Konsert Music Of The Soul Siti Nurhaliza penuh rasa! Berjaya kumpulkan dana untuk Yayasan Nurjiwa!
Published byPENYANYI Datuk Seri Siti NurhalizaTarudin tidak segan mengaku yang dia sebenarnya gementar untuk menghiburkan penonton sewaktu Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza di Dewan Pleanari, KLCC pada 5 dan 6 November 2022 lalu.
Siti yang memulakan persembahan untuk malam pertama dengan lagu Warna Dunia, diiringan lapan penari itu berkata, dia gementar kerana sudah lama tidak mengadakan persembahan pentas.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan acara-acara konsert
Meskipun terkesan akibat Covid-19, persembahan Siti Nurhaliza tetap memukau penonton.
Tambahan pula, persembahan eksklusif Siti untuk dua malam berturut-turut adalah bagi mengumpul dana untuk Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada tahun 2006, seusia perkahwinan mereka.
“Sebenarnya saya nervous sebab tiga tahun tidak boleh buat persembahan. Bukan mudah untuk saya kembali ke pentas. Saya turut terkena Covid sebelum ini dan kesannya, ketahanan paru-paru dah kurang. Apa pun untuk malam ini, saya berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan pesembahan malam ini.
“Anda yang hadir pada malam ini adalah dermawan. Sebagai tanda terima kasih kepada sokongan anda, Yayasan Nurjiwa ingin memberi semula kepada masyarakat.
"Paling membuatkan saya rasa terharu kerana sambutan yang diberi oleh peminat. Ini persembahan ekklusif untuk mengutip dana bagi Yayasan NurJiwa,” katanya sewaktu ditemui selepas persembahan.
Penonton yang hadir menonton persembahan Siti adalah dermawan yang sumbangan mereka disalurkan ke Yayasan Nurjiwa.
Jelas Siti, sejak penubuhan Yayasan Nurjiwa, adakalanya dia dan suami menggunakan wang sendiri untuk mengendalikan beberapa aktiviti kebajikan.
Siti yang mahu Yayasan Nurjiwa terus berbakti kepada orang ramai, rasa bersyukur kerana persembahan Music Of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza, anjuran yayasan tersebut mendapat sokongan penuh dan kedua-dua malam full house.
Persembahan Siti setiap malam, dibahagikan kepada empat segmen.
Persembahan Siti selama dua jam lebih yang dibahagikan kepada empat segmen itu diiringi pemuzik profesional yang diketuai Aubrey Suwito.
Untuk segmen pertama Siti meneruskan persembahan dengan lagu Siapa Tak Mahu, Diari Hatimu, Anta Permana dan medley Kuasa Cintamu serta Bukan Cinta Biasa yang dilabelnya sebagai lagu zaman anak dara.
“Siapa masa tengah study dengar lagu Siti Nurhaliza. Masa bercinta dan putus cinta dengar lagu Siti Nurhaliza? Waktu tu zaman orang tulis dairi. Biasalah bila kita minat sesuatu lagu, kita akan terasa.
“Kalau anda peminat Siti Nurhaliza, ada satu lagu yang sama usia dengan Aafiya. Lagu ini keluar selepas saya bersalin dan ia amat istimewa untuk saya kerana saya yang minta komposer buat khas untuk Aafiya. Saya nak anda semua hayati lirik Anta Permana,” celotehnya yang membuatkan penonton berteka-teki tentang judul lagu tersebut.
Tetap berusaha memberikan persembahan terbaik demi peminat tercinta.
Siti juga berkongsi rasa kesukarannya memilih senarai lagu setiap kali menjayakan persembahan, namun dia rasa bangga bila lagu-lagunya disukai ramai.
Sebagai tanda penghargaannya kepada peminat dan juga sifunya dalam bidang perniagaan, Siti mendendangkan lagu Dalam Taman Syahdu, khas untuk Datuk Seri Wira Dr Azizan Osman yang hadir menonton persembahannya.
Untuk segmen kedua, Siti memilih lagu Lebih Indah, Segala Perasaan, medleu Cinta Tak Berganti dan Beradu di Khayalan serta Aku Bidadari Syurgamu.
Persembahan Siti tak membosankan kerana dia akan selang seli dengan cerita-cerita menarik. Setiap kali Siti bercerita, penonton akan tertawa kerana ada saja kisah lucu yang dikongsinya.
Siti berjaya menghiburkan penonton dengan suara merdunya dan celotehnya yang bersahaja.
“Saya suka baca komen netizen, rupa-rupanya ramai yang prihatin terhadap saya. Siti jangan pakai baju ropol-ropol la dan macam-macam lagi. Saya baca saja tapi tak terpengaruh pun kerana masing-masing bebas memberi komen,” katanya yang terhibur dengan gelagat peminat.
Memandangkan penonton di bahagian hadapan sanggup melabur membeli tiket berharga RM1,188, sebagai tanda penghargaan, Siti turun bertemu penonton.
Siti tergamam bila penonton yang diajak menyanyi bersama memberitahu namanya adalah Istiqomah. Dalam sebak wanita itu masih boleh mengajak Siti menyanyikan lagu Cindai.
Bukan setakat Siti, penonton juga terkejut bila peminat itu memberitahu namanya, Istiqomah.
Seorang lagi peminat yang terkejut apabila Siti menghampirinya mengakui tahu lagu Comel Pipi Merah kerana lagu itu kesukaan anaknya, tapi bila ditanya nama anak, boleh pula dia lupa. Gelagat spontan wanita yang terlupa nama anak kerana didekati Siti Nurhaliza itu membuatkan satu dewan tertawa.
Peminat ketiga yang disapa oleh Siti adalah dari Brunei dan ini bukan kali pertama dia hadir menonton persembahan penyanyi tersohor itu. Kata Siti, dari atas pentas lagi dia melihat peminat lelaki itu menyanyi dengan penuh perasaan setiap lagu yang didendangkannya.
Si ibu yang terlupa nama anaknya, bila dapat berbual dengan Siti Nurhaliza secara bersemuka.
Untuk segmen seterusnya iaitu segmen akustik, Siti mendendangkan lagu Kau Kekasihku dan Bila Harus Memilih secara medley, diikut dengan lagu Nian Di Hati, Melawan Kesepian dan Ratuku, lagu Awie.
Jelas Siti, ini bukan kali pertama dia bergandingan dengan Awie kerana sebelum ini mereka sudah beberapa kali beraksi di pentas yang sama. Bagaimanapun untuk persembahan eksklusif ini adalah pertama kali.
“Pengalaman berduet dengan Datuk Awie bukanlah pertama kali dan pernah bekerjasama beberapa kali sebelum ini. Tapi untuk persembahan eksklusif ini first time. Kita orang berborak lama sikit dan nyanyi lebih daripada satu lagu.
“Datuk Awie nyanyi lagu tradisional pula tu dan saya pilih lagu Pantun Budi dan dia kata okey. Saya bagi cadangan untuk nyanyi lagu duet, tapi saya tanya dia dulu, nak nyanyi lagu apa.
“Bukan apa, siti lebih suka penyanyi asal yang pilih, tak naklah kita yang pilih takut dia tak selesa pula. Datuk Awie pilih Baldu Biru dan dia setuju dengan Pantun Budi, cadangan saya itu,” jelas Siti yang suka melihat persembahan Awie bersama Wings sewaktu zaman funfair lagi.
Segmen Awie dan Siti seronok kerana dapat dengar penyanyi rock itu menyanyikan lagu tradisional.
Dek kerjasama untuk menjayakan persembahan Music Of The Soul, Siti mendapat idea untuk menghasilkan album tradisional bersama Awie, bila tiba masa yang sesuai.
“Perancangan album tradisional itu, insya-Allah akan terjadi. Datuk Awie dah cakap okey. Mungkin kita cuba dengan single dulu bagi hit. Idea untuk buat album, masa rehearsal dan nyanyi.
“Sebenarnya Datuk Awie ni, dia nyanyi lagu apa pun ada kesedapannya. Bagilah lagu apa-apa pun, bila suara dah sedap dan lemak, dia lenggok sikit pun dah rasa wow. Dia tidaklah orang yang betul-betul terror tradisional tapi lenggoknya sedap,” luah Siti tentang pandangannya terhadap Awie.
Malah Awie, yang mendendangkan lagu Di Penjara Janji melahirkan rasa gembira kerana dijemput oleh Siti untuk menjayakan persembahan bersama.
Siti bakal mengadakan konsert pada tahun hadapan untuk menghibur peminatnya yang setia.
Persembahan pada malam itu disudahi dengan lagu tradisional yang jarang dipersembahan di pentas iaitu Seloka Budi (ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan), Senyum Minang Manis (Abot), dan Ya Maulai, lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah.
Rata-rata penonton berpuas hati dengan persembahan Siti dan bagi pemegang tiket paling mahal, mereka berpeluang untuk bergambar dengan penyanyi tersebut sewaktu sesi meet and greet.
Siti juga berjanji pada tahun hadapan akan mengadakan konsert berskala besar untuk peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya. - KitaReporters
Selepas persembahan, peminat yang membeli tiket berharga RM1,188 berpeluang bergambar dengan Siti untuk sesi meet and greet.