Video| Tak putus asa, enggan Mimpi! Daniel Lee kembali atur langkah! Tak menyesal berehat 3 tahun!
Published byDaniel Lee cukup popular dengan lagu Mimpi selepas menang Malaysian Idol 2.
SELEPAS dinobat sebagai juara program Malaysian Idol musim kedua, Daniel Lee berkesempatan merakam album sulung yang menampilkan lagu popular berjudul Mimpi pada 2005.
Album pertamanya yang berjudul Daniel itu berjaya dijual melebihi 25,000 unit dalam tempoh enam bulan, sehingga mencapai status platinum.
Namun nasib tidak menyebelahi penyanyi yang berasal dari Changlun, Kedah itu kerana gelaran juara yang diraih tidak menjaminkan perjalanan kariernya berjalan lancar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Penyanyi yang nama lengkapnya, Daniel Lee Chee Hun yang bakal mencapai usia 40 tahun pada 1 Julai 2022 ini mengakui namanya kian sepi dalam industri seni tanah air kerana silap percaturan.
“Saya akui silap percaturan apabila tidak menghasilkan lagu bahasa Melayu selepas single Mimpi sebaik menjuarai Malaysian Idol. Akhirnya nama saya kurang menyerlah dalam arena muzik tempatan.
“Ketika itu keinginan menembusi pasaran di China dan Taiwan amat tinggi sehingga saya memilih untuk menghasilkan album berbahasa Cina terlebih dahulu.
“Hakikatnya, cubaan menembusi pasaran luar sangat sengit biarpun sudah banyak kos dilaburkan sehingga saya hampir berputus asa apabila undangan pentas juga semakin kurang.
Tidak mudah putus asa, mahu kembali menyerlah dalam bidang seni suara.
“Tiada pendapatan antara faktor saya tumpukan perhatian terhadap bisnes selepas sedekad menyanyi, tetapi itu pun tidak menjadi. Kemudian bermacam kerja lagi saya lakukan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya terus terang.
Situasi getir tersebut sekali gus membawa Daniel meneroka perniagaan borong makanan laut beku selain menjadi pembancuh kopi.
Katanya, kurang minat selain terlalu hijau dalam menempuh ranjau bisnes turut membawanya mencuba pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup, termasuklah menceburi bidang pengurusan kewangan.
Kini aktif mengajar bakat baharu dalam bidang seni suara.
Bagaimanapun, rasa cinta menebal terhadap muzik mendorong penyanyi itu kembali menyanyi pada 2017 bersama semangat baharu.
Akui Daniel, biarpun namanya kurang menyerlah dalam kalangan peminat Melayu seperti mana kemunculan awalnya menerusi lagu Mimpi, dia tetap mahu mencuba.
"Saya bukan merajuk pun tapi rezeki tidak menyebelahi untuk terus hasilkan lagu Melayu. Sebenarnya tahun lalu pun saya ada lancarkan lagu berjudul Menunggu Pulang namun penerimaannya suram.
"Tapi, saya tidak pernah menghilang pun selama ini. Dalam pasaran lagu Cina, saya sudah hasilkan tiga album dan sekitar 30 lagu juga. Saya sedari muzik satu-satunya kerjaya yang paling saya minat dan tidak seharusnya putus asa. Disebabkan itu, saya nekad kembali dalam industri muzik pada 2017,” katanya.
Biarpun sekali lagi berdepan ujian apabila Covid-19 melanda dunia, pembabitan di belakang tabir sebagai pengarah vokal membolehkan Daniel bekerja dari rumah sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Akuinya, pengarah atau koreografi vokal antara yang dicari ramai penyanyi sebelum masuk ke studio.
Atas permintaan yang tinggi, jadual kerjayanya sentiasa padat, terutama selepas semua sektor kembali beroperasi.
Daniel akui kekuatannya adalah bidang nyanyian dan muzik.
“Saya tidak pernah menyesal berehat selama tiga tahun kerana semua pengalaman itu menjadi semangat untuk saya kuat melangkah.
“Dari situ juga saya tahu kekuatan saya adalah nyanyian dan muzik. Apabila kembali semula ke arena ini, saya cabar diri kongsikan sesuatu yang saya raih daripada pengalaman sendiri.
"Tanggungjawab saya tertumpu dengan mengajar artis muda mengasah corak atau koreograf vokal mereka terutama untuk rakaman single mahupun album.
“Saya juga masih mengambil tawaran mengadakan persembahan pentas. Saya yakin industri hiburan tempatan akan kembali hangat seperti dahulu,” katanya yang bakal menjalin kerjasama dengan Quinton Academy.
Masih belum bersedia mendedahkan projek dengan institusi pengajian seni terkenal yang berpangkalan di Skypark One City tersebut, Daniel bagaimanapun berkata, Quinton Academy membabitkan perkongsian ilmu dalam industri seni. - KitaReporters