ALISYA MENANGIS SETELAH JALANI UJI BAKAT GANTI KAKAK

Published by
KitaReporters

BAK kata pepatah Melayu 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu'

Nur Sarah Alisya Zainal Rashid


Begitulah yang dilalui Nur Sarah Alisya Zainal Rashid yang tidak pernah menduga 'orang lain yang menghantar permohonan' dia pula yang dianugerahkan rezeki.

Semuanya gara-gara kakaknya, Hanis Zalikha yang ketika itu menuntut di UiTM Segamat tidak dapat menghadiri uji bakat sebagai pelakon suara siri BoBoiBoy untuk TV pada tahun 2010.

"Disebabkan Kak Hanis belajar, jadi Mama mencadangkan Alisya menggantikan tempat kakak untuk menjalani uji bakat.

"Semasa uji bakat itu, Alisya menjadi pelakon suara untuk watak Yaya dan Ying dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

"Setelah selesai uji bakat itu Alisya menangis kerana takut dan malu. Tetapi Alisya tak sangka ditawarkan menjadi pelakon suara Yaya dalam BBB," cerita Alisya mengimbas kembali sesi uji bakat yang dikendalikan  oleh Pengarah Audio Animonsta Studios, Anas Abdul Aziz dan Diane, sembilan tahun lalu.

Sejak itu, bermula dari siri TV BoBoiBoy dan sehingga BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2), Alisya masih kekal sebagai Yaya.

Sejak itu, bermula dari siri TV BoBoiBoy dan sehingga BoBoiBoy Movie 2, Alisya masih kekal sebagai Yaya.

Mendasari watak Yaya, seorang gadis berpersonalti lembut, peramah, sering menasihati rakan sekelas dan garang, cabarannya bagi Nur Sarah Alisya;

" Apabila di studio rakaman, Alisya adalah Yaya yang ceria, happy dan berfikiran positif. 

"Tidak kira apapun masalah kita hingga membuatkan kita 'bad mood' kita harus buang jauh-jauh kerana wajah kita tidak boleh membohongi perasaan kita."

Menurut Alisya, sebagai manusia kadangkala 'bad mood' itu ada tetapi alhamdulillah dia berjaya mengatasinya.

"Selalunya apabila sampai di studio untuk ambil 'mood' Gopal akan bercerita tentang kucingnya dan Ying akan memberi gula-gula kepada saya.

"Selepas itu dengan skrip di tangan dan memahami jalan cerita untuk babak berkenaan, Alisya memulakan tugas. 

"Dalam sehari Alisya mengambil masa antara dua atau tiga jam untuk proses rakaman suara buat Yaya.

"Apabila semakin dewasa Alisya rasa lebih mudah tugas ini kerana tidak perlu terlalu menjerit untuk babak yang perlukan suara bernada tinggi," cerita Alisya.

Selain menjadi pelakon suara BBBM2, Alisya yang bercita-cita menjadi penulis puisi Inggeris terkenal dan pensyarah, pernah berlakon dalam filem "29 Februari" dan hos rancangan "Berita Adik" di TV9.

Bercerita tentang Nurfathiah, Alisya yang akan memulakan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Kesusasteraan Inggeris peringkat Ijazah Sarjana Muda tidak lama lagi berkata;

" Walaupun jarang berjumpa tetapi kami memang rapat kerana Thiah adalah anak saudara Alisya.  Ayah Thiah sepupu Alisya."

60
7
0
1
0

Copy Link: