Kredit foto-foto: Roslan Abu Kasim
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula 18 Mac 2020 dan ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020 berikutan ancaman COVID-19 secara tidak langsung telah menutup periuk nasi mereka yang terbabit secara langsung dalam industri pelancongan negara. Manakan tidak!!
Semua aktiviti yang berkait rapat dengan industri itu terpaksa dihentikan serta merta. Macam mana nak cari duit lagi untuk sara keluarga!
Sektor ini antara yang paling terjejas teruk di seluruh negara.
Income hotel jatuh merudum malah telah kedengaran ada pengusaha hotel, resort dan rumah rehat terpaksa menutup operasi mereka berikutan ketiadaan tetamu datang menginap.
Mereka menanggung sejumlah kerugian yang agak tinggi. Pelancong tak masuk mana nak jana pendapatan. Semua aktiviti tak jalan!
Keadaan sama turut menimpa resort, pengusaha bot dan pemandu pelancong di Taman Negara, Jerantut, Pahang apabila terpaksa menghentikan semua aktiviti mereka berikutan arahan dikeluarkan kerajaan.
Mereka patuh walaupun itu bermakna mata pencarian mereka terputus.
Bagaimanapun, dalam kekalutan itu, kerajaan negeri Pahang telah menyalurkan pelbagai bantuan kewangan dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.
Sam McCann John (atas kiri) ketika berada di Taman Negara pada 1994
Malah nasib mereka terus terbela apabila ada
insan yang sanggup membantu walaupun berada jauh
berpuluh-puluh ribu batu. Hikmah di sebalik kemunculan pandemik ini ialah pertemuan maya antara dua rakan yang terpisah lebih 25 tahun apabila seorang wanita dari United Kingdom ini terbaca mengenai luahan rakannya di Malaysia menerusi media sosial Facebook mengenai virus COVID-19.
Jejak kasih pun bermula.
Wajah terbaru Sam McCann John
Sam McCann John dari
Alysham, Norfolk, United Kingdom menghubungi rakannya,
Roslan Abu Kasim yang tinggal di Kuala Tahan, Jerantut untuk bertanya khabar mengenai keadaan di Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19 dan melahirkan hasratnya untuk menyalurkan bantuan kewangan.
"Selepas terputus hubungan hampir 26 tahun dia menjejak saya di Facebook semata-mata untuk bertanya khabar dan membuat sumbangan untuk bantu kami," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Kerana wabak yang mengganas mereka dipertemukan dalam alam maya.
"Sejumlah £400 sudah diberikan kepada saya sebagai wakil dia untuk membeli barangan keperluan makanan asas untuk golongan terjejas dan berbaki £250 untuk beli barang keperluan bagi membantu masyarakat Orang Asli Bateq di Taman Negara pula.
"Jumlah keseluruhan £650 (RM3,300). Kutipan sumbangan masih lagi berjalan di sana," katanya yang menerima dana secara berperingkat-peringkat bermula14 Mei 2020.
Roslan yang memiliki kerjaya sebagai pemandu pelancong alam semula jadi, berkata hampir 40 keluarga terdiri daripada pengusaha bot dan pemandu pelancong yang kehilangan mata pencarian kerana Taman Negara ditutup menerima bantuan barangan keperluan asas berkenaan.
Dalam satu hantaran dalam akaun facebok miliknya, Roslan menulis:"Setelah hampir 26 thn terputus hubungan.. kami di temukan semula pada 3 bln yg lalu...dan apa yg menariknya adalah kami masing masing berusaha utk di temukan semula alhamdulillah akhirnya bertemu juga..dgn pertemuan ini la yg membuat kan beliau berusaha utk membantu dan menyumbang bantuan makanan kepada org kg terutama nya kawan kawan guide dan botman yg terkesan di sebab kan kehilangan punca pendapatan dlm ekopelancungan di taman negara pahang".
Roslan berkata, dia dan pengusaha bot serta rakan pemandu pelancong juga penduduk kampung amat berterima kasih kepada Sam kerana bersusah payah mengumpul dana untuk membantu mereka yang terjejas kerana penularan wabak pandemik itu.
"Alhamdulilah saya betul-betul bersyukur kerana dia nak membantu.
"Kedua-dua ibu bapanya turut berganding bahu mencari dana daripada rakan-rakan mereka \di sana untuk disalurkan kepada kami," katanya.
Ibu dan bapa Sam antara individu paling penting dalam usaha mencari dana untuk disalurkan kepada operator bot dan pemandu pelancong Taman Negara
Sam bersama rombongan pelajar ketika mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Tahan di Taman Negara pada 1994
Sam dan rakannya Carole Matthews pertama kali datang ke Taman Negara pada 1994 bersama sekumpulan pelajar untuk aktiviti mendaki Gunung Tahan.
Golongan ini antara yang terjejas kerana COVID-19.
Hikmah di sebalik wabak yang menyerang dunia ini ialah pertemuan semula dua sahabat yang terpisah jauh dan gara-gara jejak kasih itu, mereka sama-sama membantu.
Seorang salur wang bagi membolehkan yang seorang lagi membeli dan serahkan barang keperluan untuk yang memerlukan.