Kasih bernaung di Kampung Sungai Haji Mohamad! Gotong royong penduduk indahkan, ceriakan kampung!
Published by.
“Duhai desaku kasih bernaung
Penduduknya
rela bergotong royong
Jelas
sungguh bakti jasamu
Mendamai
kaum jiwa berpadu”
(Lagu A. Ramlie)
SEKALIPUN jauh di mata, desa tempat tumpah darah, tempat belajar dan bermain akan sentiasa terpahat dalam ingatan. Keindahan kampung dan kemesraan penduduk akan dikenang dan dibawa ke mana sahaja pergi.
Benarlah,
tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Sejauh mana pun pergi,
akan kembali jua ke kampung halaman bertemu rakan-rakan dan sanak saudara. Ikatan
kekeluargaan dan kejiranan tidak mudah putus.
Kemesraan dan kerjasama inilah yang sentiasa dipaparkan oleh penduduk Kampung Sungai Haji Mohamad, Bagan Datuk, Perak. Mereka hidup dalam harmoni, sentiasa sepakat menjaga kesejahteraan dan keceriaan kampung. Jiran sepakat membawa berkat.

Kampung Sungai Haji Mohamad terletak di tepi jalan utama Teluk Intan-Bagan Datuk, berhampiran pekan Selekoh.
Kampung Sungai Haji Mohamad terletak di tepi jalan besar Teluk Intan-Bagan Datuk. Kedudukannya lebih kurang 36 kilometer dari bandar Teluk Intan dan lapan kilometer dari Bagan Datuk. Jirannya ialah Kampung Parit Serong dan Kampung Tebuk Mukmin.
Nama
kampung ini adalah sempena nama peneroka kampung tersebut, Haji Mohamad. Pada
awalnya, tempat ini dijadikan penempatan nelayan di pesisiran pantai iaitu di
kuala sungai di tepi laut Selat Melaka.
Semakin
lama semakin ramai datang menduduki kampung. Kawasan kampung makin berkembang. Penduduk
menjadi petani dengan menanam padi selain membuat ladang dan kebun. Haji Mohamad
dilantik jadi ketua kampung, namanya diabadikan sebagai nama kampung.
Generasi lepas generasi, Kampung Sungai Haji Mohamad semakin maju menurut peredaran masa. Kemudahan asas seperti jalan tar, elektrik, air paip dan telefon disediakan. Semangat perpaduan dan kerjasama penduduk demi kesejahteraan dan keceriaan kampung tidak berubah.
Penduduk Kampung Sungai Haji Mohamad bekerjasama menanam pokok bunga di tepi parit merentas kampung tersebut pada acara gotong royong baru-baru ini.

Memilih anak pokok untuk ditanam di sepanjang tepi parit dalam 'Program Mengindah dan Menceriakan Kampung' di Sungai Haji Mohamad baru-baru ini.
Awal minggu ini (minggu 17 Februari 2025), penduduk kampung bergotong royong menjalankan ‘Program Mengindah dan Menceriakan Kampung’ anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Sebelum ini
JPKK dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). JPKK
merupakan organisasi peringkat akar umbi bagi mentadbir dan mengurus sesebuah kampung di Malaysia.
Menyahut
seruan JPKK, sekitar 40 orang penduduk Kampung Sungai Haji Mohamad turun
padang sama-sama berganding bahu menanam 235 pokok bunga di tepi parit yang
merentas kampung itu.
Pokok ditanam sepanjang satu kilometer dan siap dilaksanakan dalam tempoh dua jam sahaja berkat kerjasama erat dan kerja keras semua yang mengambil bahagian.

Tebing parit nampak lebih indah dan segar dengan penanaman pokok bunga pada program gotong royong di Sungai Haji Mohamad.
Usaha ini bertepatan dengan kedatangan bulan Ramadan, dijangka pada awal Mac 2025 nanti. Pokok bunga akan menambah seri sepanjang jalan, mencantikkan lagi persekitaran.
Secara
tidak langsung ia memberi semangat kepada penduduk untuk lebih ceria melaksanakan
ibadat puasa serta berulang ke masjid untuk bersolat fardu dan tarawih atau aktiviti-aktiviti kegamaan lain.
Mengindah dan menceriakan kampung bagai sudah menjadi tradisi penduduk Kampung Sungai Haji Mohamad. Mereka mahu kampung sentiasa bersih dan indah. Segala kerja dilakukan bersama. Ibarat berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Sepanjang jalan Kampung Sungai Haji Mohamad, Bagan Datuk, Perak, nampak tenang dan damai serta diserikan dengan lembaian daun kelapa, dan kini ditanam pula dengan pokok bunga.
Kerana semangat inilah juga kampung Sungai Haji Mohamad pernah dinobatkan juara ‘Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung’ peringkat kebangsaan beberapa tahun lalu. Oleh itu, gotong royong baru-baru ini bagai mengimbau kenangan kemenangan lalu.
‘Program Mengindah
dan Menceriakan Kampung’ bukan sahaja menyerlahkan kebersihan dan kecantikan. Ia
juga menghidupkan kembali landskap kampung agar lebih segar seperti segarnya suasana
kampung dengan pohon hjiau melambai dan kicauan burung pada pagi hari.
Semoga Kampung Sungai Haji Mohamad terus maju dan makmur, penduduknya hidup sejahtera aman damai dan bersatu. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. - KitaReporters
Sebahagian penduduk Kampung Sungai Haji Mohamad yang menyertai gotong royong 'Program Mengindah dan Menceriakan Kampung' baru-baru ini.