Video| Selepas Nur Khawla, Ernie Zakri lahirkan Zapin Lebaran! Lagu raya sulung dalam berpantang!
Published byPEMENANG dua kali vokal terbaik AJL32 dan AJL35, Ernie Zakri, 29, ternyata tidak mampu ‘rehat’ sepenuhnya walaupun masih dalam berpantang selepas melahirkan puteri sulungnya, Nur Khawla Soleha Februari 2022 lalu, sehingga sanggup menghasilkan single terbaharunya, ‘Zapin Lebaran’.
"Walaupun sekarang fokus saya masih terhadap anak namun naluri seni saya terpanggil untuk merakamkan lagu raya baharu pada tahun ini,” ujar pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu raya
Menurut Ernie, lagu tersebut merupakan single raya solonya yang pertama kerana sebelum ini beliau belum berkesempatan berbuat demikian.
“Sudah lama saya idamkan hendak merakamkan lagu raya sendiri, lalu saya mempelawa rakan pemuzik, Yuka Kharisma untuk turut serta dalam penghasilannya dan kami mengambil masa selama beberapa hari sahaja untuk mencipta lirik dan melodinya, manakala proses rakamannya pula dilakukan di rumah saya ketika masih lagi berpantang,” kongsi Ernie.
'Zapin Lebaran' mengangkat martabat irama tradisional Melayu asli berentak zapin, diperindahkan lagi melalui alunan petikan instrumen gambus yang menggamit nostalgia raya zaman dahulu kala.
Menurut isteri kepada penyanyi Syamel ini, beliau terinspirasi menciptakan lagu tersebut kerana pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Selama 2 tahun kita diduga dan 2 tahun jugalah kita tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta dan rakan taulan jadi ‘Zapin Lebaran’ bermaksud sambutan meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam, bukan sahaja dari menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian daripada yang Maha Kuasa,” tambah Ernie sambil berharap suasana raya yang dirindui selama ini dapat dikembalikan apabila keluarga yang berada di jauh di perantauan berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing.
Video muzik single ini masih lagi dalam perancangan dengan konsep raya yang tidak keterlaluan namun masih dalam suasana keraian.
“Walaupun sedih tanpa kehadiran ibu mertua, anak menjadi penyeri raya kami nanti, Syamel dan saya sangat rapat dengan keluarga jadi perbezaan itu akan jelas terasa,” tambah Erni mengharapkan semua dapat menikmati lagu ciptaan pertamanya bergenre Raya tersebut sekali gus sentiasa mekar menjadi di antara lagu-lagu Raya yang malar segar.
Pada Ogos 2021 lalu, ibu Syamel, Wan Faaizah Karim, 55, menghembuskan nafas terakhir selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.
Ernie dan Syameel Aqmal Mohd Fodzly melangsungkan perkahwinan pada 26 Mac 2021 selepas mengikat tali pertunangan pada 16 Ogos 2020 dan dikurniakan Nur Khawla melalui pembedahan dengan memilih tarikh istimewa 22 Februari 2022 (22.2.2022) sebagai hari kelahiran puteri sulung mereka itu.Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment. Erick Yew menzahirkan rasa puas hati dengan komitment yang ditunjukan Ernie dan wajar dijadikan contoh.
“Walau pun dalam tempoh berpantang ia bukan penghalang bagi Ernie untuk terus berkarya. Semoga lagunya itu dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat ketika menyambut kemeriahan hari haya nanti,” ujar Erick.
Lagu ‘Zapin Lebaran’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. - KitaReporters