CINTA tidak semestinya berakhir dengan ikatan perkahwinan. Ia bagai impian indah yang adakalanya tidak dapat digapai oleh tangan. : KitaReporters.com

WAJAH jelita Mumtaz dahulu dan kini.


Inilah suratan hidup yang dilalui aktres jelita Mumtaz, 72 tahun. Meskipun pernah jatuh hati  dengan dua aktor ternama, Shammi Kapoor dan Jeetendra, akhirnya dia bertemu jodoh dengan insan  di luar dunia filem.

Cinta daripada dua jejaka mungkin menyebabkan Mumtaz sukar membuat pilihan. Bunga hanya sekuntum tetapi dua ekor kumbang ingin menyunting. Akhirnya Mumtaz berkahwin  dengan seorang ahli perniagaan India, Mayur Madhwani pada tahun 1974 ketika berusia 27 tahun.

LIRIKAN manja daripada aktres jelita.


Tunas cinta Shammi dan Mumtaz berputik sewaktu penggambaran filem Brahmachari (1968) yang turut dibintangi oleh aktres Rajshree.   

Kemuncak cinta apabila Shammi meluahkan perasaan kepada Mumtaz dan menyatakan kesediaan  untuk mengahwininya. Namun yang menjadi penghalang ialah Shammi memberikan syarat Mumtaz mesti meninggalkan dunia perfileman.

Syarat ini sukar diterima oleh Mumtaz  yang ketika itu baru berusia 18 tahun dan sedang mencipta nama. Tambahan lagi penglibatannya dalam filem adalah untuk membantu menyara keluarganya. Justeru cinta mereka terpadam setakat itu.

MUMTAZ dan Jeetendra dalam 'Roop Tera Mastana'.


Namun Mumtaz juga dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Jeetendra. Di kalangan industri ketika itu mengetahui hubungan mesra mereka. Kerana itulah pengarah dan produser mengambil kesempatan daripada populariti pasangan itu untuk menggandingkan mereka dalam filem.

Banyak filem di mana Jeetendara dan Mumtaz muncul sebagai hero dan heroin. Antaranya HimmatJigri Dost, Kathputli, Maa Aur Mamta dan Roop Tera Mastana.

Namun hubungannya dengan Jeetendra juga berakhir di tengah jalan. Kecewa dengan apa yang berlaku akhirnya Mumtaz memilih berkahwin dengan jejaka yang bukan daripada kalangan industri filem.

MUMTAZ dan Jeetendra dalam 'Maa Aur Mamta'.


Perkahwinannya dengan Mayur Madhwani dikurniakan dua orang anak perempuan,  Natasha dan Tanya. Natasha berkahwin dengan aktor Fardeen Khan pada 2005.

Fardeen ialah anak aktor Feroz Khan yang pernah mencapai kejayaan gemilang melalui filem pecah panggung keluaran dan arahannya, Qurbani. Feroz juga pernah berganding dengan Mumtaz dalam Apradh dan Aadmi Aur Insan.

SENYUMAN manis daripada Mumtaz.


Kejayaan Mumtaz menempatkan diri dalam kelompok aktres ternama filem Hindi, khususnya pada tahun 60-an dan awal 70-an, bukanlah kejayaan sekelip mata tetapi hasil usaha gigih.

Bermula sebagai pelakon kanak-kanak melalui filem Sanskar pada 1952, dia kemudian muncul sebagai aktres dewasa melalui filem Faulad bersama Dara Singh. Selepas filem itu Mumtaz mula menerima pelbagai tawaran berlakon.

Kegemilangan namanya semakin memuncak selepas membintangi filem hit Do Raaste (1969) bergandingan dengan Rajesh Khanna.

Mumtaz terus mencipta nama. Kejayaannya meletakkan dia sebaris dengan aktres terkenal ketika itu seperti Sharmila Tagore, Asha Parekh, Saira Banu, Vijayantimala, Rajshree, Mala Sinha, Babita, Nanda dan Sadhana.

Dalam kariernya, Mumtaz bergandingan dengan ramai aktor ternama seperti Rajesh Khanna, Shashi Kapoor, Amitab Bachchan, Dev Anand, Jeetendra, Shammi Kapoor dan Dhamendra. Ini menyerlahkan kehebatannya dalam industri.

MUMTAZ bersama Rajesh Khanna dalam 'Do Raaste'.


Sepanjang kariernya dia membintangi puluhan filem, antaranya filem pecah  panggung seperti Apna Desh dan Dushman yang dibintangi bersama Rajesh Khanna. Mumtaz pernah memberitahu, dia dan Rajesh amat serasi apabila bergandingan dalam filem.

Filem-filem lain seperti Chor Machaye Shor (Shashi Kapoor); Admi Aur Insan (Dhamendara/Feroz Khan); Mela (Sanjay Khan); Bandhe Haath (Amitab Bachchan)1973; Loafer (Dharmendara); Khilona (Sanjeev Kumar); Aap Ki Kasam (Rajesh Khanna) dan banyak lagi.

Kehebatannya dalam industri diakui dengan kejayaan menggondol Anugerah Filmfare kategori aktres terbaik melalui filem Khilona pada tahun 1971.

MUMTAZ


Mumtaz ialah bahasa Arab yang bermaksud ‘terbaik’  atau ‘terpuji’. Nama ini diberikan oleh ayah ibu Mumtaz, Abdul Saleem Askari dan Shadi Habih Agha yang berasal dari Iran. Mereka bercerai selepas setahun Mumtaz dilahirkan pada 1947.

Selepas perceraian ini Mumtaz tinggal bersama nenek sebelah ibu. Keluarga tersebut menghadapi masalah kewangan yang rumit sehingga mendorong Mumtaz dan adiknya, Malika, bekerja dalam industri filem untuk membantu keluarga.

Ternyata langkah ini menukar kehidupannya. Daripada seorang pelakon cilik dan pelakon berperanan kecil, Mumtaz membina nama menjadi bintang ternama. Daripada susah, kehidupannya dan keluarga menjadi lebih senang.

Namun dia kehilangan ibu tersayang pada tahun 1967 ketika sibuk menjalani penggambaran filem Boond Jo Ban Gaye Moti.

MESRANYA Mumtaz dan Jeetendra. Namun kasih putus di tengah jalan.


Mumtaz tidak pernah jatuh hati dengan mana-mana aktor yang berpasangan dengannya kecuali Shammi Kapoor dan Jeetendra. Baginya, tidak semestinya untuk jatuh hati dengan pasangan dalam filem. Cukup sekadar memuja dari jauh.

Perkahwinannya dengan Mayur Madhwani pada 1974 ketika dia di kemuncak kerjaya, menyaksikan Mumtaz meninggalkan dunia lakonan dan pernah mengikut suami tinggal di London.

Namun nama Mumtaz akan tetap terpahat sebagai antara aktres paling berjaya dalam dunia perfileman Hindi. Walau pun sudah bersara, sekurang-kurangnya masih ada bintang filem dalam keluarga iaitu menantunya Fardeen Khan. - KitaReporters.com

MUMTAZ masa kini.


2
1
0
1
0

Copy Link: