PENYANYI, penulis lagu, pelakon dan pengarah lelaki terkenal Malaysia, Dato M. Nasir sudah lama tidak tampil dengan lagu baharu.

Kenapa agaknya plantun lagu 'Keroncong Untuk Ana' ini tidak menghasilkan karya baharu di tengah-tengah kesibukan artis-artis muda atau BBNU (Budak Baru Nak Up) menampilkan lagu-lagu mampu memikat hati pendengar dewasa ini?

"Saya memang ada mencipta lagu-lagu baharu tetapi belum nampak sesiapa yang boleh membawanya dalam kalangan artis baharu. 

"Kebanyakan penyanyi-penyanyi muda sekarang sekadar boleh menyanyi, mereka bagus tetapi mereka tiada 'depth'," jawab M. Nasir ketika ditemui baru-baru ini pada majlis sidang media  Konsert M. Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan yang bakal diadakan pada 23 November ini.

Bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur konsert berkenaan dibawa oleh Shiraz Projects Sdn Bhd sempena merayakan ulang tahun ke-40 keberadaan M. Nasir dalam industri hiburan.

Bercakap lanjut mengenai karyanya untuk penyanyi baharu mahu pun diri sendiri, M. Nasir memberitahu kesibukannya dalam bidang perniagaan tidak mengizinkannya untuk memasuki studio rakaman bagi merakamkan lagu terbaharu.

"Insya-Allah, ada perancangan untuk mengeluarkan album sendiri sebab lagu-lagu sudah ada cuma masa tidak mengizinkan," tambahnya yang bakal menghiburkan peminatnya pada konsert berkenaan selama dua setengah jam.

Pun begitu, penyanyi yang sering disapa dengan jolokan  'Sifu' ini tidak menolak sekiranya ada penyanyi baharu  yang mahu menyanyikan karyanya tetapi mereka harus mempunyai vokal yang berkualiti.

"Jika dia rasa dia bagus jangan takut berjumpa saya," ujar beliau.

Sempena konsert pada bulan November ini, M. Nasir bakal mendendangkan lebih kurang 20 judul lagu yang bukan sahaja dari nyanyiannya sendiri bahkan karya-karya yang diciptakan untuk penyanyi atau kumpulan lain seperti lagu 'Senandung Semalam' nyanyian Alleycats yang ditulis liriknya mahu pun 'Kenangan Lalu' nyanyian Flybaits dan lain-lain.

"Mungkin saya akan medleykan lagu-lagu berkenaan kerana terlalu banyak untuk dinyanyikan satu persatu," tambahnya.

Komposer berusia 62 tahun ini mengakui rasa teruja untuk kembali ke pentas konsert di mana beliau akan mempamerkan repertoir dari album pertamanya hinggalah lagu terkini dengan barisan lagu-lagu hits seperti 'Tanya Sama Itu Hud Hud," "Mentera Semerah Padi,' "Apokalips' dan banyak lagi.

Memilih untuk bersama band lamanya, "The Gong' yang akan menampilkan 14 pemuzik handalan, terdapat juga segmen kejutan yang akan dipamerkannya pada konsert berkenaan.

Nak tahu apa kejutannya, bersiap sedialah untuk menempah tiket yang berharga RM860 (Meet & Greet); RM460 (Diamond); RM360 (Platinum); RM260 (Emas); RM200 (Perak) dan RM160 untuk kawasan tempat duduk Gangsa.

Penjualan tiket konsert boleh diperoleh di laman web www.myticket.asia

Khabarnya, Konsert M. Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan ini akan diteruskan di Singapura.

"Kami sedang mengatur tarikh dan lokasinya dan akan diumumkan apabila segalanya sudah pasti," ujar Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim (kanan).

1
1
0
0
0

Copy Link: