Nostalgik dan klasik! 2,000 skuter Vespa takluk KL! Hari Vespa Malaysia! Bakal jadi acara tahunan!

Published by
KitaReporters

PARA penunggang dan peserta Perarakan Vespa dalam Hari Vespa Malaysia 2024 ceria menunjukkan isyarat berjaya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Kredit foto: DG 


HARI Vespa Malaysia 2024 yang berlangsung di Pangkalan Kuala Lumpur, Sungai Besi menyaksikan kira-kira 2,000 penggemar skuter ikonik berjenama Vespa itu menyertai acara Perarakan Vespa secara pergi dan balik ke Dataran Merdeka pada 29 Jun 2024.

Konvoi perarakan itu menampilkan penunggang-penunggang dari seluruh negara dengan skuter Vespa masing-masing yang bermodel vintaj klasik dari tahun 1958 sehingga yang berinovasi terkini edisi terhad.

Perayaan bersempena ulang tahun pengasasan Vespa yang ke-76 itu menghimpunkan para penggemar, pengumpul dan orang ramai yang ingin mengetahuinya dalam satu hari yang dipenuhi kemesraan dan keterujaan malah yang kaya dengan warisan dan budaya kenderaan itu.


ANTARA model ikonik skuter Vespa sepanjang 76 tahun pengeluarannya yang dipamerkan sempena Hari Vespa Malaysia 2024. - Kredit foto: DG


“Pemaparan model vintaj klasik itu menjadi penanda kecemerlangan tarikan dan reka bentuk Vespa sepanjang zaman.

“Reka bentuk moden skuternya yang berkuasa 300cc hingga 125cc turut dipamerkan sepanjang acara ini terutama tumpuan khas kepada New Vespa Sprint & Primavera 2024.

“Model ini merupakan gabungan harmoni reka bentuk abadi, terkini dan peralatan teknologi terkini, paling memuaskan setiap personaliti unik,” lapor siaran media Didi Group – pengedar dan pengimport tunggal kenderaan berjenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di Malaysia.


PARA peserta Perarakan Vespa dalam Hari Vespa Malaysia 2024 bersedia dengan skuter Vespa model tersendiri mereka. - Kredit foto: DG 


Hari Vespa Malaysia 2024 turut dimeriahkan dengan persembahan muzik secara langsung oleh kugiran-kugiran dan para penghibur tempatan, aktiviti permainan menyeronokkan selain gerai-gerai makanan dan minuman untuk segenap lapisan pengunjungnya.

Tetamu khas acara ini ialah Pengarah Urusan Piaggio Asia Pasifik, Simone Niccolai dan rakan-rakan kongsi dari negara lain yang berkongsi minat mereka mengenai skuter ikonik Vespa.


PARA penunggang skuter Vespa berlepas dari Pangkalan Kuala Lumpur, Sungai Besi untuk menyertai Perarakan Vespa Hari Vespa Malaysia 2024 ke Dataran Merdeka sebelum kembali ke tempat asal. - Kredit foto: DG


“Sejak diperkenal pada 1946, Vespa telah melambangkan gaya, inovasi dan kebebasan Itali, manakala Hari Vespa menjadi satu penghargaan murni kepada skuter legenda ini dan komuniti maju yang telah diinspirasikannya di seluruh dunia,” tambah siaran itu.

“Kami sangat teruja dengan kejayaan Hari Vespa. Kehadiran dan keghairahan hadirin-hadirat begitu luar biasa dan amat menggembirakan melihat ramai orang berkumpul untuk meraikan Vespa.

“Kami mengalu-alukan untuk menjadikan Hari Vespa sebagai satu acara tahunan selepas ini," kata Pengarah Urusan Didi Group, Goh Kian Sin. - KitaReporters


SIMONE Niccolai dan Goh Kian Sin (lapan dan sembilan dari kiri) diperkenalkan di pentas utama Hari Vespa Malaysia 2024 di Pangkalan Kuala Lumpur, Sungai Besi.  - Kredit foto: DG

 

14
10
0
12
0

Copy Link: