Harimau Malaya makan ginseng Korea! Pan-gon ganti Cheng Hoe! Resipi baharu misi Piala Asia 2023!
Published byKIM Pan-gon menjadi jurulatih dari Korea Selatan yang ketiga melatih pasukan Asia Tenggara selepas Park Hang-seo dengan Vietnam dan Shin Tae-yong dengan Indonesia. - Kredit foto: FAM
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, 21 Januari 2022 mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon dari Korea Selatan sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya ekoran peletakan jawatannya oleh Tan Cheng Hoe pada pertengahan Disember 2021 lalu.
Siaran media FAM pada 21 Januari 2022 melaporkan, Pan-gon, 53, merupakan Pengarah Pasukan Kebangsaan dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sejak 2018.
“Beliau sebelum itu juga menyandang ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong dari 2009 hingga 2010 dan bagi tempoh kedua, 2012 hingga 2017.
"Pan-gon berjaya membimbing mereka mencipta sejarah dengan meraih pingat emas sulung bola sepak dalam Sukan Asia Timur 2009 seterusnya menjuarai Kelayakan Kejohanan Asia Timur 2010 untuk muncul empat pasukan dalam pusingan akhirnya," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam siaran itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya
HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) bercakap kepada wartawan ketika mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif persatuan.
Sepanjang saingan Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2018 pada 2015 hingga 2016, pasukan Hong Kong kendaliannya turut memenangi empat daripada lapan perlawanan selain berjaya mengikat China, antara gergasi bola sepak Asia Timur.
Beliau dianggap berwibawa dan mempunyai keupayaan untuk membawa pasukan menandingi lawan yang lebih tinggi ranking dunianya.
“Hong Kong juga pernah bertemu Harimau Malaya bimbingan Nelo Vingada dari Portugal pada saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka yang berkesudahan seri 1-1 dan Malaysia tewas 2-0 di tempat lawan pada 2017,” katanya.
Kredit foto: South China Morning Post
Pan-gon menjadi jurulatih warga benua Asia pertama menyandang kerusi panas Harimau Malaya itu sejak Choo Seng Quee dari Singapura dari Februari 1958 hingga Mac 1963.
Pak Cik Choo berjaya mencatat beberapa kejayaan membanggakan pasukan Malaya seperti menjuarai Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960, memenangi pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961 dan pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962.
Skuad Malaysia turut pernah menerima khidmat dan sentuhan jurulatih asing dari Jerman Barat, England, Scotland, Czechoslovakia, Perancis, Hungary dan Portugal.
Pan-gon kata Hamidin, dipilih selepas penilaian menyeluruh terhadap calon-calon dari pelbagai negara termasuk Jepun, benua Eropah dan Amerika Latin serta anak tempatan.
FAM berasakan dia calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luasnya sebagai jurulatih peringkat kelab dan pasukan kebangsaan selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Korea Selatan dalam tempoh empat tahun terakhir ini, ujarnya.
Kontraknya dengan FAM ialah dua tahun dan dua tahun lanjutan yang bergantung kepada prestasi pasukan negara dan jika persatuan berpuas hati dengan khidmatnya, jelas Hamidin.
KIM Pan-gon (tengah) hanya berprestasi sederhana ketika membimbing Hong Kong namun masih menjadi pilihan FAM untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 mulai 8 Jun 2022. - Kredit foto: ejinsight.com
“Selepas beraksi sebagai pemain kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors pada era 1990-an, Pan Gon berhijrah ke Hong Kong pada 2000 dan sempat bergelar pemain merangkap jurulatih Hong Kong Rangers FC pada 2003-2004.
“Beliau kemudian kembali ke tanah airnya selepas memperoleh Lesen Pro AFC untuk memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008).
“Selepas itu, berkhidmat selaku ketua jurulatih South China FC (2008-2010), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong kali kedua, (2012-2017),” katanya.
Biarpun tidak memegang jawatan sebagai ketua jurulatih mana-mana pasukan kebangsaan atau kelab sepanjang empat tahun terakhir sejak 2018, Pan-gon sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan KFA turut bertanggungjawab dalam pelantikan ketua jurulatih negaranya, Paulo Bento dari Portugal.
TAN Cheng Hoe (kiri) dan Mohd. Yusoff Mahadi (tengah) masing-masing bertanggungjawab atas kegagalan Harimau Malaya dalam Piala AFF di Singapura dengan meletakkan jawatan ketua jurulatih dan pengurus pasukan pada pertengahan Disember 2021 dan 21 Januari 2022. - Kredit foto: FAM
Ketika ini, Wira Taeguk (gelaran pasukan Korea Selatan) masih dalam kedudukan terbaik dalam pusingan ketiga kelayakan untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar dengan mencatat rekod tanpa kalah dan berbaki empat perlawanan.
Pan-gon turut fasih berbahasa Inggeris yang memudahkannya berkomunikasi dengan barisan kejurulatihan, pegawai, pemain dan media selain memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia.
Dia dijangka tiba di Malaysia pada pertengahan Februari 2022 bersama-sama empat pembantunya - seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.
Beliau dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 (Piala Sumbangsih, Liga Super dan Perdana) bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac ini sebagai persiapan awal menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8, 11 dan 14 Jun 2022 ini. - KitaReporters
NELO Vingada (kanan) hanya bertahan dari Mei hingga Disember 2017 sebagai pengendali Harimau Malaya yang kempunan menang dalam tujuh perlawanan. - Kredit foto: FAM
JOSEF VENGLOS
KEN WORDEN
ALLAN JOHN HARRIS
Senarai jurulatih import lalu Malaysia:
1958-1963: Choo Seng Quee (Singapura)
1965-1966: Otto Westphal (Jerman Barat)
1967: Dettmar Cramer (Jerman Barat)
1968: Harold Hassall (England)
1970-1971: Dave McLaren (Scotland)
1977, 1980-1981: Karl-Heinz Weigang (Jerman Barat)
1983-1985: Frank Lord (England)
1986-1987: Josef Venglos (Czechoslovakia)
1988: Richard Bates (England)
1989-1990: Trevor Hartley (England)
1992-1993: Ken Worden (England)
1994-1995: Claude Le Roy (Perancis)
2001-2004: Allan John Harris (England)
2004-2005: Bertalan Bicskei (Hungary)
2017-2017: Nelo Vingada (Portugal)
HARIMAU Malaya yang tersingkir daripada peringkat kalah mati Piala AFF 2020 (2021) di Singapura, mendapat ramuan 'ginseng' Korea menjelang Kelayakan Piala Asia, Jun 2022. - Kredit foto: AFF