Video| Pulihkan kesedihan! Bawakan keceriaan! Bekas pensyarah anjur senamrobik untuk warga emas!
Published by.
Lebih 15 tahun lalu, beliau sibuk di bilik kuliah bersama-sama pelajar untuk mengajar, berdiskusi di samping terpaksa bersengkang mata menyiapkan bahan pembelajaran demi tanggungjawab yang diamanahkan bagi menunaikan tugas hakiki setiap hari.
Tetapi kini beliau berasa tenang dan amat tenteram selepas meninggalkan tugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila dapat menyantuni warga emas untuk menggembirakan hati mereka yang sentiasa diselubungi kesedihan.
Datin Normala Mohd Yusoff, berkata dia mengambil inisiatif sendiri untuk menganjurkan aktiviti senamrobik bersama warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada pagi Isnin setiap minggu sebagai terapi menghilangkan stres dan kesedihan penghuni di situ sejak tiga bulan lalu.
Normala menyantuni warga emas untuk melakukan gerakan dalam senamrobik.
Menurutnya, dia juga menganggap aktiviti berkenaan sebagai
tanggungjawab sosial amal kebajikan yang boleh dilakukan sesiapa sahaja
mengikut acuan sendiri demi membantu pusat jagaan mengembirakan hati warga emas
kerana mereka juga kadang-kadang buntu untuk melakukan aktiviti bersesuaian.
Tambahnya, dia mengambil langkah itu juga berikutan terkesan
apabila ibu kesayangannya meninggal dunia kerana sakit tua dan menghidap
‘demensia’ pada April 2024 yang dijaga penuh kasih sayang, walaupun terpaksa
berdepan dengan pelbagai ragam ibunya itu.
“Selepas pemergiannya saya berasa amat sedih dan terpaksa
berbuat sesuatu untuk menghadapi keadaan itu supaya dapat kembali seperti biasa
bagi meneruskan kehidupan sebelum seorang rakan memaklumkan mengenai PJMM
antara tempat yang sesuai.
“Apabila datang ke PJMM dan berjumpa pihak pengurusan bagi memaklumkan mengenai aktiviti yang akan dibuat bersama-sama warga emas kerana mendapati ia menepati hajat saya bagi menyantuni orang tua sebagai seorang anak menghiburkan menerusi senamrobik mereka amat mengalu-alukan,” ujarnya yang ditemui di PJMM pada 10 Februari 2025.
Datin Normala Mohd Yusoff
Normala berkata, untuk senamrobik itu dia dibantu oleh dua
jurulatih iaitu Zaiton Mohd Tahir dan Salmah Othman yang melakukan pergerakan
mudah serta ringan untuk warga emas sambil duduk atas kerusi atau kerusi roda
bagi mereka menghadapi masalah kesihatan.
Jelasnya, dengan diiringi musik pergerakan senamrobik itu akan
bertukar setiap minggu supaya warga emas tidak berasa bosan atau jemu jika
asyik mengulangi aktiviti sama di samping memastikan mereka semua berasa seronok
serta terhibur.
Menurutnya, pada peringkat awal penerimaan warga emas di
PJMM itu amat lembab serta pasif memaksakan beliau bersama-sama jurulatih melakukan
pelbagai kaedah serta berdekatan termasuklah menyantuni umpama seorang anak
terhadap ibu atau bapa.
Tambah beliau, beberapa minggu selepas itu warga emas berkenaan mulai berubah dan menerima kedatangan dia bersama jurulatih dengan senyuman tanda gembira malah bertambah bersemangat untuk melakukan gerakan senamrobik bagi mengeluarkan peluh.
Normala berjaya memupuk minat warga emas untuk melakukan senamrobik bagi kesejahteraan kesihatan.
“Ada antara mereka yang mampu berdiri atau berjalan tanpa
segan silu berada di depan untuk bersama-sama jurulatih menunjukkan gerakan
senamrobik bagi diikuti kawan-kawan yang menyebabkan suasana menjadi bertambah
ceria serta meriah,” ujarnya.
Normala berkata, perkembangan yang berlaku setiap minggu
menyebabkan dia berasa puas dapat menceriakan warga emas dengan membantu mereka
melakukan senaman ringan untuk kesejahteraan kesihatan disamping merapatkan
hubungan sesama mereka.
Menurutnya, aktiviti senamrobik itu turut disertai petugas,
sukarelawan PJMM dan kejiranan berdekatan apabila mereka mengetahui setiap
Isnin ada aktiviti senamrobik di pusat jagaan berkenaan yang boleh disertai
secara percuma.
Tambahnya, bagi mengukuhkan hubungan dengan warga emas dan
petugas PJMM dia turut membuatkan T-Shirt berlainan warna setiap minggu untuk
dipakai ketika melakukan senamrobik yang kelihatan bertambah menarik serta
menyenangkan hati mereka.
“Insya- Allah saya akan meneruskan aktiviti senamrobik ini selagi ada masa terluang setiap minggu dan mungkin juga jika ada sokongan serta kerjasama daripada pihak berkenaan saya akan membawa warga emas mengunjungi tempat menarik terutama yang boleh menenangkan hati dan membuka minda mereka,” ujarnya lagi.
Normala (duduk tiga dari kiri) merakam kenangan bersama warga emas PJMM selepas aktiviti senamrobik diadakan.
Normala (belakang, empat dari kanan) menyantuni Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka Kubang Pasu, Kedah (Pewaris), Azmi Mat Napiah (tengah) yang dalam rangka lawatan ziarah warga emas PJMM sempat melihat aktiviti senamrobik diadakan.