Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RHMC) Malaysia meraikan satu lagi pencapaian bermakna pada Kejohanan Golf Amal RHMC Ke-30 pada 21 September 2023, setelah berjaya meraih RM500,000 bagi menyokong kanak-kanak yang kurang berkemampuan di seluruh Malaysia.

Kejohanan Golf Amal RHMC 2023 yang berlangsung di Tropicana Golf and Country Resort, bertujuan meraih dana untuk program Pek Kembali Ke Sekolah RMHC. 

Inisiatif ini didedikasikan untuk menyumbangkan beg sekolah kepada 10,000 kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara. 

Beg tersebut mengandungi pakaian seragam dan kasut sekolah, serta keperluan sekolah yang lain, bagi membolehkan mereka memulakan tahun persekolahan baharu dengan penuh keyakinan.



“Kejohanan Golf Amal tahunan ini sentiasa menjadi asas kepada komitmen teguh kami untuk menjana impak yang mendalam dan berkekalan dalam kehidupan kanak-kanak kurang berkemampuan. 

"Kami sungguh teruja dan terharu untuk menyaksikan pencapaian penting ini direalisasikan. 

"Ia menekankan dedikasi kami terhadap tujuan murni tersebut, dan mengukuhkan keazaman kami bagi meneruskan misi kami untuk mewujudkan masa depan yang lebih cerah dan positif buat komuniti belia di Malaysia,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RHMC Malaysia, merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Sejak tahun 2017, RMHC telah memperuntuk hampir RM10 juta untuk program Pek Kembali Ke Sekolah, sekali gus memberi impak positif kepada kehidupan hampir 160,000 kanak-kanak di seluruh negara. 

Inisiatif ini merupakan antara empat program utama disokong oleh RMHC Malaysia, yang merangkumi tiga teras utama, iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan.

Selain menyokong pendidikan, RMHC Malaysia kekal komited untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang kurang berkemampuan. 



Pada majlis Kejohanan Golf Amal, RMHC Malaysia juga menyampaikan geran perubatan berjumlah lebih RM280,000 kepada lima tabung kebajikan hospital yang terpilih, termasuk Yayasan IJN, Tabung Pesakit Hospital USM, Tabung Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, Tabung Pesakit Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, dan PPUMCare, Pusat Perubatan UM.  

“Penyampaian geran perubatan pada Kejohanan Golf Amal menonjolkan komitmen kami untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang kurang berkemampuan di Malaysia. 

"Kami berbangga kerana dapat menyumbangkan lebih RM750,000 geran perubatan sejak tahun 2018, dan tersentuh hati menyaksikan impak positif terhadap kehidupan lebih 200 kanak-kanak yang memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan dan peralatan perubatan, serta ubat-ubatan. 

"Ia mengukuhkan kepercayaan kami terhadap kuasa usaha kolektif untuk membawa perubahan positif kepada komuniti kita,” tambah Azmir. 

RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

7
15
0
17
0

Copy Link: