HAIKAL, HAIDAR ANUGERAH TERINDAH DARIPADA ALLAH - EDRIE HASHIM

Published by
KitaReporters
KEHADIRAN anak dalam sesebuah perkahwinan amat bermakna kerana ia dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang antara suami isteri. Anak lelaki atau perempuan bukanlah persoalannya, yang penting sihat dan sempurna sifatnya.

Dari kiri: Edrie Hashim, Suziana (anak Nurul daripada perkahwinan pertama), Dylan Haidar, Darren Haikal dan Nurul Nadhira.


Begitulah bagi pasangan suami isteri, Edrie Hashim, 45, dan Nurul Nadhira Abdullah, 44, atau Patricia Robert yang lebih dikenali sebagai Pat Candy yang berkahwin pada 2002.

Tetapi bagaimana perasaan Edrie dan Nurul apabila kedua-dua anak lelaki mereka disahkan autisme?

"Kami terima dengan reda dan anggap mereka adalah 'anak syurga' dan akan menjaga mereka sehingga ke hujung nyawa kami," kata Edrie yang sering menghadiri perjumpaan yang membincangkan mengenai autisme.

Pasangan ini dikurniakan anak setelah dua tahun berkahwin yang diberi nama Darren Haikal dan pada 2012, Dylan Haidar dilahirkan.

"Pada usia Haikal dua tahun, saya dan Nurul perasan yang dia nampak lain sikit sebab dia lambat bercakap. Itu sahaja.

"Tetapi apabila usianya 4 tahun dan memasuki tadika, Haikal tidak mahu bercampur dengan kawan-kawan dan dia seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri.

"Apabila kami bawa berjumpa doktor, Haikal disahkan austisme dan hyperaktif," cerita Edrie.

Berlainan pula dengan Haidar, sejak lahir tidak pernah bercakap dan doktor mengesahkan dia 'speech delay' dan dikenali 'autism spectrum'.

Walaupun berlainan ayah, Suziana (tengah) amat sayang adik-adiknya, Dylan Haidar (kiri) dan Darren Haikal.


Kini Darren Haikal, 15,  yang belajar di kelas khas di Sekoleh Menengah Sri Keramat, boleh membaca.

Sementara Dylan Haidar,7, juga belajar kelas khas di Sekolah Renah Taman Keramat 2, masih tidak boleh bercakap.

Bagi memastikan anaknya tidak merasa terasing mereka dibawa ke taman untuk bersiar dan kadangkala membawa mereka menonton konsertnya.

Walaupun kadangkala Haikal mengamuk, tetapi mereka tahu bagaimana mengawalnya cuma kadangkala terkilan apabila orang dewasa tidak boleh menerima kehadiran mereka.

Bagi Edrie, walaupun kedua-dua anaknya autisme dia tetap bersyukur kerana mereka mempunyai minat sendiri.

"Haikal dan Haidar minat muzik. Haikal suka menyanyi dengan bahasanya sendiri. Sementara Haidar suka memetik gitar," cerita Edrie yang berharap kedua-dua anaknya mempunyai masa depan yang baik.

0
0
5
1
0

Copy Link: