Keluarga Malaysia santuni Orang Asli! Suku Jahai! Geng ngaji Bandar Tun Hussein Onn hulur sumbangan!
Published byPerkampungan Orang Asli Suku Jahai di Royal Belum, Gerik, Perak.
RASA sayu dan perasaan teruja 19 ahli Geng Ngaji Ustaz, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor apabila kali pertama dapat memijak tanah di perkampungan Orang Asli Suku Jahai di Kampung Klewang, Royal Belum, Gerik, Perak pada 25 November 2022 lalu.
Tertanya antara mereka akan kekuatan serta semangat kental dan jati diri Suku Jahai untuk terus kekal dalam kehidupan yang serba kekurangan dengan mengamalkan rutin hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apabila memburu haiwan menjadi kerjaya utama mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masyarakat Orang Asli
Ahli Geng Ngaji Ustaz merakam kenangan di atas 'Boathouse' sebelum menelusuri sungai memasuki Royal Belum.
Perasaan mereka juga tersentuh apabila melihat masyarakat Orang Asli di perkampungan itu amat menghargai serta menyanjung tinggi bantuan yang diterima hasil sumbangan atau infak pelbagai pihak luar.
Seperti kata Tok Batin perkampungan itu, Jamri Gebis, masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan sentiasa diingatkan untuk bersikap terbuka, berlapang dada menerima kunjungan orang luar yang datang memberi sumbangan di samping melihat kehidupan sebenar mereka di situ.
Jamri Gebis (dua dari kiri) menceritakan mengenai perkampungan Suku Jahai kepada ahli Geng Ngaji Ustaz sebaik tiba di Kampung Klewang.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu, berkata orang bandar yangdatang disambut penuh hormat dengan hati terbuka tanpa membezakan apa bangsa sekali pun terutama apabila kunjungan mereka itu membawa buah tangan.
“Kerana itu saya sentiasa berpesan kepada anak buah untuk bersangka baik dengan kunjungan orang bandar, lemparkan senyuman walaupun kali pertama bertemu dan hulur tangan untuk bersalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan ahli Geng Ngaji Ustaz BTHO yang mengunjungi perkampungan berkenaan dalam program ekspedisi mereka selama tiga hari dua malam di Royal Belum.
Alias Ahmad (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Jamri pada 25 November 2022.
Menurut Jamri ketika bercerita mengenai perkampungan berkenaan kepada ahli geng terbabit, sebelum itu mereka menetap di Kampung Aman Damai dan terpaksa berpindah ke Kampung Klewang akibat banjir besar pada 2014.
Jelasnya, dia bersama kira-kira 150 penduduk Suku Jahai
daripada 40 keluarga terpaksa akur arahan itu demi keselamatan dan ketika
pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu mereka semua selamat
serta tidak terkena jangkitan wabak itu.
“Selepas pandemik ini beransur pulih pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) khususnya tidak berhenti menghulurkan bantuan seperti bakul makanan, mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan selain disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekarang ini kami sudah dapat menjalani rutin hidup seperti biasa, boleh keluar memburu dan ke pekan berdekatan untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya sambil menerangkan penggunaan sumpit untuk memburu binatang buas serta racun dari getah pokok ipuh.
Orang Asli Suku Jahai, Kwon Gebis menunjukkan kepakaran menyumpit kepada ahli Geng Ngaji Ustaz.
Ketua ekspedisi Geng Ngaji Ustaz, BTHO, Alias Ahmad, berkata pada peringkat awal mereka merancang ke Royal Belum bagi beriadah iaitu memancing sambil mengadakan kelas mengaji di atas ‘Boathouse’ keluar dari lokasi biasa yang selalu diadakan di dalam kelas.
Menurutnya, apabila cadangan itu diuar-uarkan kepada ahli terus mendapat sambutan luar jangkaan dan sebahagian besar mengesyorkan supaya diadakan juga aktiviti menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan memilih untuk mengunjungi perkampungan Orang Asli Suku Jahai berkenaan.
Orang Asli Suku Jahai dan ahli Geng Ngaji Ustaz bergotong-royong mengangkat barangan sumbangan pelbagai pihak.
Jelasnya, dalam tempoh dua minggu ahli geng berkenaan mengumpul pelbagai barangan makanan asas kering seperti beras, gula, tepung, sardin dan kari ayam dalam tin, susu pekat manis, bihun, biskut, roti, tuala pelekat wanita, pampers, mi segera, pakaian terpakai dan sebagainya.
Barangan makanan asas kering dan pakaian terpakai itu adalah
infak pelbagai pihak untuk NGO seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Nur
Hasanah, Al Fikrah Malaysia, Yayasan Bunga Raya bagi disalurkan kepada mereka
yang memerlukan bantuan termasuklah sumbangan individu prihatin serta ahli Geng
Ngaji sendiri.
Alias berkata, ekspedisi itu juga secara tidak langsung mengukuhkan ukhwah antara ahli Geng Ngaji al-Quran sedia ada dengan sahabat baharu terutama mereka yang menyertai kelas mengaji dan secara tidak langsung menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran walaupun di mana sahaja aktiviti dijalankan.
Alias berhalaqah bersama-sama ahli Geng Ngaji Ustaz di atas 'Boathouse'.
Tambahnya, riadah dengan aktiviti yang bermanfaat menelusuri
sungai di tengah-tengah alam semula jadi dan kehijauan flora fauna melihat kebesaran
Allah SWT dan kita hamba-Nya mengakui bahawa tidak Allah SWT jadikan hutan hijau
dan tasik yang besar ini sia-sia, melainkan ada manfaat kepada hamba-Nya.
“Di samping program halaqah saya turut mengadakan tazkirah ringkas selepas solat subuh berjemaah sepanjang ekspedisi ini dan setiap kali masuk waktu solat ahli yang bertugas sebagai bilal akan mengalukan azan di atas ‘Boathouse’ ini mengheningkan suasana berada di Royal Belum,” katanya. - KitaReporters
Setiausaha Ekspedisi Geng Ngaji Ustaz, BTHO, Ayob Shafie memberi taklimat ringkas khusus mengenai langkah keselamatan sebelum aktiviti memancing dilakukan.
Sebahagian ahli Geng Ngaji Ustaz bersiap sedia bergerak ke kawasan lubuk dan hulu sungai Royal Belum untuk memancing.