Kredit foto: Sinar Harian


PPE atau personal protective equipment (peralatan perlindungan peribadi) telah menjadi 'uniform rasmi' dan wajib bagi petugas barisan hadapan (frontliners) kesihatan di negara ini sermasa merawat, menyelia dan menguruskan kes-kes berkaitan Covid-19.

Pada permulaan wabak ini berleluasa di Malaysia, bekalan PPE di seluruh hospital Covid-19 tidak mencukupi sehingga memaksa petugas barisan hadapan kita untuk mencari jalan penyelesaian segera, seperti membuat PPE menggunakan plastik sampah dan sebagainya.

Namun setelah setahun lebih kita bergelumang dengan wabak tersebut, pengurusan logistik para petugas barisan hadapan kita makin terurus dan sistematik.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PPE


Dalam pada itu, semakin ramai pihak ketiga tampil memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk sebagai salah satu tanda sokongan masyarakat Malaysia terhadap para petugas barisan hadapan kita.

Terbaru, Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Adham Baba menerima sumbangan PPE daripada Pertubuhan Amal Sentuhan Qaseh.

Sumbangan disampaikan oleh Datuk Yusri Ahmad, selaku Pengerusi Program Sumbangan PPE kepada petugas barisan hadapan kesihatan, Pertubuhan Amal Sentuhan Qaseh.

Menariknya, baju PPE yang disumbangkan ini adalah hasil keringat jahitan sendiri oleh ahli-ahli Kelab Belia Warisan, yang beralamat di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Menurut Yusri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bercadang memberikan sumbangan baju PPE kepada para petugas barisan hadapan kesihatan sebanyak 5,000 unit selama sebulan sepanjang Covid-19 ini.



Ini merupakan salah satu contoh penglibatan NGO atau pihak ketiga dalam membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh para petugas kita bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dihentikan segera.

Dalam satu kenyataan, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik bentuk sumbangan sebegini dan meyakini usaha kecil ini mampu melancarkan tugas para penjawat awam, khususnya di KKM.

"Kementerian Kesihatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pertubuhan Amal Sentuhan Qaseh atas sumbangan ini, yang sudah pasti akan  melancarkan tugas semua petugas kesihatan KKM yang sedang berjuang di barisan hadapan berdepan dengan COVID-19 ketika ini," kenyataan KKM kepada KitaReporters.

Hadir sama semasa sesi penyerahan tersebut Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan; Mohd Hanafi Abdul Mutalib, Pengerusi Pertubuhan Amal Sentuhan Qaseh; dan Zainuddin Yahaya, Setiausaha Kerja Pertubuhan Amal Sentuhan Qaseh. - KitaReporters


Kredit foto: Malay Mail

0
1
0
0
0

Copy Link: