Anak-anak didik masih power! Konsert Tribute Seniman Negara Ahmad Nawab buktikan! Rugi tak tonton!
Published byAhmad Nawab sempat berkongsi pengalamannya sebagai komposer dengan penonton.
BIARPUN hanya menonton persembahan pra-Konsert Tribute Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 Jun 2022 lalu, tetapi tetap seronok.
Mana taknya, penonton yang kebanyakannya pihak media berpeluang mendengar lagu-lagu malar segar hasil ciptaan komposer tersohor tanah air, siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Ahmad Nawab.
Jika penonton rasa terhibur, Ahmad pula mengalir air mata tatkala mendengar lagu-lagu ciptaannya didendangkan oleh penyanyi yang merupakan anak didiknya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penganjuran konsert
Pada malam itu, penonton dihiburkan oleh Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan Shidee dengan iringan Orkestra DBKL. Dua lagi penyanyi yang menjayakan konsert tribute tersebut tidak dapat hadir ialah Datuk Khadijah Ibrahim dan Wany Hasrita.
Ahmad yang muncul di pentas untuk segmen temu bual bersama pengacara, Fatil Hidayat Ghazali menganggap muzik adalah sebahagian daripada dirinya.
Justeru itu, beliau merasa sebak apabila mendengar lagu-lagu ciptaannya diperdengarkan secara langsung oleh penyanyi yang melonjak naik kerana karyanya itu.
Jamal tetap memberikan persembahan terbaik walaupun pada malam rehearsal.
“Sewaktu di belakang pentas tadi, saya rasa nak menangis bila dengar balik lagu-lagu ciptaan saya yang dinyanyikan dengan baik oleh penyanyi didikan saya itu. Rasa nak menangis.
“Saya pun tak boleh fikir, macam mana saya boleh buat banyak lagu (lebih 2,000) dan setiap lagu itu ada karakter tersendiri.
"Waktu di belakang pentas tadi mengalir air mata saya. Itulah satu penghargaan yang besar bagi saya sebagai anak seni dan saya bersyukur,” katanya sewaktu ditanya tentang perasaannya mengenai konsert yang ditujukan khas kepadanya itu.
Lagu pertama ciptaan Ahmad Khan Nawab Khan, 90, adalah Bintang Malam yang terdapat dalam filem Do Re Mi dan didendangkan oleh Allahyarham Puan Seri Saloma, Allahyarham Zaharah Agus dan Uji Rashid.
Ramlah Ram masih boleh mendendangkan lagu bernada tinggi seperti Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu.
Konsert Tribute Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab yang berlangsung pada 1 hingga 3 Julai ini, seperti yang diberitahu oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mesran Mohd. Yusop, merupakan konsert untuk membayar ‘hutang’ kepada Ahmad Nawab.
“Seniman Negara adalah anugerah yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada insan-insan seni yang terpilih yang diselia atau dianjurkan oleh JKKN.
“Seniman Negara kita ini adalah seniman yang keenam, yang terima anugerah tersebut pada November 2006. Kita ada tujuh Seniman Negara dan satu-satunya Seniman Negara yang masih hidup.
“Jadi kita telah bersepakat supaya dapat melaksanakan konsert ini selagi beliau masih hidup. Kebanyakan sebelum ini kita akan tribute konsert ini kepada mereka yang telah tiada,” terang Mesran tentang objektif konsert tersebut.
Konsert terbitan Bin Jamal Event Sdn. Bhd.,dan dibawa khas secara bersama oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dan Istana Budaya itu menggunakan bajet Geran Sepadan daripada MOTAC.
Turut terlibat dan menjadi rakan strategik bagi pelaksanaan konsert tersebut ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Mesran Mohd. Yusop (duduk kiri) bersama barisan artis selepas persembahan.
Kira-kira 22 buah lagu termasuk solo dan duet yang popular ciptaan komposer tersebut didendangkan oleh penyanyi-penyanyi yang terlibat.
Menurut Ahmad, beliau berpuas hati dengan pemilihan lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert. Jelasnya, lagu ciptaannya yang sering dinyanyikan di pentas tidak menjemukan walaupun diperdengarkan berulang kali.
“Lagu popular kalau dinyanyi banyak kali pun tak apa. Pilihan lagu untuk konsert ini saya rasa sesuai. Banyak lagi lagu kalau nak dinyanyikan dan pilihan ini sesuai kerana banyak orang suka.
“Penganjur juga telah berbincang dengan saya sebelum persetujuan dibuat untuk senarai lagu. Lagu-lagu saya dihasilkan mengikut karakter si penyanyi.
“Macam lagu Seniman Menangis, saya cipta khas untuk Jamal sebab dia bawa range tiga untuk lagu tersebut. Penyanyi lain cuma nyanyi dengan dua oktaf saja. Lagu tu susah nak dibawa selain Jamal.
Nyanyian Shidee masih mantap walaupun sudah lama tidak merakam lagu.
“Waktu saya buat lagu tu, saya bergaduh dengan dia. Dia kata saya nak bunuh dia? Saya sengaja nak buat lagu yang belum dinyanyikan oleh orang lain kerana keynya terlampau tinggi. Sampai hari ini dia nyanyi dengan begitu istimewa.
“Gelaran Penyanyi No 1 Malaysia memang betullah untuk dia. Dalam lagu itu banyak pergaduhan, macam-macam karakter dia buat tapi saya sabar,” imbas Ahmad kisah sewaktu rakaman lagu Seniman Menangis.
Bagi Jamal, tatkala diberitahu bahawa Seniman Menangis adalah permintaan daripada Ahmad, beliau tidak dapat menolak.
“Saya diberitahu yang lagu itu adalah permintaan daripada Datuk Seri untuk saya nyanyikan. Bila kata lagu itu, saya terbayang dia main saksafon kerana itu nampak lebih menarik dan saya setuju untuk nyanyi walaupun bernada tinggi.
“Walaupun malam rehearsal, dari dulu prinsip saya kalau menyanyi saya akan menyanyi sungguh-sungguh. Saya akan hiburkan setiap orang. Saya tak ada kalau rehearsal saya buat biasa-biasa.
“Bagi saya walaupun saya seorang diri dalam bilik air saya akan menyanyi bersungguh-sungguh, semampu boleh. Tak tahulah hari ini hasilnya bagus atau tidak, saya tak tahu. Penonton yang boleh menilainya,” katanya.
Ramlah dan Shidee bergandingan menyanyikan lagu Uji dan Hail.
Sementara Shidee, yang popular dengan lagu Janganlah Menghancurkan dan Sayang Semuanya Sudah Terlambat sehingga kini masih berharap dapat merakam lagu ciptaan komposer tersebut.
“Saya dengan ikhlas hati ingin berkongsi bahawa saya tidak mengeluarkan produk sudah 14 tahun. Kenapa saya tak menyanyi selama 14 tahun? Sedangkan saya menyanyi boleh mendapatkan hasil yang baik, tapi saya tinggalkan begitu kerana syarikat rakaman itu tidak lagi mahu Ahmad Nawab terbitkan album saya.
“Saya kata, kalau Ahmad Nawab tidak terbit album saya, maka saya tak menyanyi. Maknanya harapan saya pada Datuk Ahmad Nawab sangat tinggi. Saya sanggup susah selama 14 tahun, pergi ke Brunei berniaga dan sebagainya.
“Saya jelaskan saya sangat perlukan, walau sampai ke mana pun umur Datuk Ahmad, saya yakin ciptaannya sangat baik. Sebab lagu yang dia buat untuk saya, Jamal, Ramlah dan banyak lagi penyanyi, semuanya berjaya,” kongsi Shidee.
Selain menyanyi, Jamal juga bertindak sebagai penerbit untuk konsert ini.
Bagi penyanyi Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi, Ramlah Ram bersyukur namanya tersenarai untuk menjayakan konsert tribute tersebut.
“Memang lama sangat tak berjumpa dengan Datuk Ahmad Nawab dan hari ini rasa terubat la rindu itu. Rasa gembira sangat sebab terpilih untuk menjayakan konsert ini. Syukur alhamdulillah,” katanya yang mendendangkan lagu popular Sharifah Aini, Tiada Maaf Bagimu dan duet dengan Shidee, Bertemu Untuk Berpisah, nyanyian asal Uji Rashid dan Hail Amir.
Lagu-lagu lain yang didendangkan sepanjang konsert berlangsung adalah Sendiri, Perpisahan Tanpa Relamu, Pilihlah Aku, Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Kau Tinggi Di Awan Biru serta Seiring dan Sejalan.
Bagi yang ingin menonton konsert ini boleh membeli tiket RM100, RM158, RM248, RM358 dan RM458 di laman sesawang www.illasoticicket.com atau talian hotline: 03-40265555. - KitaReporters
Empat penyanyi yang mendapat didikan daripada Ahmad Nawab.