Balu dan bekas pekerja disantuni! YKN dan Persatuan Bekas Kakitangan KTM agih food bank Aidilfitri!
Published byYayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) bermurah hati memberi sumbangan food bank (bank makanan) kepada 160 asnaf dalam kalangan ahli persatuan bagi kategori B40 termasuk balu dan bekas kakitangan KTM serta asnaf sekitar Gemas, Negeri Sembilan dan Tumpat, Kelantan pada 26 dan 27 Mac 2025.
Di Gemas pada 26 Mac 2025, majlis yang berlangsung di Surau Al Raudah Taman Gemas itu, dihadiri wakil CEO YKN, Hartini Abdul Rahim dengan diiringi Penasihat Yang Dipertua PBKKTM, Dato' Dr Sukarno Wagiman; wakil PBKKTM Negeri Sembilan (Gemas/Segamat), Najamuddin Mohd Zain; dan Team YKN Putrajaya membabitkan 50 penerima.
Wakil PBKKTM menyerahkan sumbangan kepada balu dan keluarga bekas kakitangan KTM di Gemas.
Manakala di Tumpat majlis agihan sumbangan food bank untuk
110 penerima yang berlangsung di Pekarangan rumah Lot 2370, Kampung Ana itu
dihadiri Pengarah Zon Pantai Timur YKN, Zamie Muhamad dengan diiringi wakil
PBKKTM Negeri Kelantan (Tumpat) iaitu Hasnah Che Omar, Mohd Shariff Jusoh dan
Kamaruzaman Loman pada 27 Mac 2025.
Penerima agihan sumbangan food bank di Tumpat adalah membabit balu serta bekas kakitangan KTM dan mereka dalam kalangan asnaf yang menetap di Kampung Ana, Tok Oh dan Padang Mandul yang bergantung hidup kepada aktiviti harian seperti berkebun, berniaga kecil-kecilan di samping menumpang anak kerana keuzuran.
Sebahagian asnaf, balu dan isteri bekas kakitangan KTM mendaftar nama untuk mendapat sumbangan food bank di Tumpat.
Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman, berkata pada majlis di dua negeri berkenaan YKN turut mengadakan sesi program kaunseling kepada mereka yang sakit, uzur dan sebagainya di samping yayasan berkenaan berjanji untuk menghulurkan bantuan susulan bagi meringankan bebanan ditanggung.
Menurutnya, paling penting kehadiran dan sumbangan YKN itu meringankan keluarga terbabit dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak berapa lama lagi yang mungkin sebelum ini menjadi kerisauan mereka.
Jelasnya, kebanyakan asnaf yang menerima sumbangan food bank
itu adalah dalam kalangan balu serta bekas kakitangan KTMB yang sudah lama
bersara dan bergantung kepada sumber pendapatan pencen tidak seberapa untuk
meneruskan kehidupan bersama ahli keluarga.
“Justeru sumbangan dari YKN ini merupakan satu hadiah kepada mereka yang julung kali diadakan dan berasa terharu apabila mendapat perhatian persatuan dan YKN datang menjenguk melihat kehidupan mereka,” ujarnya. - KitaReporters
Sebahagian asnaf, balu dan bekas kakitangan KTM hadir pada majlis sumbangan food bank YKN dan PBKKTM di Tumpat, Kelantan pada 27 Mac 2025.