkan pemain pertahanan KL City, Anwar Ibrahim menghalang dengan pelbagai cara.
Serangan bertali-arus oleh JDT berjaya membuka jaringan kedua apabila gerakan cantik daripada Bergson melepasi dua pemain KL City dan menewaskan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza pada minit ke-24 untuk meletakkan JDT selesa mendahului 2-0.
JDT yang seakan-akan tidak puas dengan dua jaringan itu terus menekan barisan pertahanan KL City melalui serangan pantas melalui Arif Aiman di sebelah tepi sehingga membuatkan Anwar sukar mengawal gerakan beliau.
Serangan dari tepi melalui pemain lincah, Arif Aiman sekali lagi membuatkan Anwar gagal mengahalang gerakan beliau sehingga terpaksa melakukan hadangan sehingga pengadil terpaksa memberi penalti kali kedua selepas larian Arif dijatuhkan oleh Anwar.
Peluang yang diberikan oleh Bergson untuk mengambil sepakan penalti membuatkan Leandro Velazquez tidak mempersia-siakan peluang tersebut untuk meletakkan JDT selesa 3-0 di hadapan.
Penguasaan JDT sukar dibendung oleh pemain KL City apabila gerakan dan hantaran dari pemain JDT sukar disekat oleh pihak lawan.
Gol keempat hadir apabila gerakan cantik satu dua antara Leandro dan Forestieri memerangkap barisan pertahanan JDT dan Forestieri meletakkan nama beliau juga antara penjaring dalam perlawanan ini.
Kemasukan Safawi Rashid pada hujung perlawanan memberi impak positif apabila beliau juga berjaya mencetak gol kelima untuk membolehkan JDT mencatat kemenangan penuh bergaya.
Kemenangan ini membolehkan JDT terus mendominasi carta liga dan berada di landasan terbaik untuk rangkul kejuaraan kali ke sembilan berturut-turut.
Dan sudah pasti kemenangan ini juga cukup penting buat pengendali baharu JDT, Hector Bidoglio yang baru mengambil alih tugas untuk pasukan utama. - KitaReporters
Kredit foto-foto: FB JDT