Berita Terkini| Dua lelaki sorok rokok seludup di bawah katil! Akhirnya kantoi! PGA serbu rumah

Published by
KitaReporters


TAKTIK dua lelaki menyembunyikan 3,240 batang rokok putih serta kretek seludup di bawah katil kantoi selepas dihidu oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan ketika serbuan di sebuah rumah di Kampung Mesira, Tumpat di Kelantan pada Jumaat, 14 Mei lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu, Batalion 7 PGA (PGA7) turut menemukan 580 kilogram beras seludup yang dilonggokkan di ruang tamu rumah berkenaan.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua barangan itu dianggarkan berjumlah RM4,343.20.

“Bertindak atas maklumat penyeludupan barang kontraban, sepasukan anggota PGA telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di lokasi terbabit dan berjaya menjumpai barangan dipercayai diseludup dari Thailand itu.

“Kesemua barangan rampasan dan dua suspek masing-masing berusia 23 dan 41 tahun dibawa ke Balai Polis Palekbang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad, 16 Mei 2021.

Risikan awal mendapati barangan seludup itu dibawa masuk secara haram menggunakan pangkalan haram yang terdapat sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita tidak menolak kemungkinan kesemua barangan rampasan ini untuk pasaran tempatan,” ujarnya.

Dalam masa sama beliau menjelaskan, PGA akan terus melipatgandakan operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

SEBAHAGIAN beras dan rokok yang ditemukan dalam serbuan di sebuah rumah di Kmapung Mesira di Tumpat, Kelantan. - Kredit foto: Ihsan PGA

0
0
0
0
0

Copy Link: