TAHNIAH! NADIA, HUSAINI KE I-SING WORLD 2019
Published bySIAPA pernah mendengar mengenai pertandingan nyanyian antarabangsa I-Sing World?
Untuk pengetahuan, I-Sing World sudah dua tahun sebenarnya dimulakan di Myanmar yang diasaskan oleh Yuro T dari I-Sing Management melalui APIC Singapura sebagai penganjur, dengan tujuan mencungkil bakat-bakat baharu dari usia 16 tahun ke atas melalui bidang nyanyian untuk dipertandingkan pada peringkat antarabangsa.
Nadia Hasnan (tiga dari kanan) dan Mohamad Husaini (tiga dari kiri) merupakan dua pemenang I-Sing Malaysia yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan I-Sing World 2019 di Stockholm, Sweden bermula 10 November 2019.
Tahun lalu, penyanyi mewakili Malaysia, yang kini sudah pun bergelar artis rakaman, Syafeek Ikhwan dinobatkan sebagai Juara I-Sing World 2018 semasa pertandingan itu berlangsung di Paris, Perancis.
Ketika itu, Syafeek, 30, merupakan antara 18 peserta yang layak ke pentas akhir setelah melalui tiga pusingan kelayakan melibatkan 44 peserta dari seluruh dunia yang bertanding.
Foto Kredit Facebook I-Sing World.
Tahun ini, menjelang I-Sing World 2019 yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 November 2019 di Stockholm, Sweden, I-Sing Malaysia yang diterajui Michael Samy dari Ryhthmis Mine Studio sebagai penganjur akan membawa dua bakat baharu iaitu bekas pelajar program realiti, Akademi Fantasia musim ke-6, Nadia Hasnan, 29, dan Mohamad Husaini Mahmur, 27, seorang guru sambilan dan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat ASEAN 2016.
Mereka antara 24 finalis yang bertanding pada peringkat akhir I-Sing Malaysia dan berjaya dipilih sebagai wakil Malaysia ke I-Sing World 2019.
Wow! Dua peserta yang berlainan aliran dalam sebuah pentas nyanyian global yang berkehendakan mereka melalui tiga pusingan pada final itu kelak.
Nadia Hasnan
Mohamad Husaini Mahmur. Foto dari IG Husaini Mahmur.
Nadia yang juga seorang penyampai radio, dijangka membawa tiga lagu iaitu ‘This Is a Man’s World’ (James Brown), “Fantasia Bulan Madu’ (Search) dan ‘Total Eclipse of the Heart’ (Bonnie Tyler), manakala Husaini pula memilih lagu 'You Came To Me' (Sami Yusuf); ‘Percayalah’ (Siti Nurhaliza) dan 'Syair Laila Majnun' (lagu asal nyanyian Ramli Sarip dan Jamal Abdillah).
“Ini kali ketiga penyertaan Malaysia ke pertandingan I-Sing World dan setiap penyertaan dari Malaysia memang tidak menghampakan,” ujar Michael Samy.
Menurut beliau, jika tahun lalu Syafeek Ikhwan menjuarai pertandingan itu yang berlangsung di Paris, tahun sebelumnya pun meletakkan wakil Malaysia, Nabilah pada kedudukan ketujuh ketika pertandingan itu berlangsung di Yangon, Myanmar.
Michael Samy mengharapkan sokongan Kerajaan dalam membawa I-Sing World 2020 ke Malaysia sebagai tuan rumah.Sehubungan kejayaan yang diraih, Michael Samy melahirkan harapan agar dapat menjadi tuan rumah dalam menganjurkan I-Sing World 2020 di Malaysia.
“Saya harap usaha ini dapat direalisasikan dan mohon kerjasama pihak televisyen mahu pun penaja yang berminat untuk menjadikan pertandingan global ini lebih meriah apatah lagi sempena tahun Wawasan 2020,” ujar Michael ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya, sepanjang tempoh penyertaan Malaysia ke pertandingan itu segala kos dibiayai Michael sendiri sebagai sumbangannya terhadap dunia hiburan tempatan.
“Saya sendiri pernah menjadi peserta pertandingan ini dan melihat ia sebagai satu platform yang boleh memperkenalkan bakat-bakat baharu Malaysa, jadi sayang jika ia tidak diperkenalkan dengan lebih meluas di sini,” harapan Michael.
Memandangkan Malaysia bakal menjadikan 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia, sebuah pertandingan global begini boleh mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai salah satu langkah mencapai sasaran memperoleh 30 juta kedatangan pelancong pada tahun depan.
“Saya percaya jumlah sasaran itu boleh dicapai apatah lagi penyertaan untuk I-Sing World akan membawa penyertaan dari lebih 40 negara seluruh dunia,” akhiri Michael.
Pemenang I-Sing World bakal menerima hadiah wang tunai USD$2,500 serta peluang menyanyi di beberapa negara pilihan penganjur kelak.
Good luck Nadia dan Husaini, moga berjaya mengharumkan nama negara sekali lagi!