Tolong kami! Bantu Pok Him dapat rumah baharu ganti bangsal! Terima kasih ADUN Kuala Besut!
Published byBeginilah keadaan bangsal buruk yang didiami Pok Him di Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu
“SEDIH dan sayu apabila saya melihat keadaan tempat tinggal seorang warga emas yang terpaksa menumpang di sebuah bangsal buruk sejak beberapa tahun yang lalu kerana tidak ada rumah kediaman,” kata seorang penduduk Hashiri Abdul Karim.
Berahim Mahmud, 87, dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu, tinggal sebatang kara dalam sebuah bangsal yang daif dan uzur.
Lagi cerita-cerita menyayat hati berkaitan Tolong Kami
Berahim Mahmud
Hashiri yang mewakili penduduk kampung itu membawa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, untuk melihat sendiri kehidupan warga emas terbabit.
Berahim atau lebih dikenali dengan panggilan Pok Him, dikatakan mempunyai lima orang anak yang tinggal berjauhan tetapi sudah lama tidak bertanya khabar mengenai nasib bapa mereka.
Pok Him yang kini mengalami sakit batu karang bagaimanapun tidak dapat berkomunikasi dengan baik kerana menghadapi masalah pendengaran.
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Berahim
Hashiri, yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Gertak Seratus, berkata, beliau menjemput Tengku Zaihan melihat sendiri masalah yang dialami warga emas terbabit bertujuan untuk mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi warga emas berkenaan.
"Alhamdulillah, Tengku Zaihan amat prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Pok Him dan akan membantu menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Katanya, Pok Him satu ketika dahulu pernah bekerja sebagai pengayuh beca tetapi terpaksa meninggalkan pekerjaan itu kerana sudah lanjut usia.
Bagaimanapun, beliau dapat menyara hidup dengan adanya bantuan bulanan RMK300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
“Saya mewakili warga Kampung Gertak Seratus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tengku Zaihan kerana prihatin dan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah dihadapi Pok Him,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zaihan berkata, pihaknya akan berunding dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mendapatkan sebuah rumah bagi menempatkan Pok Him.
“Insya-allah dalam masa terdekat warga emas terbabit akan diberikan rumah yang akan disewa oleh MAIDAM,” katanya. - KitaReporters
Tengku Zaihan (baju merah) bersama Hashiri (kiri) ketika berkunjung untuk melihat keadaan bangsal buru dan uzur yang menjadi tempat tinggal Berahim