"KADANGKALA saya malu kerana asyik meminta pertolongan dengan semua orang apatah lagi memikirkan saya anak Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee. Tapi jika tak buat macam tu, di mana lagi tempat untuk memohon bantuan.

"Saya reda dan menerima hakikat, inilah takdir dan ujian Allah," kata Sazali Tan Sri P Ramlee, 64, ketika ditemui di Majlis Engkau Laksana Bulan: Sambutan Maulidur Rasul, Bacaan Yasin dan Doa Selamat Buat Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pelbagai acara sampingan diadakan termasuk persembahan marhaban dan nasyid, ceramah Ustaz Yaacob Alias, penyerahan sumbangan, pameran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan kemunculan beberapa artis veteran yang pernah berlakon bersama P Ramlee termasuk Sofia Ibrahim, Norlia Ghani, Dayang Sofia dan Ruminah Sidek. 

Turut hadir, Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Sandakiah Azez; Pengurus Eksekutif Kanan YAPEIM merangkap Pengarah Program Engkau Laksana Bulan, Ustaz Yaacob Alias dan wakil Smartestcom Sdn Bhd,  Jasmi Shahir. 


Sebahagian artis veteran bergambar kenangan bersama penaja dan pengurusan Masjid Al-Hasanah selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Bacaan Yasin dan Doa Selamat Buat Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


Sazali mengakui tertekan kerana pendapatan yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Selangor (PZS) tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan makan minum terutama membiayai kos perubatan setiap bulan. Sebelum ini, beliau pernah bekerja dengan Alam Flora tetapi sudah berhenti sekitar 15 tahun lalu. 

"Saya memang dah tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sejak kemalangan pada 2012, tidak boleh bergerak macam dulu, terpaksa menggunakan tongkat selain memerlukan pemeriksaan dari semasa ke semasa di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Isteri saya, Hamidah Hitam, juga semakin uzur. Walaupun menerima bantuan bulanan daripada PZS dan JKM sebanyak RM900, ia memang tidak mencukupi kerana kami perlu membiayai kos rawatan berjadual di HUKM, Kuala Lumpur. 

"Isteri saya dinasihatkan doktor membuat pembedahan leher. Tapi, mana nak cari wang untuk pembedahan yang agak tinggi. Lebih terasa kerana sejak 2024, saya tidak menerima duit royalti lagi untuk lagu-lagu arwah ayah daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP)," katanya.  


Sazali Tan Sri P Ramlee


Beliau terpaksa menerima hakikat itu walaupun pahit untuk menerimanya kerana ia termaktub dalam perjanjian bahawa pembayaran royalti itu hanya untuk tempoh 50 tahun dan ia berakhir pada 2023.  

Allahyarham P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung pada 29 Mei 1973, ketika berusia 44 tahun, meninggalkan peminatnya dengan legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman. 

Sepanjang hidup bersama arwah P Ramlee, Sazali berlakon dalam tiga filem, iaitu Musang Berjanggut pada tahun 1959 sebagai bayi Tun Nila Utama, Ahmad Albab (1968) sebagai anak jin dan filem terakhir pada 1958, memegang watak Zali Boy.  


Sebahagian artis veteran wanita bersama jemaah wanita di Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Bacaan Yasin dan Doa Selamat Buat Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


"Dalam keadaan sekarang, harga barangan keperluan dapur pun tinggi, ditambah lagi bayaran elektrik dan air, memang ia tidak mencukupi.

"Selain masalah kaki yang masih belum pulih akibat kemalangan, saya juga menghidap asma dan darah tinggi. Isteri pula mengalami masalah tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan pada 2018," katanya lagi.

Keadaan kesihatan mereka juga memerlukan wang pembiayaan untuk kegunaan pengangkutan Sazali ke HUKM bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan mengikut janji temu ditetapkan doktor.  


Sazali (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.


"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ahli keluarga yang tinggal berdekatan rumah ada memberi sedikit bantuan. Tapi, tak bolehlah mengharapkan orang lain kerana mereka juga ada tanggungjawab kepada keluarga masing-masing

"Cuma, saya berharap selagi nyawa dikandung badan, nasib saya sebagai waris P Ramlee akan terbela," katanya. 

Ditanya kenangan bersama P Ramlee, katanya selepas arwah yang dipanggil 'daddy' meninggal dunia, banyak memori yang masih diingati ketika mereka tinggal di rumah di Setapak, Kuala Lumpur.  


Potret Allahyarham Tan Sri P Ramlee seniman agung yang tidak calang gantinya walaupun selepas meninggal dunia 51 tahun lalu.


Selepas 13 tahun arwah meninggal dunia, kerajaan menjadikan kediaman itu Pustaka Peringatan P Ramlee yang berfungsi sebagai muzium mini. 

Di rumah itulah tersimpan khazanah berharga seperti koleksi peribadi dan karya seni yang dihasilkan seniman agung itu.

Turut dipamerkan ialah nota muzik dan alat muzik seperti piano yang sering digunakan P Ramlee, surat, keratan akhbar, skrip dan poskad yang dikirimkan kepada keluarga, terutama untuk isterinya, Puan Sri Saloma.

"Sudah tentu pemergian daddy meninggalkan kesan mendalam buat saya sebagai anaknya. Saya sering terkenang saat kami sekeluarga tinggal di rumah di Setapak, Kuala Lumpur. 

"Arwah daddy insan baik, budiman dan peramah. Selepas 51 tahun pemergiannya, saya masih merindunya, begitu terasa kehilangannya terutama kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak termasuk saya.


Norlia Ghani yang pernah berlakon filem pertama arahan P Ramlee berjudul Cempaka turut menerima sumbangan wang tunai.


Beliau mengakui, lagu Anakku Sazali sentiasa mengingatkannya kepada P Ramlee, terasa seperti arwah P Ramlee masih hidup dan dekat dengannya.

"Dulu saya pernah mimpi arwah daddy, sekarang dah tak ada. Tapi setiap malam Jumaat saya tidak pernah lupa baca Yasin untuk arwah daddy, mama dan keluarga terdekat saya. 

"Masa kecil, kami anak-anak selalu bermain bersama-sama, daddy panggil saya Zali Boy. Apabila hari minggu, dia (P Ramlee) akan bawa kami makan-makan atau bermain badminton.  


Dayang Sofia yang pernah berlakon bersama arwah P Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok menerima sumbangan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Bacaan Yasin dan Doa Selamat Buat Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


"Sebelum meninggal dunia, daddy pesan supaya terus tinggal dengan mama (Saloma) jaga dan dengar cakap mama. Saya dengar cakap daddy dan menjaga mama sehingga ke akhir hayatnya," katanya.  

Beliau mengakui sukar melupakan dua insan hebat yang pernah berada dalam hidupnya dan akan terus mengingati jasa mereka menjaga serta membesarnya sampai bila-bila.

"Saya sayang daddy dan mama dan semoga Allah menempatkan roh mereka dalam kalangan orang yang beriman. Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menitipkan doa serta sedekahkan al-Fatihah kepada arwah kerana itulah yang terbaik. 

"Terima kasih kepada Masjid Al-Hasanah dan YAPEIM yang menganjurkan majlis bacaan Yasin, dan tahlil untuk arwah daddy. Hanya Allah mampu membalasnya," katanya lagi sebagai akhir bicara. - KitaReporters


Ruminah Sidek atau Mak Mah yang berlakon bersama arwah P Ramlee dalam filem Anak Bapak gembira menerima sumbangan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Bacaan Yasin dan Doa Selamat Buat Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

12
9
0
15
0

Copy Link: