Bakul Makanan di bawah Program Peduli PKP untuk keluarga terjejas semasa PKP 2.0 untuk fasa pertama disiapkan oleh team Pusat Khidmat Masyarakat Seri Serdang untuk diagihkan. - Kredit Foto: FB Dr Mariah Mahmod, Lembaga Zakat Selangor,Yayasan Islam Darul Ehsan dan Polis Selangor.


LEBIH ramai penduduk terutama mereka daripada golongan B40 dijangka terpaksa mengharapkan bantuan keperluan asas dalam usaha mereka meneruskan kehidupan harian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hingga 4 Februari 2020. 

Ia berikutan langkah kerajaan untuk melakukan kawalan lebih ketat dan berkesan terhadap penularan pandemik COVID-19 yang semakin serius serta membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Sekalipun semasa PKP 2.0 kali ini kelonggaran bagi kegiatan ekonomi diberikan, namun mereka yang tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan kerja, golongan bekerja sendiri dan para peniaga terutama peniaga kecil yang terjejas kerana menghadapi masalah kemerosotan serius pendapatan kini terpaksa menghadapi era kehidupan mendesak. 

Namun bagi mereka bekerja makan gaji keadaan ini kurang dirasai.


Lagi kisah-kisah berkaitan PKP 2.0:

https://kitareporters.com/search?search=pkp+2.0



Info grafik mengenai sumbangan Peduli PKP DUN Seri Serdang untuk keluarga terjejas semasa PKP 2.0. untuk fasa pertama.


Di Selangor beberapa badan NGO, agensi-agensi  kerajaan negeri dan syarikat perniagaan atau korporat yang prihatin membantu golongan memerlukan selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus mengatur strategi menyusun program menyalurkan sumbangan bantuan bagi meringankan beban yang mereka tanggung.

Bagi Team Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang melakukan persediaan awal menyediakan bakul bantuan makanan bagi mereka yang terputus bekalan barangan asas pada PKP 2.0. Untuk permulaan 200 pek barangan untuk program bakul makan disediakan bagi keluarga yang layak.

Bantuan di bawah Selangor Peduli PKP 2.0 DUN Seri Serdang boleh dimohon melalui online dan disalurkan melalui dua PKM DUN berkenaan iaitu PKM Taman Puchong Utama dan PKM Taman Seri Serdang.

Keluarga yang layak memohon mestilah warga DUN Seri Serdang, golongan B40, tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana agensi termasuk Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Pertanyaan bagi permohonan bantuan boleh dibuat melalui Mas (017-6891525, Islah (013-2496490), Moli di PKM Puchong Utama (018-258317 dan Leezam (012-9206545) di PKM Taman Seri Serdang. 

Pasangan warga emas bersama dua cucu, yang baharu pindah di Kampung Tengah, Puchong terjejas bekalan makanan semasa PKP 2.0 kerana anak ,menantu dan cucu menerima rawatan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, dibantu oleh penduduk kampung serta Lembaga Zakat Selangor.


Dalam pada itu, agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) termasuk antaranya Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut aktif menyumbangkan bantuan semasa PKP 2.0 kepada mereka yang memerlukan.

Untuk itu, pada Ahad 17 Januari 2021 lalu, pasangan warga emas  yang baharu berpindah yang terputus bekalan makanan serta kehabisan wang disebabkan anak dan menantu serta seorang cucu yang disahkan positif COVID-19 dan terpaksa menjalani rawatan di Hospital Sungai Buluh, telah dikunjungi LZS dan dalam proses menyalurkan bantuan.

Pasangan tersebut yang baharu berpindah ke Kampung Tengah, Puchong terpaksa dikuarintin di rumah bersama dua orang cucu sementara menunggu keputusan saringan COVID-19.

Semasa kunjungan tersebut mereka diberikan sumbangan bantuan melalui inisiatif Ketua Penolong Amil Kariah Masjid dan Biro Kebajikan Masjid Nurul Iman kampung berkenaan.

Di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pihak LZS menemui sebuah keluarga yang menghadapi masalah tidak bekerja kerana PKPK 2.0 hingga terpaksa menggunakan plastik dijadikan lampin anak kecil.

Sumbangan bantuan kecemasan RM500 disampaikan kepada keluarga berkenaan yang tinggal di rumah atas ihsan bekas majikan suaminya sejak sebulan setengah lalu, di samping menerima berbagai bantuan penduduk.

Penyampaian tersebut diadakan pada Rabu 20 januari 2021 turut disertai bekas majikan keluarga berkenaan yang membantu menyalurkan maklumat bagi tujuan proses bantuan LZS selanjutnya.


Keluarga yang terjejas semasa PKP 2.0 kerana tidak bekerja hingga terpaksa menggunakan plastik untuk jadikan lampin anak di Kampung Bukit Belimbing,Kuala Selangor turut dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor.


Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) pula menerima sumbangan 150 kotak kurma dari Pejabat Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk agihkan kepada 17 buah Rumah Anak Yatim di bawah seliaan YIDE di seluruh Selangor berikutan PKP 2.0. sebagai hubungan persaudaraan dan keprihatinan khususnya terhadap anak-anak yatim. 

Pihak YIDE mengucapkan sekalung penghargaan dan berterima kasih atas sumbangan yang berlangsung pada Khamis 21 Januari 2021 itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah terbaik untuk orang ramai membantu kerajaan melandaikan keluk penularan COVID-19 ialah dengan kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting kerana kes jangkitan di negeri ini 80 peratus melibatkan indidivu tidak bergejala dan semua orang perlu waspada.

Di samping itu, katanya, orang ramai juga perlu menjaga kesihatan secara kendiri selain mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berada di rumah seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.


Anak-anak salah sebuah Rumah Anak Yatim dibawah seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan gembira menerima kurma sumbangan Kedutaan Emeriah Arab Bersatu semasa PKP 2.0


Sejak PKP 2.0, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor meningkatkan rondaan bagi memestikan orang ramai terus mematuhi setiap SOP semasa berada di luar kediaman seperti di tempat awam termasuk pusat beli belah, restoran, pasar dan semua jenis premis perniagaan termasuk melakukan pemeriksaan peralatan imbas suhu badan dan catatan senarai nombor telefon pelanggan dan sebagainya.

Menjadi tanggungjawab setiap orang untuk sama-sama meleraikan masalah peningkatan COVID-19 semakin mencemaskan melebihi empat angka dengan jumlah kes harian tertinggi dicatatkan 5,725 indidivu pada 29 Januari 2021 lalu.KitaReporters 


Dua anggota Polis Kontinjen Selangor meneliti senarai nombor telefon pelanggan sebuah premis perniagaan yang menjual pakaian di Shah Alam Selangor.


Pusat beli belah utama di Puchong, Selangor juga turut dikunjungi pihak polis bagi memestikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha mencegah penularan COVID-19.


Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya berhampiran Bandar Putra Permai, Seri Kembangan supaya pengguna jalan raya mematuhi peraturan rentas daerah semasa PKP 2.0.

0
0
0
0
0

Copy Link: