SEORANG ibu kepada lapan orang anak kehilangan tempat bergantung hidup apabila suami yang merupakan ketua keluarga serta individu bertanggungjawab menyara kehidupan, bermasalah serta ditahan oleh pihak berkuasa dan kini ditempatkan di Penjara Sungai Buluh, Selangor sebelum Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah/2020M lalu. : KitaReporters

Azizah Awang (kiri) bersama cucu-cucunya gembira menerima bantuan barangan keperluan di rumahnya di Bandar Country Home, Rawang, Selangor. Norfadilah Md Nor (kanan) anak beliau terpaksa menanggung beban selain memelihara 8 orang anak sendiri, 2 anak saudara, ibu dan adiknya OKU, sekalipun tidak bekerja, - Kredit foto-foto: Lembaga Zakat Selangor MAIS. 


Bagi Norfadilah Md Nor, yang mempunyai anak kecil dan baharu sahaja lepas pantang melahirkan anak yang ke-8, tidak mempunyai sebarang kerja untuk menjadi sumber pendapatan menyara anak dan keluarga.  

Untuk tujuan ini, beliau memohon bantuan jika ada sesiapa yang bersimpati dalam usahanya mencari sumber kewangan  bagi membolehkan beliau berpeluang mencari pekerjaan menyara keluarganya.

Beliau sebelum ini, tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak kerana suami menyara kehidupan mereka. 

Bagaimana pun selepas ditahan oleh pihak berkuasa hanya dia seorang yang menjadi tempat untuk keluarganya bergantung harap mencari sumber kewangan. 

"Bukan niat untuk meraih simpati namun saya buntu kerana tidak mempunyai wang untuk bergerak bagi tujuan awal mencari pekerjaan.

"Mohon bantuan kewangan bagi kegunaan mencari kerja, membuka akaun bank untuk pembayaran gaji dan perbelanjaan keluarga sebelum memperolehi gaji bulan pertama," ujarnya dengan penuh mengharap.


Selain memelihara lapan orang anaknya, Norfadilah yang tinggal di Bandar Country Homes, di Rawang, Selangor  turut menjaga tiga orang anak saudara yang ditinggalkan ibu mereka, di samping ibu beliau sendiri merupakan asnaf warga emas dan adik bongsu merupakan seorang Orang Kurang upaya (OKU) akibat kemalangan jalan raya.

Beliau memohon bantuan semata-mata demi sesuap nasi bagi 13 orang tanggungannya.

Para wakil LZS MAIS, ahli kariah masjid Bandar Country Homes, Ketua Penolong Amil dan Penolong Ketua Amil Kariah mengadakan perbincangan dengan Azizah Awang semasa kunjungan ziarah ke rumah ibu tunggal yang merupakan asnaf warga emas LZS MAIS.


Pertolongan dan jasa baik semua pihak sangat dihargai hanya Allah yang mampu membalasnya.

Bantuan boleh terus disalurkan ke akaun ibunya Azizah Awang melalui akaun CIMB Bank nombor akaun 7056761018.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (LZS MAIS) melalui laporan media sosialnya menyatakan bahawa ibu tunggal, Azizah Awang, 61, yang memerlukan bantuan kewangan kerana menjaga  seorang anaknya  yang sakit dan hilangan ingatan setelah ditimpa musibah kemalangan jalan raya.

Turut tinggal bersama beliau seorang anak perempuannya yang baharu sahaja melahirkan anak yang ke-8 dan perlu menggalas tanggung jawab sebagai ketua keluarga kerana suaminya menghadapi masalah.

Menurut LZS MAIS, untuk makluman hasil semakan ibu tunggal berkenaan merupakan asnaf LZS di bawah kariah Bandar Country Homes.

Berikutan tularnya pada aplikasi WhatsApp mengenai permohonan bantuan tersebut, wakil LZS MAIS bersama pihak kariah masjid, Ketua Penolong Amil dan Penolong Ketua Amil kariah menziarah dan menyantuni keluarga berkenaan.

Sebahagian wakil LZS MAIS, ahli kariah masjid Bandar Country Homes,Ketua Penolong Amil dan Penolong Ketua Amil Kariah yang mengadakan kunjungan kasih ke rumah Azizah Awang di Bandar Country Homes, Rawang,Selangor. 


Semasa kunjungan tersebut keluarga terlibat menerima sumbangan antaranya bantuan makanan bulanan, bantuan sewa rumah bulanan, bantuan menyelesaikan tunggakan bil api dan air, bantuan menyelesaikan tunggakan sewa rumah, bantuan hari raya dan bantuan COVID-19.

Malahan keluarga tersebut juga turut mendapat sumbangan kewangan untuk diberikan kepada anak perempuanya untuk memulakan kerja.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut menghulurkan bantuan termasuk pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rawang yang maklum mengenai perkara ini serta menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Semoga sumbangan yang diberikan pihak LZS MAIS, NGO, Pejabat ADUN serta individu yang terlibat dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi sinar baharu dalam hidup keluarga Azizah Awang. - KitaReporters

 

0
0
0
0
0

Copy Link: