Video| Menitis air mata dilawati cucu dan cicit! Warga emas sayu disantuni kanak-kanak taska, tadika!
Published byTERUSIK jiwa halus kurniaan Allah SWT sebanyak 47 warga emas apabila kerinduan kepada anak, cucu atau cicit terubat dengan linangan air mata apabila disantuni 15 kanak-kanak dari Taska Asuhan Bonda, Alam Sari, Bangi dan Tadika Asuhan Bonda, Ecohill, Semenyih, Kajang, Selangor.
Kunjungan kanak-kanak yang berumur antara satu dan enam
tahun itu adalah di bawah program Raya Bersama Asuhan Bonda dan Pusat Jagaan
Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 18 Mei 2024.
Pengusahanya, Sharina Abu Bakar, berkata objektif utama program berkenaan adalah untuk berkongsi kegembiraan bersama warga emas di pusat itu yang rata-rata sudah berumur serta uzur dan sekian lama berpisah dengan ahli keluarga atau sanak-saudara kerana disisih serta hidup sebatang kara.
Guru, kanak-kanak dan ibu bapa meraikan sambutan hari lahir beberapa warga emas di PJMM.
Menurutnya, dengan membawa kanak-kanak itu yang turut
diiringi ibu bapa masing-masing, ia mengheningkan suasana kerana sebahagian warga
emas terbabit ada memiliki anak, cucu atau cicit bagaimanapun mereka tidak
pernah datang melawat.
Tambahnya, keadaan itu sudah pasti dapat mengubati kerinduan
warga emas terbabit kepada ahli keluarga walaupun sambutan Aidfilfitri sudah
lama berlalu namun bahan kegembiraan masih terasa dalam menyantuni penghuni di
PJMM.
“Penyertaan ibu bapa dalam program ini sebagai satu motivasi juga memberi peluang kepada mereka menyantuni warga emas bersama anak masing-masing dalam memberi didikan kearah membentuk akhlak yang mulia,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Azman Rasman memberi taklimat sejarah penubuhan PJMM kepada guru, ibu bapa dan kanak-kanak Taska dan Tadika Asuhan Bonda.
Bagi memeriahkan program berkenaan selain diadakan jamuan
makan, turut berlangsung sambutan hari lahir penghuni terbabit sempena sambutan
Hari Ibu dan suasana pilu seketika apabila kanak-kanak itu menyuapkan potongan
kek kepada setiap warga emas yang diibaratkan ‘atuk atau nenek’ mereka.
Program itu bertambah meriah apabila beberapa kanak-kanak
membuat persembahan nyanyian sambil bermesra dengan warga emas berkenaan
sebelum diadakan penyampaian sumbangan kepada pusat jagaan berkenaan yang
diterima oleh Pengerusi PJMM, Azman Rasman.
Sharina berkata, sumbangan kepada PJMM itu adalah hasil pengumpulan dana yang dilaksanakan beberapa bulan sebelum itu dengan mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak khususnya ibu bapa.
Kanak-kanak Taska Asuhan Bonda, Alam Sari, Bangi dan Tadika Asuhan Bonda, Ecohill, Semenyih, Kajang, Selangor menghiburkan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) pada 18 Mei 2024. - Kredit foto: Suhaimi KG Mahmudah.
Menurutnya, pengumpulan dana itu adalah sebahagian aktiviti
komuniti pusat asuhan dalam membantu PJMM menampung kos operasi yang amat
berharap kepada sumbangan atau infak daripada pelbagai pihak supaya dapat terus
menyantuni warga emas dengan sempurna.
Jelas beliau, ibu bapa kanak-kanak turut melahirkan perasaan
gembira dapat menyertai program seperti itu dan ramai daripada mereka tersentuh
hati serta berasa terharu apabila mendengar taklimat ringkas daripada Azman
mengenai sejarah penubuhan PJMM dan juga kisah sedih warga emas yang berlindung
di situ.
“Ada antara mereka tidak dapat menahan titisan air mata apabila mengetahui sesetengah warga emas ini dibuang oleh ahli keluarga kerana uzur serta menghidap pelbagai penyakit selepas dibenarkan keluar dari wad hospital, terbiar menjadi gelandangan, hidup sebatang kara dan orang kelainan upaya (OKU).
“Ibu bapa yang hadir juga berharap program ini menjadi contoh kepada pelbagai pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan aktiviti di PJMM sambil mengumpul dana untuk disumbangkan,” ujarnya.
Guru dengan dibantu oleh ibu bapa menyiapkan jamuan makan tengah hari untuk warga emas, kanak-kanak dan petugas di PJMM.
Sementara itu, Azman berkata, sebelum itu ada beberapa
kumpulan mengadakan aktiviti sempena sambutan Aidilfitri di pusat berkenaan
sememangnya mengamitkan kenangan dan ingatan sedih warga emas terbabit kepada
ahli keluarga terutama mereka yang mendakwa memiliki anak, cucu atau cicit.
“Mereka sudah bertahun-tahun menyambut Aidilfitri bersama
rakan-rakan senasib di pusat ini dan paling saya berasa terharu sebilangan sanak
saudara termasuk anak atau cucu warga emas berkenaan dapat dihubungi dan
dijemput untuk datang bagi meraikan bersama hari raya tetapi mereka diam seribu bahasa.
“Seolah-olah tiada perasaan langsung mereka terhadap bapa, ibu atau datuk dan nenek mereka yang berlindung di sini sedangkan ada warga emas ini sentiasa memandang ke arah pintu pagar utama pusat jagaan sepanjang hari raya kerana beranggapan ada yang akan datang menjenguk,” ujarnya. - KitaReporters
Guru, ibu bapa dan kanak-kanak yang menyantuni warga emas uzur terlantar di atas katil mendengar penerangan daripada Azman.