JIKALAU pada Rabu, 25 November 2020, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Setiu menyelamatkan serta membantu seorang ibu yang berumur 28 tahun masih berpantang serta bayinya berusia lapan hari untuk mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri, Setiu, akibat terkandas banjir. Hari ini, Jumaat, 27 November 2020 pula, APM Setiu menyelamatkan nyawa seorang warga emas. : KitaReporters


CHE Latifah Che Yusof dibawa ke ambulans APM Setiu untuk dihantar ke Hospital Daerah Setiu pada 27 November 2020.  -  Kredit Foto : APM Setiu 


Lagi cerita-cerita berkaitan APM:

https://kitareporters.com/search?search=APM


Hari ini, Jumaat 27 November 2020 pada pukul 12.30 tengah hari tadi, APM Setiu membantu seorang warga emas berumur 69 tahun yang menghidapi penyakit asma dan darah tinggi untuk mendapat rawatan selanjutnya ke Hospital Daerah Setiu, Terengganu.  

Warga emas terbabit, Che Latifah Che Yusof dari Kampung Tok Nadong Pelong, Sungai Tong, Setiu dibawa dengan sebuah ambulans APM kerana jalan di kawasan rumah warga emas itu masih ditenggelami air sedalam kira-kira 1.2 meter.

Akibat terperangkap dengan banjir itu, penduduk kampung telah menghubungi APM bagi membawa keluar Che Latifah yang sedang sakit terlantar di kawasan pedalaman itu ke Hospital Daerah Setiu. 


 

CHE Latifah dibawa masuk ke dalam ambulans APM Setiu. -  Kredit Foto: APM Setiu.


Warga emas terbabit dibawa keluar dari rumahnya dengan menggunakan sebuah bot sebelum mangsa dibawa ke hospital dengan kenderaan APM itu.

Che Latifahyang menghidapi penyakit tersebut sejak lebih setahun lalu, tetapi beberapa hari lalu kesihatan yang dialami warga emas itu semakin serius menyebabkan beliau terpaksa dibawa untuk rawatan di hospital berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung itu pada11.10 pagi tadi, Jumaat 27 November 2020.

Beliau berkata empat orang anggota termasuk seorang pegawai APM Setiu tiba di lokasi warga emas terbabit sejam kemudian selepas mengetahui masalah berkenaan. 

``Warga emas itu dengan pertolongan beberapa penduduk kampung telah mengusungnya dari bot ke ambulans APM untuk dihantar ke hospital,’’ katanya.  


CHE Latifah dibawa turun daripada ambulans oleh dua anggota APM untuk dimasukkan ke Hospital Setiu. - Kredit Foto : APM Setiu 


Sementara itu, Mohd Nizu memberitahu semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan seramai 125 mangsa di daerah Setiu sejak tiga hari lalu kini telah tutup mulai tengah hari semalam, Khamis 26 November 2020.

Meskipun banjir telah reda di daerah itu, tetapi jalan Kampung Tok Nadong Pelong yang menempatkan warga emas berkenaan masih ditenggelami air. 

Jabatan Meteorologi Malaysia pada 27 Novermber 2020 meramalkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah dan Perak. - KitaReporters

15
1
3
1
2

Copy Link: