Team 150 dari Rusia dinobatkan juara keseluruhan Rainforest Challenge Ke-26 Grand Final 2023


Rainforest Challenge atau Cabaran Hutan Hujan (RFC) Grand Final 2023 telah melabuhkan tirainya dengan menobatkan Konev Sergey dan Blinov Dmitrii dari Rusia (Team 150) sebagai Juara Keseluruhan pada majlis penutup yang berlangsung di Hotel Casuarina, Ipoh pada 11 Disember 2023.

Majlis penutup ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Shaharuddin Abu Sohot. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw.

Team 150 turut memenangi Kategori Jentera Prototaip dan Hadiah Kapasiti Enjin Petrol 3050cc Ke Atas. 

Selain itu, Kategori Pengeluaran Diubah Suai telah dimenangi Aleksei Filiar dan Denis Kupriianov dari Rusia (Team 102), manakala Mohd Rezuan Kihi dan Mohd Ismail Alias dari Malaysia (Team 114) telah muncul Juara Kategori Pengeluaran Standard.

Pada tahun ini (2023), penganjur turut memperkenal Kategori Campuran Wanita dan Lelaki yag dimenangi Sakuna Boonphueak dan Mongkon Piendee (Team 171) dari Thailand.


Team 102 dari Rusia menjuarai Kategori Kenderaan Diubah Suai


Sejak 2 Disember, para peserta RFC Grand Final 2023 telah mengharungi laluan-laluan berhalangan yang mencabar skil pemanduan dan kemampuan jentera 4x4 mereka di 40 Special Stages (SS) pada fasa Prologue, Terminator, Predator, Twilight Zone dan SS Finale yang berlangsung di sekitar kawasan sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah, Ulu Kuang, Sungai Durian, Bekut, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong.

Selain mempertanding 25 jentera 4x4, RFC Grand Final ke-26 ini turut disertai kira-kira 300 pegawai dan kru sokongan serta wakil media dari Rusia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia, France, Slovenia, Laos dan Wales.

RFC Grand Final 2023 merupakan pertandingan pacuan empat roda yang berjaya memperkenal Malaysia pada mata dunia sehingga dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.

Penganjuran RFC Grand Final di Perak ini merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004. 


TEAM 171 yang dianggotai Sakuna Boonphuek dan Mongkon Piendee dari Thailand menjuarai Kategori Campuran


Setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri-negeri terpilih semasa musim hujan monsun di hujung tahun dan berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari Malaysia dan tidak kurang dari 25 negara asing.

Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara tersebut telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara pada mata dunia dan seterusnya mencapai objektif mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutama sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa. - KitaReporters/Kenyataan Media


Para peserta, petugas dan wakil media dari luar negara begambar kenangan semasa majlis penutupan Rainforest Challenge 2023 di Ipoh.

11
19
0
11
0

Copy Link: