Bertahun-tahun Putih jadi Tok Penyadap! Warga emas gigih panjat pokok kelapa cari air nira!

Published by
KitaReporters

Putih kelihatan begitu mahir melakukan kerja mendapatkan nira kelapa di atas pokok kelapa.


RAMADAN memberi seribu rahmat kepada mereka yang gigih berusaha untuk mencari rezeki kerana pada bulan yang mulia ini sumber rezeki sentiasa terbuka luas kepada mereka yang rajin melakukan apa sahaja pekerjaan yang halal.

Pekerjaan tradisional memanjat pokok kelapa untuk mengambil nira atau lebih popular dalam kalangan penduduk Pantai Timur yang memanggilnya air tuak memberi pendapatan lumayan kerana permintaan bahan minuman berkenaan pada bulan puasa meningkat sekali ganda.

Pada usia mencecah 76 tahun, seorang warga emas dari Kampung Pak Kancil Dalam, Setiu, Terengganu adalah antara yang masih gigih mengerah keringat mencari rezeki dengan menjual nira kelapa.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan air kelapa


Putih menunjukkan dua jenis botol berisi nira kelapa untuk dijual


Putih A Rahman dengan gelaran Tok Penyadap yang masih sihat dan bertenaga itu bangun tidur kira-kira jam 3.30 pagi untuk membuat persiapan sebelum memanjat pokok kelapa untuk mengambil nira pada jam 7 pagi.

Dia yang mula bekerja mencari nira kelapa atau air tuak sejak berusia belasan itu memanjat lebih 10 pokok kelapa berhampiran rumahnya setiap hari.

"Saya yang sudah bertahun-tahun bekerja menyadap ini. Dulu saya ikut ayah ketika berusia belasan tahun di Kampung Buluh, Setiu, Terengganu.

"Kemudian selepas berkeluarga saya melakukanya sendiri sebagai pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.


Walaupun usianya menjangkau 76 tahun tetapi kudratnya masih kuat untuk memanjat pokok kelapa


Putih berkata, dia akan memanjat pokok kelapa untuk mendapat air nira dua kali sehari iaitu sekitar jam 4 pagi dan 4 petang.

"Dalam sehari saya dapat dalam 30 botol minuman air tuak melainkan jika hujan, saya menjual dengan harga RM3.50 untuk botol kecil dan RM10 untuk botol besar,” katanya.

Beliau berkata, permintaan terhadap minuman tersebut bertambah sedikit pada bulan puasa ini. 

Dia menjualnya kepada pelanggan di sekitar Putera Jaya dan Permaisuri, Setiu dengan motosikal, manakala pada bulan puasa ramai yang datang membeli di rumahnya.


Membuat persiapan menyediakan  bekas khas sebelum memanjat pokok kelapa untuk mendapatkan air nira


Bapa kepada 12 orang anak itu berkata dia memperolehi pendapatan sekitar RM70 hingga RM100 dalam sehari, manakala pada musim tengkujuh dia tidak melakukan pekerjaan itu.

Ditanya kenapa, dia tidak memakai baju ketika memanjat untuk mengambil air nira, Puteh berkata, dengan berbuat demikian dia lebih mudah membuang serangga yang berada pada tubuhnya.

“Bagi mengelakkan air nira itu cepat masam, beliau meletakkan 'laru' iaitu sejenis kayu yang dipotong kecil ke dalam bekas (tukir) air nira,” katanya. - KitaReporters


Putih sedang memanjat pokok kelapa untuk mendapatkan air nira

49
6
5
4
4

Copy Link: