Antara warga emas yang tersisih dan tanpa waris meneruskan kelangsungan hidup di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


PROGRAM Stereng Kasih menjadi taruhan terkini Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor dalam usaha mengumpul dana membantu operasi pusat berkenaan di samping untuk memaparkan kisah benar penghuni PJMM yang ditubuhkan lebih tujuh tahun lalu.

Bagi menyempurnakan tujuan itu PJM Production ditubuhkan untuk bekerjasama dengan Team Creative Vibes sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). 

Stereng Kasih merupakan rancangan bual bicara berdurasi 10 minit (prarakam) yang akan menggunakan saluran YouTube dan dijangka dilancarkan pada 4 Ogos 2023.


Team Creative Vibes bersiap sedia untuk memulakan pengambaran Program Stereng Kasih. 


Untuk permulaan program itu, enam penghuni PJMM akan menceritakan pahit getir mengenai sejarah kehidupan mereka sebelum berkelana dan menjadi penghuni pusat berkenaan yang kemudian akan dikongsi kepada penonton, sebagai promo rakaman video itu selama satu minit akan disiarkan dalam TikTok PJM yang kini mempunyai 67.7 ribu pengikut.

Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata idea mengadakan program itu adalah untuk berkongsi pengajaran teladan yang terdapat dalam kisah hidup penghuni warga emas terdampar di PJMM akibat disisih oleh keluarga, anak dan waris selain hidup sebatang kara.

Menurutnya, dengan cara itu juga memberi peluang kepada warga emas terbabit menghilangkan tekanan atau stres dengan meluahkan isi hati terbuku sekian lama yang mungkin dapat membuka mata masyarakat mengenai peranan untuk menghulurkan bantuan selain inisiatif PJMM membantu negara menjaga mereka berkenaan.

Tambahnya, apabila disiarkan nanti mungkin juga dapat menghebahkan kepada umum mengenai warga emas itu berada dengan selamat serta terjaga dengan baik di PJMM dan juga tidak mustahil akan berlaku ‘ jejak kasih’ untuk menemukan semula mereka dengan waris yang masih hidup atau sebagainya.


Muhammad Syafiq Mohiadin (dua dari kiri) dan Pengerusi PJMM, Azman Rasman memberi penerangan kepada warga emas sebelum memulakan pengambaran Program Stereng Kasih sambil diperhatikan oleh Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado (kanan).


“Sebagai pusat jagaan yang beroperasi dengan bantuan ehsan orang ramai dan pelbagai pihak termasuk tidak mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas berlindung di sini tetap komited dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk berikhtiar mengesan waris terutama apabila ada kes kematian.

“Secara tidak langsung Program Stereng Kasih yang dicipta ini diharapkan akan membantu PJMM dalam banyak perkara termasuklah bergerak mencari dana sendiri demi membela kelangsungan hidup warga emas di pusat itu,” ujarnya.

Muhammad Syafiq menjelaskan, dalam rakaman yang dibuat itu warga emas berkenaan akan dibawa menaiki kenderaan berjalan ke beberapa lokasi bersama pemandu yang berada di sebelah dengan berborak mengenai hal semasa sebelum berlanjutan kepada kisah hidup mereka di PJMM.

Dalam situasi untuk menghilangkan rasa boring, terang beliau, pemandu akan singgah di lokasi tertentu seperti di tepi tasik, pantai, taman bunga sambil minum untuk meneruskan perbualan mereka atau ke warung bagi membasahi tekak dengan menikmati teh tarik dan sebagainya.


Sebahagian warga emas yang terdampar di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor yang terbabit dalam Program Stereng Kasih.


Muhammad Syafiq berkata, usaha temu bual itu akan berlangsung dalam suasana natural yang membuka keselesaan serta kesediaan warga emas berkenaan untuk menceritakan kisah lampau mereka bagi dikongsikan yang mungkin akan bermula pengalaman terlantar di hospital tanpa disantuni waris atau menjadi gelandangan sebelum dihantar ke PJMM. 

Tambahnya, pihak PJMM akan meneliti perkara itu kerana program berkenaan bukan untuk membuka aib sesiapa malah tiada kaitan langsung tetapi lebih kepada pedoman serta membuka mata masyarakat mengenai nasib warga emas yang terbela di PJMM serta sokongan atau bantuan yang boleh mereka hulurkan.

Jelasnya, bagaimanapun program berkenaan secara tidak langsung akan mendedahkan kisah ibu bapa disisihkan waris terdekat seperti anak selepas mengecapi kesenangan hidup atau warga emas sebatang kara yang terbiar kerana keuzuran dan sebagainya.

Menurut beliau, menerusi program berkenaan juga diharapkan PJMM akan menjadi sumber rujukan bagi kes pembuangan ibu bapa atau penempatan warga emas tanpa waris yang secara tidak langsung membantu kerajaan membendungkan gejala berkenaan sebelum menjadi budaya atau barah dalam masyarakat.


Seorang warga emas yang berkerusi roda dipapah untuk memasuki kenderaan dalam Program Stereng Kasih.


“Program Stereng Kasih ini juga umpama kempen kesedaran awam yang bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai kewujudan kes-kes yang berkaitan kerana terdapat komen dalam TikTok PJM, rata-rata rakyat Malaysia semacam tidak percaya wujudnya kes pembuangan ibu bapa. 

“Tambahan pula apabila berlaku peningkatan dalam kes tersebut sejak kebelakangan ini, menyebabkan  PJMM berasa bertanggungjawab dalam menyebarkan kempen kesedaran awam ini supaya dapat memberikan pengajaran kepada yang menonton.

 “Stereng Kasih juga akan membuka peluang kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berganding bahu bersama PJMM membela serta menyantuni warga emas ini yang turut menyedarkan mereka masih ada insan ambil peduli,” katanya. 


Pemandu menyantuni warga emas sambil berborak mengenai sejarah hidup mereka sebelum terdampar di PJMM dalam Program Stereng Kasih.


Pengurusan PJMM menyantuni warga emas dan sukarelawan dengan mengadakan majlis sambutan hari jadi pada Program Kesyukuran dan Silaturahim 2023 pada 19 julai 2023.

20
16
0
10
0

Copy Link: