ALAMAK!! TIZ ZAQYAH KENA SERBU HANTU
Published byBERJALAN dalam kalangan "hantu" hodoh dan menyeramkan yang dihidupkan dari filem tempatan dan Barat, dibinggitkan lagi dengan hiruk pikuk jeritan anak-anak gadis dan perangai "lepas laku" penonton yang tersentap disergah "hantu" yang muncul tiba-tiba dari merata tempat, memang "menjadi".
Riang ria pada malam yang seram.
Suasana hantu berkeliaran menyakat orang ramai itu berlangsung semasa pesta Nights of Fright 7 di Sunway Lagoon, Sunway, Selangor baru-baru ini.
Pesta ini sebenarnya sempena Halloween tetapi gabungan "hantu" dari filem Hollywood, teater Bomoh, aksi pontianak dan firaun bermain api seolah-olah menjadikan acara itu menarik sikit daripada persembahan rumah hantu sempena hari kantin sekolah.
Tepat pula bila pelakon drama Tiz Zaqyah menjadi tetamu istimewa. Kehadirannya memang turut memeriahkan malam seram itu dan menambahkan "kehangatan" apabila malam minggu itu saja pesta diserbu lebih 4,000 penonton daripada semua bangsa.
Tiz Zaqyah yang santai.
Lima jam penuh debaran dan cemas sambil mata melilau ketika berjalan. Jika tidak, hantu-hantu ini akan menyergah atau sekadar berdiri tegak di belakang anda. Ada juga hantu yang berdiri kaku dan menunggu anda datang bergambar dengannya.
Jika tengok filem kita gelabah setiap aksi pelakonnya, alih-alih malam itu patung Annabelle; pembunuh di Elms Street, Freddy Kruger; scarecrow; Ghostbuster sehinggalah "malaikat maut" dalam filem Plague jadi nyata. Plague yang berkaitan dengan kematian akibat Spanish flu dan bobonik yang melanda Eropah suatu tika dulu.
Hantu dari filem Ghostbusters.
Ada lapan rumah berhantu, satu teater seram, dua zon menakutkan dan dua pertunjukan pentas pada acara Nights of Fright 7 di Sunway Lagoon itu.
Macam pengalaman daripada kisah pembunuhan di Slasher Street yang menjadi satu tempat hantu di Hollywood berkeliaran dan Siren's Cove lebih kepada hantu lanun dan seangkatannya berhimpun untuk "menyakat" penonton.
Orang yang menjadi Dr Plague, Deadly Magic, The Evil Crow, Black Wedding, Rise of the Mummy 2 dan Dark Awakening kesudahannya akan membuat jantung berdetik kencang. Dari filem di depan mata.
Bayangkan tengah leka dengan aksi di teater, zupp! hantu berlari laju di di depan mata. Mahu tak gelabah, sama ada tu hantu betul atau orang yang menyamar jadi hantu. Teater bomoh yang memperlihatkan pawang yang berwajah gelap dan firaun yang buat aksi "makan" api.
Zombie kepala arnab.
Kami berempat nasib baik kerana dapat memendekkan masa beratur. Bayangkan lima jam saja pertunjukan berlangsung dan waktu giliran berjam-jam itu merugikan penonton. Tiket berharga RM80 untuk menikmati keindahan dunia hantu dari filem cereka ini.
Penonton berbaris panjang bak ular kena palu. Kumpulan kami memasuki lorong VVIP untuk mengiringi Tiz Zaqyah berhibur.
Dari satu rumah ke rumah hantu kami bertembung dengan zombie, "dikejar" oleh orang bertopeng serigala dan belum sempat menarik nafas lega, hantu galah menunggu di depan. Belum habis langkah muncul pula pontianak "tersenggih" menyeringai depan muka.
Warewolf.
Adegan seram itu adalah dari lapan zon berpuaka. Zon Sharknado Alive dan kawasan Animalium contohnya adalah gudang haiwan zombie yang hidup macam manusia di jauh di pedalaman tanah tinggi.
Di Horrorwood Studios inilah yang mengetengahkan wajah-wajah hantu termasuk pembunuh tangan besi runcing, Freddy Kruger, Jason, Billy, Michael, Alian, Ghostbusters dan Pennywise.
Hotel Deville, The Plague, Bloodshed, Horrorjuku Angoscia House Of Fashion & Fear on Harajuku Street, House of Voodoo kisah seram patung yang diukir menyerupai mangsa sasaran, disumpah dan dicucuk asalnya dari kisah voodoo New Orleans.
Dan tidak ketinggalanlah lokasi Scarytales Theater yang menampilkan Bomoh kita membaca mantera dan aksi hantu yang datang kiri kanan, depan belakang.
Nok rasa "diserang" oleh hantu jom ke Nights Of Fright 7 yang berakhir 9 November, Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 7.30 hingga 11.30 malam.