BAHAN-BAHAN segar lagi berkualiti tentunya menjadi pilihan setiap keluarga dalam menyediakan juadah menyambut perayaan saperti Hari Raya Aidilfitri yang akan dirayakan beberapa hari lagi.  Orang ramai pastinya akan bertumpu ke pasar-pasar khas yang diwujudkan menjual barangan keperluan khusus untuk persedian Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan segar, berkualiti dengan harga ditawarkan lebih rendah daripada pasaran biasa. : KitaReporters


Kerajaan Selangor dalam usaha membantu orang ramai khususnya di Lembah Klang mendapatkan barangan keperluan berkenaan lebih mudah dengan mewujudkan pasar Aidilfitri yang dikenali sebagai Pasar Segar Terkawal Khas Aidilfitri.

Tahun ini pasar anjuran  Selangor Argo Market  itu diwujudkan di lima tempat berasingan iaitu di Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, Argo Market Saujana Utama Sungai Buloh, Argro Market Bandar Baru Bangi dan Outlet FAMA di Dengkil dan Outlet FAMA di Puchong.

Pasar berkenaan beroperasi dua hari bermula Jumaat 22 Mei dan Sabtu 23 Mei 2020 antara jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

Pasar khas Aidilfitri ini dijalankan untuk berurusan melalui konsep pandu lalu (drive-thru) sahaja.

Exco Kerajaan Selangor  yang bertanggungjawab mengenai Permodenan Pertanian dan Asas Tani, 

Ir Izham Hashim. - Kredit foto: TV Selangor.


Menurut Exco Portfolio Insfrastuktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dalam hantar di FB beliau, pelbagai barangan keperluan termasuk ayam dan daging lembu segar dijual di pasar tersebut dengan harga istimewa lebih murah daripada pasaran biasa selain barangan keluaran ladang yang segar dan berkualiti.

"Orang ramai tidak perlu bimbang barangan yang dijual di Pasar Aidilfitri dijamin berkualiti, segar dan harga ditawarkan lebih berpatutan jika dibandingkan dengan harga pasaran semasa kerana ia dibawah kawalan harga," ujarnya.

Sebagai contoh, katanya, ayam akan cuba dijual pada harga bawah RM7.20 sekilogram beranding RM7.50 pada harga kawalan sedangkan ada tempat-tempat tertentu sudah menjual melebihi RM8.00 sekilogram, manakala daging lembu segar atau daging pejal ditawarkan pada harga RM33.50 sekilogram harga kawalan RM34 sekilogram.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin berurusan di Pasar Aidilfitri datang awal bagi mengelakkan kehabisan barangan yang dikehendaki.

Poster mengenai Selangor Agro Market yang dikeluarkan oleh TV Selangor ,- Kredit foto: FB TV Selangor.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan Pasar Agro Selangor yang turut mengendalikan Pasar Aidilfitri akan diteruskan beroperasi kerana sambutan yang menggalakkan.

Bagaimanapun lanjutan operasi pasar berkenaan yang berjaya mencatat nilai jualan RM3.65 juta sejak dilancarkan 27 Mac 2020 akan mengikut garis panduan dengan mematuhi penjarakan sosial semasa PKP ini.

Sejak beroperasi hingga sekarang terdapat 10 Pasar Agro Selangor di seluruh negeri iaitu di Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Bandar Baru Bangi, Selanyang, Putrajaya dan di Shah Alam dua lokasi iaitu di Seksyen 13 dan Seksyen 15.  

Pasar Agro Selangor mencatat urus niaga yang memberangsangkan dengan jumlah kutipan RM150,000 sehari sama ada melalui jualan dalam talian mahupun pasar biasa ( fizikal )


Pada peringkat awal pada lima hari pelancarannya peningkatan hasil jualan agak tinggi sekitar puluhan ribu bermula RM100,000 dan sekarang antara RM120,000 ke RM150,000 jualan sehari.

Antara faktor produk pasar berkenaan mendapat sambutan ramai kerana harga yang ditawarkan lebih rendah antara 20 ke 30 peratus berbanding harga pasaran. 

Juga pengguna lebih mudah memperolehi barangan segar dan berkualiti jika dibandingkan dengan pasar raya atau kedai runcit, selain itu boleh membuat belian melalui dalam talian.

Kerajaan negeri melancarkan Pasar Agro Selangor dengan dana pusingan RM1 juta bagi membeli hasil pertanian dan penternakan bagi tujuan mengelakkan lambakan barangan segar berkenaan.

Program yang diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkonsepkan  penghantaran atau beli sendiri mampu memberi manfaat kepada lebih 300,000 pengguna. - KitaReporters

1
0
0
0
0

Copy Link: