.


PESERTA remaja Bilal Muda ini mengalunkan azan gaya ala muazin masjid Mekah. 


PARA peserta Pertandingan Bilal Muda Karnival Hari Keluarga Harmoni Masjid Taman Putra Perdana mendaftar penyertaan dengan panel hakim. - Kredit foto: MTPP


RUPA-RUPANYA ramai juga si cilik yang berbakat besar untuk digalaskan tugas mengalunkan azan pada setiap solat fardu di kawasan kejiranan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Bakat bilal atau muazin remaja pelapis itu terserlah setelah dicungkil dalam Pertandingan Bilal Muda sempena Karnival Hari Keluarga Harmoni Masjid Taman Putra Perdana (MTPP) pada 9 Februari 2025 lalu.

Malah kedengaran komen hakim pertandingan kepada seorang daripada 20 pesertanya, “masya-Allah, merdu suara azan adik ini, macam bilal di Mekah.”


SEORANG peserta membacakan wirid dan tasbih sebelum mengalunkan azan dengan gaya tersendiri. 



Pertandingan ini merupakan antara pengisian menarik karnival di masjid berkenaan yang bertujuan mengimarahkan dan mendekatkan masyarakat dengan rumah ibadat itu terutama menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak pada Mac 2025 ini.  

Menurut juruacara karnival, para peserta diadili berdasarkan ciri-ciri suara (10 markah), lagu (10 markah), kelancaran (20 markah) dan tertib termasuk pemakaian (10 markah).


PESERTA Bilal Muda ini tidak kurang hebat gayanya untuk menambat hati panel hakim.  


Nazir Masjid Taman Putra Perdana, Adnan Ali berkata, “Pertandingan Bilal sempena Karnival Hari Keluarga Harmoni antara yang mendapat sambutan baik dengan 20 peserta.

"Selain itu, ada juga Pertandingan Bercerita Kisah Nabi-nabi, Cabaran Lego, Dron Soccer, Tulisan Khat dan Mewarna serta Memasak (Terbuka Dewasa) sempena karnival ini.

"Ada juga peserta dari luar kariah masjid ini.  Mereka didapati membuat persediaan rapi dalam menyertainya. Mudah-mudahan kami mendapat barisan bilal pelapis pada masa hadapan,” katanya.


ADNAN ALI. - Kredit foto: MTPP


Mengenai Malam Pertama Di Alam Barzakh, satu lagi aktiviti daya tarikan karnival itu katanya, diubah dan diolah suai daripada konsep ‘Rumah Hantu’yang sering menghiasi pesta ria (fun-fair) atau taman-taman tema di luar.  

"Idea saya ini asalnya hendak buat ‘Rumah Hantu’ tetapi dalam mesyuarat jawatankuasa masjid, tidak sesuai diadakan dalam masjid. Jadi kami ubah suainya jadi macam ‘selangkah ke alam kematian’ yang bertujuan menyedarkan para pengunjungnya dengan amalan masing-masing di dunia ini.

“Sambutannya juga baik biarpun dikenakan bayaran kupon dalam kadar yang minimum (RM5). Yang masuknya didapati teruja, mungkin perlu ditambah baik dalam akan datang seperti segi propnya dan kena ada persediaan awal,” katanya.


PARA pengunjung 'Malam Pertama Di Alam Barzakh' berpusu-pusu berbaris di pintu depannya.  


Cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik seperti skuter mini, percutian dan emas 999 serta pakej makanan turut ditawarkan buat para pengunjung karnival yang hanya perlu membeli kupon penyertaan bernilai RM30.

“Selama sebulan kami buat hebahan mengenai karnival ini menerusi pelbagai media sosial MTPP sehingga ada pengunjung yang datang sejauh dari Johor. Inilah program yang mendekatkan masyarakat dan menjalinkan ukhuwah yang juga bersempena cuti penggal akhir persekolahan.

“Sebahagian kutipan belian kuponnya, akan digunakan bagi membiayai aktiviti MTPP setelah ditolak kos penganjuran. Alhamdulillah kami juga mendapat sokongan padu penajaan individu,” kata Adnan.


PARA pengunjung 'Malam Pertama Di Alam Barzakh' bergambar dengan 'jenazah olok-olok' yang bergerak selari dengan tayangan klip video Malam Pertama Di Alam Barzakh.  


Karnival seumpama ini anjuran MTPP katanya pernah dianjurkan sebanyak dua kali sebelum era pandemik Covid-19 dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami berharap tahun akan datang, lebih banyak pihak yang dapat melibatkan diri kerana ada 16 surau di bawah pentadbiran MTPP, manakala dianggarkan lebih 30 persatuan penduduk, badan pengurusan bersama (JMB) dan kawasan rukun tetangga (KRT) di sekitar taman perumahan ini.

“Akan datang mungkin MTPP perlu mencari idea-idea baharu pengisian yang membolehkan masyarakat bukan Islam turut menghadirinya kerana karnival ini bukan program keagamaan semata-mata atau kebudayaan tetapi tetap berunsur kemasyarakatan dan masih sesuai untuk berbilang kaum,” katanya. - KitaReporters


PEMENANG Pertandingan Bercerita Kisah Nabi-nabi Kategori Bawah 10 Tahun (tengah) bergambar dengan hadiahnya yang disampaikan oleh Timbalan Nazir Masjid Taman Putra Perdana, Zainul Ariffin.  


ADIK ini memenangi tempat ketiga Pertandingan Bercerita Kisah Nabi-nabi Kategori Bawah 10 Tahun Karnival Hari Keluarga Harmoni MTPP. 

17
9
0
18
0

Copy Link: