Video| Tabung Karyawan zero, tiada geran daripada FINAS! Yayasan AEON hulur Pek Bekalan Dapur
Published byPERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) yang dilihat sering membantu ahli-ahlinya tidak pernah mendapat geran atau dana daripada mana-mana agensi kerajaan atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sekalipun walaupun pernah beberapa kali membuat permohonan.
“Tabung persatuan hampir kosong dan Karyawan tidak pernah mendapat sebarang bantuan kewangan untuk mengisi tabung bagi tujuan kebajikan ahli-ahli yang memerlukan,” ujar Presiden Karyawan Dato Freddie Fernandez (kiri).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung pengisian Tabung Karyawan sendiri ketika ditemui pada majlis sesi minum petang, ’Dari Hati Ke Hati’ bersama penggiat seni tempatan di Bayang Coffee Co, Taman Tun Dr. Ismail pada Isnin, 29 Mac 2021.
Turut hadir Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Yasmin Merican (gambar atas, kanan), Pengurus Gedung AEON Bandar Puchong, Amran Abd Latif (tengah) serta artis-artis veteran, pelakon Norlia Ramli (dua dari kanan), penyanyi S. Rohani (gambar bawah, kanan) dan ramai lagi termasuk pemuzik dan buskers.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan artis
Menurut Freddie, segala kos pengurusan dan perbelanjaan Persatuan ditanggungnya sendiri sebagai Presiden sekiranya tiada perolehan diterima daripada aktiviti yang dijalankan persatuan apatah lagi ketika tempoh negara diserang pandemik COVID-19.
“Kami tiada sumber kewangan sepanjang tempoh pandemik memandangkan tiada aktiviti anjuran Karyawan boleh dianjurkan. Jadi dalam akaun 'zero' (kosong),” ujar Freddie.
Katanya, Karyawan pernah beberapa kali memohon dana operasi mahu pun mengetengahkan beberapa proposal untuk diselenggarakan, namun ditolak atas alasan FINAS tiada wang atau peruntukan sedemikian.
Pun begitu, Freddie melahirkan penghargaannya kepada pihak-pihak korporat yang membantu ahli dengan pelbagai sumbangan walau pun bukan dalam bentuk kewangan.
Foto Kredit: Shaliza Anuar.
Terbaharu, Yayasan AEON Malaysia melalui program ‘Bersama AEON’, menyumbang Pek Bekalan Barangan Dapur kepada kira-kira 500 ahli Persatuan Karyawan Malaysia secara berterusan selama enam (6) bulan yang ternyata amat membantu survival mereka dan keluarga.
Menurut Freddie, sumbangan tersebut yang bernilai hampir RM1 juta keseluruhannya telah mula diagihkan pada bulan Februari 2021 lalu dan akan berterusan, malah sekiranya negara masih berdepan dengan masalah pandemik Yayasan AEON dijangka akan meneruskan bantuan mengikut keadaan dan situasi semasa.
“Sebagai sebuah Yayasan, kami akan meneruskan lagi program ‘Bersama AEON’ yang bersesuaian dengan objektif komuniti kami dan insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik dan berazam untuk memberi lebih banyak sumbangan pada tahun ini dan tahun hadapan kepada mereka yang memerlukan,” ujar Yasmin.
'Bersama AEON' merupakan sebuah projek pandemik yang dimulakan oleh syarikat AEON di Malaysia melalui Yayasan AEON Malaysia sejak pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020.
Sepanjang Yayasan ini ditubuhkan, ia telah banyak membantu golongan yang kurang bernasib baik dan juga turut membantu ketika berlakunya bencana alam.
Oleh demikian, ‘Bersama AEON’ diwujudkan untuk membantu keluarga dengan mengagihkan sumbangan barangan keperluan dapur bagi mengurangkan beban mereka yang terkesan akibat pandemik ini terutama daripada industri Perhotelan, Penerbangan dan Hiburan.
Sementara itu, Freddie turut membuka permohonan baharu kepada mereka yang tercicir dalam menerima bantuan ‘Bersama AEON’.
“Sekiranya ada ahli yang terkesan tetapi tidak mendapat bantuan bolehlah menghubungi Karyawan untuk tindakan selanjutnya,” akhiri Freddie.
Dalam pada itu, Norlia Ghani mahu pun S. Rohani turut berharap agar bantuan berbentuk wang ringgit juga dapat disalurkan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung dalam soal bayaran sewa rumah dan segala bil yang perlu dijelaskan setiap bulan. - KitaReporters