Beberapa komuniti datang mengambil juadah berbuka di dewan KRT.


PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara memberi kesan mendalam kepada masyarakat, bagaimanapun bagi sesetengah pihak melahirkan rasa bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terkesan dengan musibah itu.

Walaupun sumbangan itu tidak seberapa tetapi mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk  berkongsi rezeki dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada keluarga yang mungkin tidak mampu berbelanja di bazar Ramadan. 


Lagi cerita-cerita menarik KRT Suadamai Bandar Tun Hussein Onn

Dr Abdul Rahim Mohamed (dua dari kiri) menunjukkan gulai daging yang dimasak oleh ahli KRT.


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, Profesor Dato Dr Abdul Rahim Mohamed, berkata menyedari situasi berkenaan KRT itu meneruskan inisiatif mengagihkan juadah untuk berbuka.

Menurutnya, usaha itu mendapatkan pujian banyak pihak khusus komuniti menetap di zon Suadamai kerana dapat meringankan bebanan keluarga yang terkesan termasuk hilang sumber pendapatan selepas mengambil langkah sama dilaksanakan tahun 2020.

Katanya, KRT bercadang menyediakan juadah berbuka itu setiap minggu dengan mempelbagaikan menu khusus lebih kepada masakan tradisional yang diharap dapat membuka selera kepada ahli keluarga di komuniti Suadamai.


Shaharuddin Abdul Latif (kanan) turut hadir untuk melihat agihan juadah berbuka dilakukan.


“Jika mereka yang datang mengambil juadah ini berasakan perlu mendapatkan lebih sedikit memandangkan bilangan ahli keluarga ramai, boleh memaklumkan kepada urus setia bertugas keadaan itu. 

“KRT mahukan ahli keluarga komuniti melahirkan rasa bersyukur dan gembira menikmati juadah ini apabila berbuka puasa dan meredakan rasa sedih kerana kekangan pandemik Covid-19,” katanya yang hadir pada majlis mengagihkan juadah berkenaan di dewan KRT pada Sabtu 17 April lalu.

Turut hadir pada majlis agihan 120 bungkus gulai daging untuk juadah berbuka itu, Timbalan Pengerusi KRT berkenaan, Datuk Shaharuddin Abdul Latif; Setiausaha KRT, Che Nordin Ismail; Penolong Setiausaha KRT, Rozyta Wahid; dan Ahli Jawatankuasa KRT, Rohaimi Zainol.


Dr Abdul Rahim (kiri) menyampaikan juadah berbuka kepada seorang komuniti.


Che Nordin berkata, juadah berbuka itu dimasak sendiri ahli KRT, manakala bahan mentah dibeli daripada hasil sumbangan derma komuniti Suadamai, penduduk dari penempatan berhampiran serta dermawan yang sentiasa menyokong usaha KRT.

Menurutnya, walaupun tidak seberapa kita berharap juadah itu dapat membuka selera keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 disamping memberi nilai bermakna dalam usaha KRT merapatkan hubungan silaturahim dan kejiranan.


Rohaimi (kiri) dan Rozyta melayan komuniti datang mengambil juadah berbuka.


Katanya, dengan sumbangan derma yang diterima itu, KRT akan berusaha menyediakan juadah berbuka setiap minggu untuk diagihkan kepada komuniti di samping untuk keluarga asnaf yang tinggal berdekatan. 

“Dengan sumbangan juadah ini, KRT berharap sekurang-kurangnya dapat meredakan hati dan menghilangkan keresahan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk mendapatkan lauk berbuka puasa bersama keluarga,” kata Che Nordin. 


Dermawan, Datuk Seri Voo Ming Fatt (kanan) turut hadir melihat juadah berbuka yang diagihkan kepada komuniti.

21
2
0
0
0

Copy Link: