IBU BAPA yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) pasti mendepani pelbagai cabaran dan ujian dari segi mental mahupun fizikal. Mereka akan sentiasa berfikir pelbagai kaedah yang mampu memberi kegembiraan pada anak syurga masing-masing. Terkadang sesuatu yang dilakukan menerbitkan rasa kagum atas kemampuan luar biasa kanak-kanak itu. : KitaReporters
Peserta Kayuhan Puncak Anak Syurga termasuk anak istimewa menunggu ketibaan Nor Wadihan kira-kira 500 meter daripada Menara Jam Bukit Fraser
Lagi cerita-cerita berkaitan anak-anak:
https://kitareporters.com/search?search=kanak-kanak
Ibu bapa yang memiliki anak kurang upaya diibaratkan sebagai anggota tentera yang pergi berperang. Perjuangan mereka (kedua-dua golongan ini) tidak akan pernah habis sehingga nafas terhenti.
Nyawa dan badan rela kukorbankan untukmu duhai anak!!
Mohd Fadli Samad
Pengurus kelab berbasikal
Bikeisable Kuala Lumpur,
Mohd Fadli Samad, berkata cabaran bermula sebaik kanak-kanak didiagnosis dengan penyakit yang dikesan.
"Kami adalah anggota kedua kepada anak-anak. Mereka tidak mampu melakukan apa-apa. Renungan mata mereka sudah cukup membuat kami meleleh airmata. Kami perlu lakukan sesuatu untuk mereka. Selain itu, kami sendiri perlu perbaiki emosi diri dalam menangani anak syurga kami," katanya.
Mohd Fadli yang juga seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata pelbagai aktiviti diadakan sebagai terapi untuk kanak-kanak istimewa itu.
"Sejak beberapa tahun lalu, kami adakan program berbasikal dan berkuda sebagai terapi untuk merangsang minda dan gerakan anggota badan mereka," katanya ketika ditemui pada Program Kayuhan Puncak Anak Syurga sempena 100 tahun Bukit Fraser.
Majlis pelepasan peserta di Sungai Chiling
Program yang disertai hampir
70 peserta termasuk
10 anak istimewa itu bermula di kawasan parkir Sungai Chiling, Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor itu disertai anak-anak kurang upaya (OKU) dari Kelab Bikeisable yang bernaung di bawah
Persatuan Malaysian Advocates For Cerebral Palsy (MyCP)
Konvoi anak OKU itu diketuai seorang kanak-kanak penghidap Palsi Serebrum (Cerebral Palsy atau CP) terlantar, Nor Wadihan Wira Sudepja, 12, yang dibawa oleh bapanya dengan berkayuh dari tapak permulaan sehingga ke Bukit Fraser.
Nor Wadihan adalah pemegang Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali menerusi penyertaan Sukan Lasak Duathlon di Bagan Serai, Perak pada Ogos 2018 dan kembara berbasikal merentas sempadan ke Thailand pada Januari tahun ini.
Mohd Fadli berkata, penganjuran program kayuhan itu mencatat sejarah tersendiri bagi anak-anak istimewa itu yang baru pertama kali menyertai kayuhan ke Bukit Fraser.
Peserta Kayuhan Puncak Anak Syurga termasuk anak istimewa bergambar kenangan di 'Clock Tower' sebaik tiba di Bukit Fraser.
"Kami tidak berkayuh sepanjang perjalanan kerana ia mengambil masa lama dan boleh membuatkan anak-anak ini tidak selesa. Kami menunggu Dihan kira-kira 500 meter menunju ke '
Clock Tower'.
"Hanya adik Dihan sahaja yang dibawa bapanya menggunakan 'basikal roda istimewa' sepanjang kayuhan dari Sungai Chiling sehingga tamat dengan diiringi beberapa ahli Bikeisable," katanya.
Nor Wadihan Wira Sudepja
Dalam pada itu, Mohd Fadli berkata MyCP dan juga Bikeisable sentiasa berusaha untuk mengenal pasti ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini dari semasa ke semasa.
"Kami tidak mahu ada kalangan ibu bapa masih 'menyimpan' anak mereka di rumah tanpa pendedahan kepada dunia luar. Anak-anak ini perlu diberi peluang sama rata menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal. Bezanya mereka tidak mampu melakukannya sendirian," katanya yang juga memiliki anak istimewa, Mohammad Emir Rizqi berusia empat tahun.
Pengurus kelab berbasikal Bikeisable Kuala Lumpur, Mohd Fadli Samad bersama isteri, Wani Mastura Hashim dan anak tunggal mereka, Mohammad Emir Rizqi.
Sementara itu,
Wira Sudepja Rabu yang juga Presiden Kelab Bikeisable berkata, sudah menjadi rutin, ahli kelab menyertai program berbasikal di
Putrajaya setiap hujung minggu bagi memberi peluang anak istimewa mereka berkumpul di tempat umum.
"Mereka juga seperti kanak-kanak lain yang perlukan kawan, bermain dan bermesra sesama mereka tetapi tidak mampu untuk lakukannya. Justeru, kami sebagai ibu bapa akan membantu dengan sebaik mungkin iaitu dengan membawa mereka keluar bersiar-siar untuk merangsang minda mereka," katanya.
Norhazim Izzat Md Azman dari Kelang bersama anaknya yang juga pesakit Sindrom Down, Alisya Humairah berusia empat tahun.
Nia Naqisha Nazrin Mohd Nazrin, 5, bersama ibunya, Siti Hajar Abdullah.
Selain itu katanya, Bikeisable juga akan mengadakan sesi perbincangan antara ahli-ahli bagaimana untuk mengadakan aktiviti yang mampu memberi keceriaan pada anak-anak berkenaan.
Bukan mudah tetapi tidak mustahil!!
Wira Sudepja Rabu bersama anaknya Nur Wadihan berjaya menamatkan kayuhan bermula dari Sungai Chiling ke Bukit Fraser sejauh 27 kilometer dalam tempoh lima jam.
Sementara itu kata Wira Sudepja Rabu, dia mengambil masa hampir lima jam berkayuh dengan jarak keseluruhan sejauh
27 kilometer.
"Bukan satu perkara mudah berkayuh bersama anak istimewa ini kerana saya perlukan masa untuk berehat dan memastikan Dihan tiada masalah sepanjang kayuhan.
"Biasanya saya lakukan kayuhan mendatar tapi kali ini perlu mendaki bukit dan ia adalah satu cabaran besar dan memerlukan tenaga luar biasa untuk tamatkan kayuhan," katanya.
Bagi
pasangan suami isteri, Shahriman Nordin, 45, dan Zainon Nordin, 45, aktiviti berbasikal bersama anak-anak sudah menjadi amalan bagi mereka setiap hujung minggu.
"Anak istimewa kami, Siti Uzma Qaisara yang berusia 10 tahun, sukakan aktiviti ini dan saya gembira kerana dia kini sudah boleh bergaul dengan rakan sebaya.
"Anak saya adalah pesakit 'Digeorge Syndrome' berkaitan kecacatan kromosom dan aktiviti ini adalah sebagai sebahagian daripada terapi untuknya mengenali dunia luar," kata Zainon.
Walaupun bapa yang berkayuh anak istimewa ini setia sebagai 'penumpangnya'.
Mungkin Allah hadirkan insan istimewa ini dalam keluarga adalah untuk melihat sejauh mana kita sebagai ibu bapa berdepan dengan ujian dan dugaan daripada Allah Taala.
Tahniah dan syabas untuk semua peserta terutama anak-anak syurga ini. - KitaReporters