SIAPA PENYANYI TERAWAL NASYID NEGARA INI?
Published byLAGU-LAGU nasyid begitu sinonim dengan masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini sejak dahulu hinggalah sekarang.
Allahyarhamah Zaharah Agus merupakan penyanyi lagu nasyid terawal di negara ini.
Pada peringkat awal perkembangannyan, seni kata atau lirik lagu-lagu nasyid dinyanyikan dalam Bahasa Arab dan irama padang pasur (Timur Tengah) kerana ia lebih kepada unsur keagamaan iaitu agama Islam.
Bagaimanapun hasil evolusi dan perkembangan semasa akhir-akhir ini, kebanyakanya telah diubah suai dan liriknya ditulis dalam Bahasa Melayu sesuai dengan keadaan setempat.
Mungkin tidak ramai yang tahu terutama generasi masa kini siapakah penyanyi yang menjadi pelopor lagu-lagu nasyid di negara ini?
Tahukah anda penyanyi nasyid terawal negara (waktu itu Malaya) ialah Zaharah Agus. Beliau merupakan seorang penyanyi Melayu era 50-an yang sering menyanyi di Radio Malaya.
Filem Madu Tiga turut menjadikan nama Allahyarhamah Zaharah Agus antara pelakon ternama negara.
Perkara ini dinyatakan oleh Badlishah Alauddin seorang pendakwah bebas dalam satu ceramahnya bertajuk "Kewajipan sembahyang" yang ditularkan dalam media sosial oleh Fans Badlishah baru-baru ini. Sejumlah lebih 70,000 orang mengikuti video ceramah yang ditularkan itu.
Beliau yang juga seorang petugas di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada ceramahnya itu memberitahu, nasyid terawal yang dinyanyikan oleh Zaharah Agus bertajuk "Tiang Agama".
Tiang Agama nasyid yang menjadikan Allahyarhamah Zaharah Agus sebagai penyanyi nasyid terawal negara.
Katanya, beliau suka memaparkan bahan ini kerana lagu nyanyian Zaharah Agus ini mencerita mengenai sembahyang merupakan salah satu Rukun Islam yang lima dan wajib ditunai oleh setiap muslim jika tidak mahu menerima seksaan pada Hari Qiamat nanti. Sebaliknya akan menerima rahmat yang setimpal jika suruhan Allah itu dituruti.
Selain sebagai seorang penyanyi Zaharah juga merupakan seorang pelakon. Antara filem lakonannya yang menjadi tontonan ramai ialah Filem Madu Tiga .
Dalam filem tersebut beliau yang melakonkan watak Latifah menjadi isteri pertama Jamil (lakonan P.Ramle).
Antara babak lakonan Allahyarhamah Zaharah Agus bersama P. Ramle dalam filem Madu Tiga.
Antara dialog yang sering menjadi ikutan penonton melalui filem ini ialah "Butang Baju Melayuku mana Fah?" semasa Jamil bertanyakan kepada Latifah ketika hendak pergi nikah untuk kali kedua.
Sebenarnya Zaharah banyak menyanyi di Radio Malaya. Salah sebuah lagu nyanyiannya yang popular waktu itu ialah "Keindahan Bintang Malam" hasil gubahan Dato' Ahmad Nawab.
Lagu-lagu Allahyarhamah Zaharah Agus dirakam dalam bentuk piring hitam.
Lagu tersebut diubah tajuknya kepada "Bintang Malam" pada tahun 1965 dan dinyanyikan kembali oleh Biduanita Saloma.
Malahan Zaharah juga popular dengan lagu "Lodeh Mat Lodeh" dan kemudiannya dinyanyikan kembali oleh Anita Sarawak pada era 70-an dengan liriknya telah diubah suai.
Zaharah Agus mendirikan rumah tangga dengan seorang pelakon filem M. Suki, yang memegang watah utama dalam filem Laila Majnun.
Zaharah meninggal dunia pada usia 56 tahun di Pulau Pinang kerana sakit jantung.
Berikut lirik lagu Tiang Agama nyanyian Zaharah Agus :
"Maaf encik sekelian ada
adik dan kakak ibu dan bapa
Rukun Islam lima perkara
sembahyang waktu jangan dilupa
dirikan sembahyang tiang agama
sehari semalam waktu yang lima
kerjakan ia selama lama
tauhid dan yakin ikut bersama.
Sembahyang Subuh bilangan pertama
di waktu fajar sedang menjelma
dua raka'at empunya lama
itulah pesan segala ulamak
kedua Zohor empat raka'at
di waktu matahari condong ke barat
kerjakan ia jangan terlambat.
kita mendapat pahala dan berkat.
Ketiga yakni sembahyang Asar
waktu Zohor sudah keluar
sampai matahari menghilangkan sinar
empat raka'at jangan terlambat
Ke empat ialah sembahyang Maghrib
waktu matahari menghilang ke langit
tiga raka'at hanya sedikit
kerjakan dengan hati yang tauhid.
Bahagian ke lima sembahyang Isya
waktu langit menghilangkan tanda
sampai fajar terbit semula
empat raka'at jangan dilupa
sembahyang kita janganlah malas
lima kali sehari denganlah jelas
mesti sembahyang tulus dan ikhlas
Rahmatnya Allah tetap membalas.
Dan kita bersungguh hati
kita hidup tunangnya mati
Siratulmustaqim tempat bertiti
neraka jauh dibawah menanti
sembahyang kita bersunggoh sunggoh
Zohor,Asar,Maghrib,Isya dan Subuh
Jauhi yang tegah buat yang suruh
sembahyang waktu jangan ditangguh.
Sujud kita kepada Allah
buat yang suruh jauh yang tegah
mesti puasa zakat dan fitrah
sembahyang waktu kita kerjalah
kalau fikiran datang melayang
tetapkan hati janganlah goyang
sembahkan tuhan dalam sembahyang
Allah melihat bertambah sayang.
Dalam sembahyang kita berkata
kepada tuhan yang berkuasa
minta diampunkan dosa dan salah
di akhirat nanti selamatkan kita
kita semua kaum muslimin
sujud kepada Rabulalamin
usul dan sikap baik di ingin
kerja maksiat jangan di main.
Jangan kita cakapan takabur
kepada Allah jadi kufur
dapat azab didalam kubor
Mungkar Nangkir datang memukul
jangan kita hasrat dan fitnah
dapat azab didalam tanah
jumpa malaikat bernama Zabaniah
dalam neraka menjadi rumah.
Di Padang Mahsyar pergilah kita
disitu tempat kira bicara
azab sengara semua dirasa
matahari sejengkal diatas kepala
seksanya badan bukan kepalang
apinya besar naik menjulang
dimakan daging sampai ketulang
tak dapat kita nak lari pulang
siapa sembahyang setia dan taat
cukup rukun dengan syarat
Allah murahkan rezeki dan rahmat
dapat kesannya dihari Qiamat."