SEPULUH tahun berkenalan dan dua bulan mengikat tali pertunangan, akhirnya pelakon Raysha Rizrose, 27, sah bergelar isteri kepada pelumba kereta Formula 2 (F2), Nabil Jeffri, 30, dengan sekali lafaz.

Pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.52 malam, Rabu, 22 Februari 2023.

Raysha atau Farza Naquraisha Mohd Fariz, dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Fariz Arshad disaksikan oleh Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis perkahwinan


Raysha bersyukur segala yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan.


Raysha menerima mas kahwin sebanyak RM2,222.

Pihak lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama oleh pengantin perempuan. Wang hantaran bagaimanapun dirahsiakan atas permintaan keluarga.  

"Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, Insya-Allah," ucap finalis Dewi Remaja 2014/2015 ini kepada pengamal media selepas sah bergelar isteri. 


Rasya menjadi isteri Nabil dengan sekali lafaz 

Majlis dihadiri kira-kira 200 orang terdiri ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta teman rapat. Untuk majlis pernikahannya itu. 

Raysha memakai busana pengantin berwarna putih rekaan Teh Firdaus.

Pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada 26 Februari 2023 ini di lokasi sama.  

Pada 22 Disember 2022 lalu, pasangan ini melangsungkan pertunangan di Petaling Jaya, Selangor. 


Rasya beriringan dengan bapanya Mohd Fariz


Adik kepada pelakon Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan yang mekar sejak 10 tahun lalu.

"Kami kenal sejak 2013 menerusi laman Twitter. Ketika itu, saya masih menuntut di sekolah menengah.

"Hubungan sudah tentu ada fasa turun naik selama 10 tahun ini. Namun, kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami," kata anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Menurut Raysha, Nabil menyatakan hasrat memperisterinya pada 16 Ogos 2022 dan memutuskan mengikat tali pertunangan pada 22 Disember 2022.

"Momen dan detik masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran di tempat sama Nabil melamar saya sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu," katanya.

Menurut Raysha bulan madu masih belum dirancang. Ini kerana jadual kerjanya masih padat. Soal mempunyai cahaya mata juga belum difikirkan.

Setelah berkahwin Raysha akan selektif dalam memilih watak. - KitaReporters



 

14
15
0
9
0

Copy Link: