Peribahasa "bulat Air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" mengilhamkan rakan-rakan gabungan dari Badan Bukan Kerajaan (NGO), penceramah bebas, guru, pensyarah, pengusaha pasar raya, swasta dan orang perseorangan mengumpulkan barang keperluan harian dan menawarkan peluang melanjutkan pengajian untuk masyarakat Orang Asli di Pos Betau, Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini. : KitaReporters

Penceramah dan kaunselor bebas Stan Agilan Emmanual (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk.


Lagi cerita-cerita berkaitan Orang Asli:

https://kitareporters.com/search?search=orang+asli


Penceramah dan kaunselor bebas, Stan Agilan Emmanual, 42, berkata, program bersama masyarakat Orang Asli ini adalah antara program kemasyarakatan yang menjadi aktiviti tahunan mereka.

‘Kami sentiasa mendapat barangan keperluan harian hasil sumbangan daripada rakan-rakan terutama guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 (SMKPBP1), Familia Fresh Market, Flo’s Cookies & Fresh Pastries, Public Mutual, pensyarah Sunway Group of Education, Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Castlefield Puchong (SJKCP), Ramsay Sime Darby Healthcare College dan Yayasan Sime Darby,’ katanya ketika dihubungi.

Rumah penduduk Orang Asli di Pos Betau, Sungai Koyan di Kuala Lipis.


Beliau menambah mereka sentiasa mendapatkan data mengenai masyarakat yang memerlukan bantuan dan sumbangan untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Contohnya, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Mac 2020 lalu sehingga sekarang mereka sentiasa menggerakan tabung dan pengumpulan barangan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Antara barangan keperluan dapur yang disampaikan kepada penduduk.


Stan menambah di Pos Betau ini mereka mengagihkan barangan keperluan harian antaranya beras, susu, minyak, gula, tepung, lampin pakai buang kanak-kanak serta orang dewasa, alat tulis dan kerusi roda.

Manakala pihak Ramsay Sime Darby Healthcare College dan Yayasan Sime Darby pula menawarkan peluang pengajian dan bantuan biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di situ.

"Ketibaan kami diterima baik oleh masyarakat di situ dan kesemua rakan yang turut serta juga bercadang untuk memperluaskan sumbangan dan bantuan ini ke kawasan lain pada Disember ini," ujarnya lagi.

Stan (kiri) beri panduan untuk mengisi borang kemasukan pengajian di bawah Yayasan Sime Darby.


Dalam pada itu, pengusaha Familia Fresh Market, Devadass Vengoi, 44, yang dihubungi pula berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan keperluan masyarakat oleh itu tidak menjadi masalah baginya untuk berkongsi keuntungan hasil jualannya dengan membantu mereka yang memerlukan.

"Saya amat memahami dengan kesusahan masyarakat terutama untuk mendapatkan barang keperluan harian bagi mereka yang tinggal di pedalaman seperti penduduk di Pos Betau ini," ujarnya lagi. - KitaReporters

Devadass Vengoi menyampaikan sumbangan keperluan dapur.

6
2
0
0
0

Copy Link: