Video| Buku Imbauan Sukan SEA! Rakam detik gemilang di Hanoi! Hargai pengorbanan, komitmen atlet!

Published by
KitaReporters

BUKU 'Imbauan Sukan SEA ke 31' tulisan Rodly Fadly (kiri) dilancarkan oleh Ali Rustam di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, pada Ahad, 19 Februari,2023 lalu.


PRESTASI membanggakan Malaysia pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, pada tahun lalu (2022) kini diabadikan dalam buku berjudul ‘Imbauan Sukan SEA ke-31’ sebagai menghargai pencapaian atlet yang menyumbangkan pingat pada temasya sukan itu.

Buku yang diilhamkan oleh Ketua Kontinjen ke Sukan SEA ke-31, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dan ditulis oleh wartawan sukan berpengalaman, Rodly Fadly itu mengimbau kembali detik-detik kejayaan atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada sukan berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan SEA


Kontinjen negara yang meletakkan sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa berjaya melepasi sasaran itu apabila membawa pulang sebanyak 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa pada temasya yang berlangsung pada 12 hingga 23 Mei, 2022 lalu.

Menurut Nur Azmi, penerbitan buku itu bukan sahaja memberi kepuasan peribadi kepada beliau sebagai ketua kontinjen, sebaliknya ia juga sebagai penghargaan kepada atlet, malah akan menjadi khazanah bernilai untuk sukan negara.

“Ia julung-julung kali buku seumpama ini diterbitkan sebagai satu bentuk penghargaan kepada atlet yang bekerja keras untuk mencapai sasaran pada Sukan SEA lalu.


 


“Saya mendapat ilham untuk menghasilkannya selepas melihat kesungguhan serta pengorbanan mereka sepanjang persiapan dan pertandingan. Sebagai ketua kontinjen saya mengikuti perkembangan setiap pasukan dan atlet dari hari pertama dilantik dan saya sangat kagum dengan komitmen mereka.

“Bayangkan, ada atlet yang sanggup mengorbankan sambutan hari raya semata-mata mahu memberi tumpuan kepada latihan. Mereka benar-benar komited untuk memenangi pingat dan sewajarnya pengorbanan mereka dihargai.

“Pada masa sama buku ini adalah satu cara saya mengekspresikan kepuasan saya dengan apa yang kita capai pada Sukan SEA ke-31 itu. Ia bukan misi yang mudah memandangkan kita berdepan pelbagai cabaran ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Saya juga berharap buku ini akan menjadi salah satu khazanah sukan negara untuk tatapan generasi akan datang dan diharap lebih banyak buku seumpamanya akan diterbitkan selepas ini,” katanya.

Majlis pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada Ahad, 19 Februari, 2023 lalu.

Majlis turut dihadiri oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, Timbalan Presiden MOM, Datuk Wira Hamidin Mohd Amin serta tokoh-tokoh pentadbir persatuan sukan lain.


 


Sementara itu Rodly yang merupakan Mojo KitaReporters, menganggap peluang yang diberi untuk menulis buku itu merupakan satu pengalaman yang berharga, juga penghormatan kepada dirinya.

“Sebagai penulis sukan, memang menjadi impian saya untuk menghasilkan buku berkaitan sukan apatah lagi buku-buku seumpama ini tidak banyak diterbitkan di negara kita sedangkan banyak sejarah sukan Malaysia yang boleh kita bukukan untuk dijadikan bacaan generasi sekarang dan akan datang.

“Malah buku-buku berkaitan tokoh-tokoh sukan boleh dijadikan inspirasi kepada generasi muda yang menceburkan diri dalam bidang sukan.

“Saya sangat menghargai usaha Datuk Wira Azmi menghasilkan buku ‘Imbauan Sukan SEA ke-31’ dan rasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada tenaga kerja kepada penerbitan buku ini.

“Lebih membanggakan apabila ia dilancarkan oleh Tun Mohd Ali, tokoh yang banyak berjasa kepada sukan Malaysia melalui pembabitan beliau dengan pelbagai persatuan seperti Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Persatuan Seni Silat Malaysia (PESAKA) dan kini sebagai Ahli Majlis Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF),” kata Rodly.

Buku terbitan Ashikin Holdings, setebal 128 muka surat itu dijual dengan harga RM150 (kulit keras) manakala RM100 (kulit lembut) dan hasil jualan itu akan disalurkan kepada beberapa badan seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Tabung Pelajaran Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Insan Berkeperluan Khas (IKHLAS), Pusat Tahfiz Melaka dan Pusat Kebjikan Warga Emas. - KitaReporters


BUKU 'Imbauan Sukan SEA ke-31' adalah hasil ilham Nur Azmi (nombor dua dari kiri), ditulis oleh Rodly (kanan sekali) dan diterbitkan oleh Norashikin Ismail (dua dari kanan). Turut memeriahkan majlis pelancaran adalah pengulas sukan, Hafizal Hamad.


NORZA turut hadir memberi sokongan pada majlis pelancaran buku 'Imbauan Sukan SEA ke-31'.

14
8
0
11
0

Copy Link: