SEMEMANGNYA ia sebuah filem komedi tetapi mempunyai mesej yang sangat besar dan berat untuk direnungi. Ia tentang kegiatan Freemason dan New World Order dengan segala teori konspirasi, tetapi disampaikan dalam bahasa komedi. 

Terdapat beberapa pandangan yang berbeza dengan gandingan sebegini. Sekali imbas pada tajuk, filem Hero: Jangan Bikin Panas adalah sebuah filem komedi, namun bagi saya ia bukanlah suatu kemestian bahawa tema berat itu harus disampaikan dalam filem yang bercorak heavy drama.

Buat saya, cubaan berdakwah dalam lafaz komedi itu adalah satu usaha untuk menarik lebih ramai penonton kerana pada hari ini, sebuah filem komedi itu lebih ramai audiensnya daripada sebuah filem drama berat.

Filem arahan Azizi Chunk, pengarah yang sebelum ini menghasilkan filem seperti Antoo Fighter dan Kapoww. Hero adalah arahannya yang ketiga. 

Jika Antoo Fighter menampilkan pahlawan Islam, dalam Hero, Azizi menampilkan pula pelajar tahfiz yang kemudian menjadi ahli bomba merungkai misteri kebakaran sekolah maahad tahfiz yang menjadi peristiwa hitam dalam hidupnya.

Zaf, lakonan Hisyam Hamid bersama dua rakan yang lain, Amad (Bell Ngasri) dan Adam (Mark Adam) akhirnya berjaya merungkai misteri kebakaran pusat tahfiz tersebut serta urus niaga pembelian tanah secara haram yang didalangi rangkaian kongsi gelap antarabangsa.

Pada saya, cerita ini sangat kena pada masa kini, terutama dalam kes-kes yang melibatkan kematian para ahli bomba dan tentunya kes kematian arwah Adib. 

Sudah tentunya usaha untuk mengangkat  pasukan keselamatan seperti polis dan ahli bomba dalam filem adalah satu cara yang baik bagi mengharga jasa dan sumbangan mereka selama ini.

Mereka adalah wira yang tidak didendang dan sudah tentunya memilih ahli bomba sebagai penggerak utama  sebuah cerita, merupakan satu penghargaan yang tinggi.

Syabas kepada penulis skrip, Akbar Hashim dan pengarahnya yang telah mengolah cerita ini hingga menjadi sebuah filem yang sesuai ditonton untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Sebetulnya, ketika menonton filem ini pada tayangan galanya bulan lalu, kebimbangan saya adalah anak saya yang berusia 11 tahun tidak dapat menghayati filem ini. 

Maklumlah anak-anak sekarang dengan pengarah Youtube dan game berbahasa Inggeris, tentunya sukar menerima filem Hero: Jangan Bikin Panas Itulah kebimbangan saya ketika melangkah masuk ke dalam panggung – takut anak saya bosan!

Tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Setiap dialog setiap punch line jenaka yang dituturkan oleh Mark Adam dan Bell Ngasri membuatkan anak saya ketawa berdekah-dekah. Dan pada ketika kami meninggalkan panggung, anak saya menyatakan  “Saya suka filem ini. Watak-watak di dalamnya cukup kelakar.”

Apabila anak saya yang game savvy itu boleh ketawa dan merasa terhibur tayangan berlangsung, tidak gelisah di tempat duduknya, saya berasa lega dan yakin bahawa Hero: Jangan Bikin Panas dengan segala mesej dalamnya, amat sesuai untuk tontonan semua.

Hero: Jangan Bikin Panas menceritakan tentang seorang anak muda, Zafrul, yang mengalami pengalaman pahit apabila sekolah tahfiznya terbakar secara misteri. Banyak tanda tanya bermain di fikirannya sehinggakan dia bertekad mencari jawapan merungkaikan misteri kebakaran itu. 

Meneruskan kehidupannya, Zafrul, sebagai ahli bomba, bertemu dan berkawan dengan dua ahli bomba baru, iaitu Amad dan Adam.

Dengan bantuan Amad dan Adam, Zafrul berusaha mencari kebenaran dan keadilan bagi misteri kebakaran pusat tahfiz yang juga ada kaitan dengan penjualan tanah secara haram, didalangi rangkaian kongsi gelap antarabangsa.

Gandingan Mark dan Bell sememangnya menjadi kekuatan filem ini dan boleh dikatakan kemunculan mereka membuat penonton tidak kering gusi, sekalipun ada adegan yang dibuat tanpa dialog.

Manakala lakonan Hisyam Hamid sebagai ahli bomba cukup bersahaja dan hidup sekali kerana umum mengetahui Hisyam sebelum menceburi  bidang lakonan merupakan seorang ahli bomba di Singapura. 

Aksi tangkasnya sebagai ahli bomba tentunya bukan semata-mata lakonan kerana apa yang penonton saksikan bukan sekadar lakonan Hisyam bahkan dia telah mempamerkan skilnya sebagai seorang ahli bomba terlatih selama lapan tahun di negaranya.

Secara keseluruhannya, pemilihan pelakon yang baik membantu menghidupkan watak masing-masing. Elisya Sandha sebagai Amylia dan Tash Yong dan dua pelakon yang tidak asing lagi dalam dunia lakonan, Datuk Jalaludin Hassan sebagai Master Samiri dan Shaharudin Thambi selaku Don Shah.

Syabas dan tahniah untuk penerbit filem ini, Darling Ngasri yang bukan saja berani membawa naskhah Hero, dari sebuah drama bersiri televisyen TV2 yang berjaya yang kemudian diangkat dalam bentuk novel. 

Sudah tentunya peralihan medium dari drama dan novel ke dalam bentuk filem adalah sama sekali berbeza. Dan, kelebihan filem ini adalah lakon komedi dan jenaka Mark Adam dan Bell Ngasri.

Mesej berupa sindiran dan pengisian yang tersurat dan tersirat telah disampaikan secara komedi melalui watak watak lucu yang tentunya sengaja diselitkan dan berjaya menghidupkan filem ini sebagai sebuah filem untuk tontonan seisi keluarga.

Selain tayangan ke seluruh negara, filem ini juga menemui penonton-penonton di Singapura pada 12 Oktober lalu di Cathay Causeway Point dan Cathay Downtown East dengan sesi "Meet and Greet" di kedua-dua lokasi.

Tahniah penerbit NS Start Sdn Bhd. Walaupun filem tempatan berdepan banyak halangan ketika ini, diharapkan Darling Ngasri akan terus gigih berusaha bagi mewarnai industri filem tempatan.

1
1
0
0
0

Copy Link: