Berita Terkini| 700kg daun ketum bernilai RM21K dirampas! Dibawa dari Kedah, pasaran Kelantan

Published by
KitaReporters

PEMERIKSAAN di sebuah bengkel kereta mendapati terdapat banyak longgokan plastik hitam yang mengandungi daun ketum yang diikat .


SEBUAH bengkel kereta yang ditinggalkan di Kampung Bunohan, Tumpat di Kelantan digunakan sebagai stor simpanan kepada 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM21,000.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota Kompeni B membuat serbuan ke bengkel itu, kira-kira jam 3.30 petang pada Selasa, 4 Mei 2021.

“Ketika serbuan kita didapati terdapat kelibat dua lelaki telah melarikan diri ke dalam semak di belakang bengkel, selepas dapat menghidu kehadiran pasukan PGA7.

“Pemeriksaan yang dijalankan di dalam bengkel yang dijadikan stor itu, menemui longgokan plastik hitam di dalamnya mengandungi plastik lutsinar diikat gelang getah, mengandungi daun-daun hijau yang disyaki daun ketum,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, 5 Mei 2021.

Azhari bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menemui sesiapa di situ, kesemua daun ketum itu dirampas dan dibawa balik ke Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kesemua daun ketum yang ditemui disyaki dibawa dari Kedah untuk pasaran di sini.

“Daripada maklumat yang diperolehi, satu ikatan daun ketum sekitar satu kg akan dijual dengan harga RM30.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua daun-daun ketum ini dipercayai untuk pasaran sekitar Tumpat, dan bagi jualan kecil-kecilan terutama di sekitar kawasan Kampung Bunohan," katanya lagi.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.  - Kitareporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

KESEMUA daun ketum dipercayai dibawa dari kedah untuk pasaran setempat. Bernama

0
0
0
0
0

Copy Link: