Video| 11 tahun! Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa kekal paling sunyi, senyap di dunia!

Published by
KitaReporters

 


Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa di Hambantota, Seri Lanka. Nampak hebat tetapi hanya 10 orang menggunakan perkhidmatan dalam sehari.


BERBALOIKAH membina dan memiliki sebuah lapangan terbang tersergam indah jika setiap hari hanya 10 orang penumpang yang menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut?

Bunyinya seperti tidak menasabah. Masakan begitu sedikit jumlah pengguna. Tetapi itu adalah realiti sebuah lapangan terbang antarabangsa di Hambantota, berhampiran Colombo, ibu negara Sri Lanka. Orang lama mengenali Sri Lanka dengan nama asal Ceylon.


Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa di Hambantota, Sri Lanka.


Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa digelar sebagai lapangan terbang paling sunyi di dunia. Ia merekodkan 10 orang penumpang sahaja menggunakan perkhidmatan lapangan terbang dalam sehari walau pun ia sebuah lapangan terbang yang besar berhampiran bandar raya Colombo. 

Kerana jumlah penumpang yang sangat sedikit, lapangan terbang itu bukan sahaja dikenali sunyi tetapi paling senyap. 

Tidak ada hiruk pikuk bunyi bising penumpang atau pekerja. Juga tiada bunyi deruan enjin kepal terbang silih berganti yang bisanya kedengaran di lapangan terbang sibuk.

Keadaan di lapangan terbang itu tetap sama walaupun ia sudah berusia 11 tahun. Kadar penumpang tetap sama, tiada perubahan. 

Tidak dapat dipastikan bagaimana ia boleh bertahan dengan jumlah penumpang yang tidak menasabah rendahnya.


Mantan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, yang mencetuskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa.


Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa dibina semasa pemerintahan bekas presiden, Mahinda Rajapaksa. Nama lapangan terbang itu adalah sempena namanya.

Ia adalah lapangan terbang antarabangsa ketiga di Sri Lanka selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Ratmanala dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike di Colombo.

Sebanyak 64 trilion Rupees atau RM898 juta dibelanjakan membina lapangan terbang berkenaan, dengan pembiayaan oleh kerajaan China. Ia dirasmikan pada tahun 2013. Landasannya berukuran 3,500 meter.

Kedudukannya kira-kira empat jam pemanduan dari bandar raya Colombo, dikelilingi hutan dan kampung-kampung kecil. 

Adalah menjadi harapan Rajapaksa, lapangan terbang yang mempunyai pelbagai ciri menarik itu akan menjadi tumpuan ramai, terutama pelancong dari Barat dan Asia.

Namun nampaknya hasrat itu tidak tercapai. Ia tidak popular dalam kalangan penduduk tempatan atau pelancong luar. Mungkin kerana kedudukannya yang jauh dari Colombo, bandar raya yang lebih besar dan sibuk. 


Ruang dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa yang luas dan mewah tetapi sunyi kerana tiada penumpang.


Tetapi jika hendak dikira, lapangan terbang ini tiada bermasalah dari segi perhubungan. Kemudahan pengangkutan di lapangan tersebut seperti teksi mudah didapati untuk menuju ke destinasi tertentu.

Begitu juga berhampiran lapangan terbang, terdapat hotel untuk kemudahan orang ramai seandainya ingin menginap sebelum meneruskan perjalanan. Tetapi tidak ramai peduli dengan lapangan terbang serta kemudahanya menyebabkan ia sangat sunyi.

Oleh kerana itu hasrat menambah baik dan menyediakan lebih banyak kemudahan yang dirancang di persekitaran lapangan terbang tidak menjadi kenyataan. Tiada guna lapangan terbang itu nampak lebih hebat jika tiada yang menggunakannya.

Dengan kedudukannya sekarang, Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa lebih seperti ‘gajah putih’, hebat dipandang tetapi kurang diguna. 

Hidup segan mati tak mahu. Entahlah berapa lama lagi kerajaan Sri Lanka mampu mempertahan gajah putih ini. - KitaReporters

 

 

 

13
10
0
13
0

Copy Link: