PERCAYAKAH anda seekor kambing ditangkap oleh polis dan dibawa ke balai setelah didapati merayau-rayau di jalan tanpa memakai pelitup muka (masks)? Bunyinya seperti kelakar tetapi ia berlaku di pekan Beconganj, wilayah Kanpur di negeri Uttar Pradesh, India. : KitaReporters

WAJARKAH kambing turut dikenakan peraturan memakai pelitup muka untuk mengekang penularan wabak Covid-19? - Kredit foto: timesnownews.com



Memakai pelitup muka dan penjarakan sosial memanglah dua amalan utama yang perlu sentiasa dipatuhi dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. Di negara ini, mulai 1 Ogos 2020 lalu, rakyat diwajibkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan tumpuan awam. Mereka yang ingkar dan ditahan oleh pihak berkuasa berhadapan  dengan denda sehingga RM1,000.

Tidak sukar memahami jika mereka yang ingkar ini diambil tindakan tanpa peringatan kerana mereka sepatutnya memahami peraturan yang dikenakan. Tetapi bagaimana dengan haiwan? Adakah haiwan faham peraturan memakai pelitup muka dan adakah tertakluk kepada peraturan tersebut?


Memetik laporan Times of India,  dalam kejadian pada 26 Julai 2020, seekor kambing yang merayau-rayau di  jalan raya dalam kawasan pentadbiran polis Beconganj, Kanpur, ditangkap kerana tidak memakai pelitup muka dan dimasukkan ke dalam jip peronda polis. Haiwan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Beconganj

Untuk rekod, Kanpur ialah sebuah bandar perindustrian terletak dalam negeri Uttar Pradesh di utara India. Kedudukannya di tebing selatan Sungai Ganges, 80 kilometer ke barat Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Peristiwa tangkapan kambing ini yang kemudian diviralkan, mengejutkan malah menjadi bahan ketawa penduduk dan para pengguna media sosial apabila melihat sekumpulan anggota polis menyumbat kambing tersebut ke dalam jip dan membawanya ke balai.

ANGGOTA polis memasukkan kambing ke dalam jip peronda selepas menangkapnya merayau-rayau di jalan tanpa memakai pelitup muka. - Kredit foto: Times of India.


Apabila pemilik kambing berkenaan mendapat tahu haiwan miliknya telah dibawa ke Balai Polis Beconganj, dia segera menuju ke balai tersebut dan merayu meminta kambingnya dikembalikan. Polis kemudian membenarkan dia mengambil semula kambingnya tetapi dengan amaran keras tidak membiarkan kambingnya berkeliaran di jalan raya.

Menurut seorang pegawai polis kawasan berkenaan, Anwarganj Saifuddin Beg, pada mulanya polis ternampak lelaki yang tidak memakai pelitup muka berjalan dengan membawa bersamanya seekor kambing. Bagaimanapun apabila dia ternampak jip peronda polis, dia melarikan diri dengan meninggalkan kambingnya. Dia sedar telah melakukan kesalahan kerana tidak memakai pelitup muka dan lari untuk mengelak daripada diambil tindakan.

Seorang anggota polis yang sama-sama menangkap kambing tersebut memberitahu, mereka bertindak menangkap kambing itu apabila mendapati ia merayau-rayau melanggar perintah pencegahan Covid-19 kerana tidak memakai pelitup muka.

Katanya, ramai pemilik haiwan menjaga keselamatan haiwan mereka, misalnya pemilik yang memakaikan pelitup muka kepada anjing mereka. Oleh itu katanya, pemilik kambing juga wajar melakukan perkara sama.

PEMANDANGAN sebahagian bandar Kanpur, Uttar Pradesh, India. - Kredit foto: Britainnica.


Dalam pada itu, menurut versi timesnownews.com, polis menerima laporan daripada penduduk Beconganj mengenai seekor kambing yang merayau-rayau dalam kawasan pekan itu. Ekoran itu kambing berkenaan ditangkap dan dibawa ke balai.

Mereka membawa haiwan itu ke balai kerana sambutan Aidiladha atau dikenali sebagai ‘Bakrid’ di kawasan tersebut, sudah hampir. Polis mengandaikan kambing itu bakal disembelih untuk korban. Kerana itu mereka membawanya ke balai dan kemudian menghubungi pemiliknya untuk mengambilnya.

Agensi berita itu tidak dapat mengesahkan adakah benar kambing itu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka. Bagaimanapun di India, antara negara yang teruk dilanda Covid-19, langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial perlu diatuhi pada setiap masa. - KitaReporters

0
1
0
1
1

Copy Link: